Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana  
dengan  limpah  dan  kurnianya pada hari ini,  Beta  dapat  mengadakan 
Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) 
pada petang ini.  
Seperti yang kita sedia maklum pelantikan Exco yang baru 
ini adalah disebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action 
Party (DAP) tiada mempunyai keyakinan kepada Tan Sri Dato’ Seri Abdul 
Khalid Ibrahim yang menyandang Menteri Besar Selangor, yang dilantik 
selepas Pilihanraya Umum ke 13. Oleh itu seorang Menteri Besar yang baru
 dan Exco yang baru juga perlu dilantik untuk mentadbirkan Kerajaan 
Negeri Selangor ini.
Kemelut dan pergolakan dalam Parti Pakatan Rakyat ini 
bermula daripada Pakatan Rakyat membuat “Kajang Move”-Langkah Kajang dan
 bermulalah usaha mereka untuk menyingkirkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul 
Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Dengan ini timbullah pelbagai hasutan dan tomahan untuk 
memburukkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim supaya dapat 
diturunkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor. Perkara  hasut  
menghasut  dan  melempar tohmahan-tohmahan  terhadap  Tan Sri Dato’ Seri
 Abdul Khalid Ibrahim berterusan walaupun semasa bulan suci Ramadhan, 
dimana umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal
 yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wata’ala untuk membersihkan dosa dan
 maksiat. Beta telah menyeru dan mengingatkan beberapa kali, rakyat 
Melayu beragama Islam di Negeri Selangor ini supaya di bulan Ramadhan 
yang mulia ini hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah Subhanahu 
Wata’ala dan melakukan amal jariah kita supaya diterima Allah.
Tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap meneruskan agenda 
mereka  walaupun  dalam  bulan  suci  Ramadhan dengan terus  menghina  
dan  mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat mereka untuk menjatuhkan
 Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Di sini Beta  ingin  mengucapkan  terima  kasih kepada Tan 
Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim yang telah menjalankan tugas beliau 
dengan jaya dan sempurna sebagai Menteri Besar, yang mana hubungan 
Istana dengan beliau telah berjalan dengan baik dan lancar.
Krisis yang berlaku berkenaan dengan Menteri Besar Selangor
 ini telah membuka mata dan hati serta pandangan Beta terhadap politik 
di Negeri Selangor ini. Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan 
berkhidmat untuk selama 5 tahun dan mungkin akan diganti pada 
pilihanraya yang akan datang. Tetapi kedudukan Beta sebagai Sultan yang 
memerintah Negeri Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat Beta.
Sebagai Sultan yang memerintah, tugas-tugas Beta amatlah 
berat untuk memastikan rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini dapat
 menikmati hidup yang berkualiti dan pembangunan Negeri yang sempurna. 
Beta tidak campur tangan dalam pentadbiran Negeri yang dijalankan oleh 
Menteri Besar. Beta hanya menasihatkan Menteri Besar jika terdapat 
sesuatu perkara yang boleh menyusahkan rakyat.
Beta ingin mengingatkan bahawa Sultan itu bukanlah sahaja 
dalam istiadat dan majlis rasmi, tetapi kuasa Sultan adalah untuk 
melihat negeri dan rakyat Negeri Selangor ini hidup dalam keamanan dan 
maju jaya.
Oleh kerana rakyat tidak diberi kefahaman akan fungsi 
sebenar Sultan, rakyat beranggapan Institusi Raja itu adalah sebagai 
lambang sahaja tanpa mempunyai  apa-apa peranan dan kuasa yang 
diperuntukkan dibawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Beta
 dapati ada ahli politik yang tidak faham akan peranan dan kuasa 
Institusi Raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana Beta yakin 
mereka mempunyai agenda yang lain.
Beta adalah Sultan yang memerintah Negeri Selangor sentiasa
 berpandukan pemerintahan Beta dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan 
Negeri Selangor yang telah di meterikan pada tahun 1959.
Rakyat Negeri Selangor yang berbilang kaum dan berbilang 
agama serta mempunyai pelbagai adat resam mahukan Negeri Selangor ini 
aman dan makmur, bebas mengamalkan  agama masing-masing serta dapat 
hidup dalam tenteram dan harmoni.
Seterusnya Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 
setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Negeri Selangor yang menyokong
 Beta dalam kemelut pelantikan Menteri Besar di Negeri Selangor ini dan 
mempercayai Beta dalam menyelesaikan kemelut ini. Beta sentiasa 
memikirkan ketenteraman, kemakmuran dan keharmonian rakyat Negeri 
Selangor yang Beta kasihi ini.
Tidak lupa juga Beta  mengucapkan terima kasih kepada pihak
 media arus perdana yang telah berkerjasama dengan pihak Istana dalam 
menyiarkan kenyataan-kenyataan akhbar dari Istana.
Disamping itu Beta mahukan orang Melayu Islam janganlah 
berpecah belah dan tidak extremis atau mengelirukan rakyat hingga 
mengikut ajaran agama sesat.
Beta tidak mahu orang Melayu Islam berpuak-puak, mencaci 
antara sesama sendiri, hingga meruntuhkan kemuafakatan orang Melayu yang
 mana Beta kuatiri suatu hari kelak jika perkara ini berterusan, orang 
Melayu akan menuju kehancuran.
Kemanakah hala tuju, dan kemanakah perginya orang Melayu 
nanti. Beta sentiasa berdoa agar Allah Subhanahu Wata’ala membuka hati 
mereka supaya dapat melihat kebenaran dan seterusnya bersatu padu 
didalam memelihara dan mempertahankan tanah air kita yang dikasihi ini. 
Janganlah mudah sangat orang Melayu diperdaya sehingga maruah tergadai 
demi untuk kepentingan sendiri.
Kepada Ahli-Ahli Exco yang baru, Beta menyeru supaya 
memberi sokongan yang padu kepada Yang Amat Berhormat Tuan Mohamed Azmin
 Bin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru. Lupakan segala 
sengketa yang lalu dan tumpukan segala tenaga, kepakaran dan pengalaman 
disertakan dengan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat Negeri 
Selangor yang telah memberi mandat kepada tuan-tuan dan puan-puan 
sebagai wakil rakyat mereka. Rakyat tidak suka melihat Negeri Selangor 
ini didalam kucar kacir dan mereka tinggal didalam ketakutan dan 
kesengsaraan.
Beta berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga dengan
 pelantikan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru 
ini, parti-parti yang telah diberi mandat untuk memerintah Negeri 
Selangor akan dapat berkerjasama untuk mentadbir Kerajaan Negeri dengan 
penuh jujur dan ikhlas demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Negeri 
Selangor. Rakyat  menaruh harapan supaya mereka dapat tinggal di Negeri 
Selangor yang kaya dan maju ini serta dapat menikmati segala kemakmuran 
yang ada di dalamnya.
Beta sentiasa berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala 
supaya Negeri Selangor yang kita kasihi ini dirahmatiNya dan dilindungi 
daripada segala malapetaka dan apa juga yang boleh menyusahkan rakyat 
Negeri Selangor yang Beta kasihi ini. Amin.
Sekian.
 

 

 
 
 
 


 
   














 
   
   
 
  
   
 












