Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman hari ini enggan memberikan
sebarang ulasan berhubung spekulasi bahawa beliau akan dicalonkan di
kerusi Parlimen Gelang Patah bagi menentang Penasihat DAP, Lim Kit Siang
pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.
Ketika ditemui sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Batu 18,
Sengkang, dekat sini hari ini,
Abdul Ghani yang juga Pengerusi Barisan
Nasional (BN) negeri tidak mahu menjawab soalan daripada wartawan.
"Tak mau, tak mau...nantilah," katanya ringkas sambil berjalan
meninggalkan pihak media sebelum masuk menunaikan solat Jumaat di masjid
tersebut dan difahamkan selepas itu beliau pulang semula ke Johor
Bahru.
Abdul Ghani diminta mengulas laporan akhbar The Star hari ini yang
melaporkan beliau akan dicalonkan di Parlimen Gelang Patah bagi
menghadapi Kit Siang.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Dr. Chua Soi Lek berkata, persoalan
sama ada Abdul Ghani akan diletakkan sebagai calon untuk mencabar Kit
Siang masih dipertimbang dan akan dibincangkan oleh komponen parti BN.
"Ia adalah suatu pertimbangan, tetapi ia belum dibincangkan secara
terperinci.
Setakat hari ini, sama ada ia adalah ura-ura, khabar angin
atau benar, kita belum tahu lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama-sama Ketua
Bahagian MCA Gelang Patah, Jason Teoh beramah mesra dengan masyarakat di
Pasar Awam Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di Johor Bahru.
Sebelum ini, Soi Lek juga dilaporkan ada menawarkan diri untuk
bertanding di Gelang Patah bagi berhadapan dengan ahli politik veteran
DAP itu.
No comments:
Post a Comment