Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA

Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA
Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA

Saturday, January 5, 2019

Rafizi: Hadi ibarat mentua sorok menantu mencuri @ Akandal Tabung Haji

Rafizi: Hadi ibarat mentua sorok menantu mencuri: Pentadbiran Najib pada ketika itu menggunakan PAS untuk “menyucikan” keadaan di Tabung Haji.

Rafizi Ramli  | 
Diterbitkan  | 
Dikemaskini

   

ULASAN | Lebih kurang seminggu
lalu, di London, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengulas mengenai skandal
kewangan Tabung Haji di hadapan penyokong PAS dari kalangan penuntut
Malaysia di London.

Laporan mengenai ulasan beliau itu disiarkan oleh Harakahdaily, yang kemudiannya dipetik oleh Malaysiakini seperti laporan ini.

Antara lain, Abdul Hadi menyebut:

“Mereka
hentam Tabung Haji melalui media, bukan melalui mahkamah. Media menjadi
hakim, ini tak betul, salah! Apa membimbangkan kita, digunakan isu ini
untuk merendahkan imej Islam.

“Itu agenda itu ada. Ini kita kena
sedar. Padahal pihak lain banyak juga buat salah. Tapi dibesarkan di
media, agenda yang tersirat ialah untuk menjatuhkan imej Islam,” kata
Abdul Hadi.

Isu pengurusan dan penyelewengan kewangan di Tabung
Haji ini telah saya huraikan sejak 2013 iaitu tahun pertama saya berada
di Parlimen dahulu. Dari pengalaman saya sebagai juruaudit dan akauntan
bertauliah, terlalu jelas ada benda yang tidak kena mengenai pengurusan
kewangan Tabung Haji.

Sejak 2013, saya telah menulis 33 analisis
dan pandangan, termasuk membongkar pelaburan-pelaburan Tabung Haji yang
merugikan penabung sehingga mencecah berbilion ringgit.

Semuanya boleh dibaca di sini, jika Abdul Hadi sudi meluangkan sedikit masa menimba ilmu yang di luar kepakaran beliau (kewangan).

3 salah urus
Apa
yang dituduh oleh Abdul Hadi sebagai “agenda menjatuhkan imej Islam”
itu adalah salah urus yang jelas, seperti yang telah dilaporkan secara
meluas hasil dari audit terperinci PriceWaterhouseCoopers, iaitu:


1.
Sebanyak RM549 juta kerugian dalam pelaburan Tabung Haji yang gagal
(sebahagian besarnya kerana penyelewengan) telah disembunyikan. Ini
untuk membolehkan Tabung Haji melaporkan keuntungan yang lebih tinggi
untuk membayar dividen (keuntungan dari simpanan) kepada penabung,
sedangkan keuntungan itu tidak wujud dan wangnya tiada.

2.
Keuntungan dari penjualan saham Bank Islam sebanyak RM533 juta seperti
yang direkodkan oleh Tabung Haji, sebenarnya hanya helah perakaunan
untuk “mencipta” keuntungan yang tidak wujud. Tabung Haji kononnya
“menjual” saham-saham itu kepada empat broker saham iaitu UOB, Kenanga,
TA Securities and Affin untuk menunjukkan keuntungan, sebelum membeli
balik saham-saham itu pada harga yang sama.

3. Sebanyak RM436 juta
keuntungan anak-anak syarikat Tabung Haji yang diisytiharkan sebagai
dividen dan sepatutnya dibayar kepada Tabung Haji, kekal tertunggak
sehingga 30 September 2018. Ini bermakna Tabung Haji merekodkan
keuntungan dari anak-anak syarikat dan ia mendapat pendapatan apabila
dividen dibayar oleh anak-anak syarikat. Masalahnya, dividen itu belum
dibayar, bermakna pendapatan RM436 juta Tabung Haji itu tidak ada.

Kesemua ini boleh dibaca dengan terperinci di dalam laporan PwC yang dibentangkan di Parlimen, dan dirumuskan dalam laporan-laporan The Edge.

Jangan mudah terkeliru
Saya
faham kalau Abdul Hadi terkeliru dengan beberapa alasan yang diberikan
oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan pemuka-pemuka Umno, tetapi
wajar juga beliau mendalami ilmu kewangan untuk mengetahui
sejelas-jelasnya kedudukan kewangan Tabung Haji.

Ada yang berkata
kesemua angka kewangan itu hanyalah angka-angka yang dimanipulasi untuk
memburukkan Najib, kononnya wang tidak hilang dan masih ada di situ.

Kerugian RM549 juta dalam pelaburan-pelaburan Tabung Haji itu benar-benar berlaku, maknanya wang benar-benar hilang.

Sejak
sedekad lalu, Tabung Haji melabur secara besar-besaran membeli
anak-anak syarikat. Contohnya pelaburan di dalam syarikat roti,
pelaburan di dalam syarikat kejuruteraan minyak TH Heavy Engineering,
syarikat IT dan lain-lain.

Ia satu perubahan kepada model
pelaburan Tabung Haji, iaitu daripada melabur membeli saham tanpa
terlibat menguruskan perniagaan (seperti KWSP) kepada mewujudkan
anak-anak syarikat yang terlibat secara langsung di dalam perniagaan
(seperti PETRONAS).

Dalam contoh THHE, Tabung Haji terus menyuntik
dana (dalam bentuk saham, pinjaman dan dana didahulukan) apabila THHE
terus mengalami kerugian. Sahamnya terus merudum.

Dana yang
disuntik oleh Tabung Haji itu hilang, kerana ia diselewengkan oleh
orang-orang yang diberikan amanah menguruskan pelaburan Tabung Haji itu.
Akhirnya syarikat itu digantung kerana sudah mencecah tahap muflis.

Sepanjang
sedekad, Tabung Haji memang telah menyuntik melebihi RM600 juta ke
dalam THHE (dalam pelbagai bentuk). Di dalam rekod kewangan Tabung Haji,
ia menunjukkan lebih RM600 juta telah disuntik.



Tiada lagi nilai
Tetapi
saya, juruaudit dan seluruh dunia (yang tidak mudah berpuas hati)
mengetahui dana itu telah hilang kerana telah diselewengkan. Kalau
Tabung Haji menuntut kembali dana itu, ia tidak akan mendapat balik
kerana THHE tiada lagi nilai.

Mengikut peraturan kewangan,
pelaburan-pelaburan seperti ini mestilah direkodkan susut nilainya untuk
menunjukkan nilai terkini yang realistik.

Walaupun lebih RM600
juta telah dilaburkan dan disuntik, tetapi jika RM600 juta itu tidak
menjana pendapatan dan dana itu tidak dapat diambil balik, maka nilai
pelaburan itu menjadi sifar.

Jumlah RM600 juta yang telah dilaburkan itu perlulah direkodkan sebagai susut nilai (“impairment”) akibat kerugian pelaburan.

Tetapi
Tabung Haji mengubah peraturan kewangannya agar susut nilai ini tidak
direkodkan, yang bermakna ia menyembunyikan kerugian yang benar-benar
telah berlaku.

Bukan sahaja wang simpanan orang miskin lesap, ia cuba pula disembunyikan.



Penyelewengan cuba disembunyikan

Tujuan
ia disembunyikan ialah supaya Tabung Haji dapat membayar dividen kepada
penabung, walaupun undang-undang tidak membenarkan dividen dibayar
kecuali ia menjana keuntungan.

Maka, ia menyembunyikan kerugian
dan mencipta keuntungan untuk menidakkan hujah orang-orang seperti saya
yang membongkar kelemahan urus tadbir kewangan Tabung Haji.

Bila
tiada keuntungan dan kerugian disembunyikan tetapi dividen tetap
dibayar, dari mana wang itu datang? Wang itu datang dari wang baru yang
ditabung oleh penabung-penabung Tabung Haji.

Skim
pelaburan begini tidak ubah seperti skim cepat kaya atau skim piramid,
iaitu memberi gambaran untung besar untuk menarik dana baru, dan
menggunakan dana baru itu untuk membayar keuntungan (yang dicipta) untuk
membayar penabung asal. Lama-lama, piramid itu akan runtuh.

Sebab
itu apabila Abdul Hadi berselindung di belakang hujah “ini rancangan
jahat menjatuhkan Islam”, ia satu mainan politik yang tidak
bertanggungjawab.

Sebagai presiden sebuah parti yang mengaku
mempertahankan Islam, sepatutnya PAS lah yang paling gusar jika ada
penyelewengan di dalam Tabung Haji.

Sepatutnya beliaulah yang
paling ke depan meneliti setiap langkah Tabung Haji, supaya institusi
itu menjadi tabung kewangan Islam yang paling handal dan disegani di
dunia.

Beliau terpaksa bermain politik dan mengheret sentimen
perkauman (konon ada agenda bukan Islam mahu memangsakan Tabung Haji)
akibat satu strategi politik yang telah gagal menjelang PRU14 dahulu.

Beliau
dinasihati oleh orang-orang seperti Dr Zuhdi Marzuki kononnya PAS boleh
menjadi “king maker”. Untuk menjadi “king maker”, PAS mesti nampak
berbaik-baik dengan Najib dan Umno.

Sentimen kebencian
Maka,
apabila saya mendedahkan pelbagai penyelewengan dan salah laku di
Tabung Haji, pentadbiran Najib pada ketika itu menggunakan PAS untuk
“menyucikan” keadaan di Tabung Haji.

Rombongan PAS mengunjungi
Tabung Haji, mendapat taklimat dan seterusnya mengumumkan bahawa “PAS
berpuas hati dengan tadbir urus kewangan Tabung Haji”. Secara tidak
langsung, menjadi “king maker” dalam isu Tabung Haji dengan menghantar
isyarat kononnya saya mereka-reka cerita mengenai Tabung Haji.

Jadi, apabila bukti-bukti mula keluar bahawa apa yang saya bongkar itu betul, PAS terperangkap.

Jika
mereka bersetuju, jatuh air muka Presiden PAS kerana sebelum ini mereka
juga yang menjadi panel menyucikan penyelewengan di Tabung Haji.

Akhirnya,
walaupun bukti-bukti itu terlalu kukuh, Abdul Hadi terpaksa bermain
politik sekali lagi. Kali ini, bukan sebagai panel penyuci, tetapi untuk
membina sentimen kebencian terhadap orang bukan Islam dengan menuduh
kononnya ini sebahagian dari agenda menjatuhkan Islam, seolah-olah
kerosakan kewangan di Tabung Haji itu tidak berlaku.

Ia permainan
politik yang hebat dan bulat-bulat ditelan oleh penyokong PAS. Najib
tersenyum puas, kerana beliau masih boleh berharap dengan panel penyuci.

Tetapi
ia memangsakan jutaan penabung Tabung Haji dan akan membenamkan Tabung
Haji. Jika amalan ala skim piramid tidak dihentikan, akhirnya nasib
Tabung Haji sama seperti nasib skim Pak Man Telo.



Tuding jari anak jiran
Bagi saya, sikap Abdul Hadi ini tidak ubah dengan sikap lama dalam masyarakat Melayu.

Kalau
seorang mentua tahu bahawa menantunya mencuri, dia akan berdolak-dalih.
Dia lebih bimbangkan malu yang ditanggung oleh besannya (maklumlah
besannya itu orang bangsawan) dan malunya sendiri, kerana dia juga yang
berbangga-bangga dengan besannya (walaupun orang kampung kurang selesa
dengan besannya).

Akhirnya, dia bersekongkol menyembunyikan dan
menafikan yang menantunya mencuri, walaupun menantunya mencuri dari
dalam rumah dia sendiri!

Apabila ditanya, dia lebih rela menuding
jari kepada anak jiran di sebelah rumah dari menerima hakikat yang
menantunya yang duduk dengannya yang mencuri dari dalam rumah.

Kita
akan terus berdepan dengan cerita-cerita penyelewengan begini. Ada yang
berpunca dari pentadbiran Najib dahulu, ada yang datang dari
pentadbiran Pakatan Harapan di masa depan.

Nasihat dan ingatan
saya kepada diri sendiri dan orang ramai: jangan mudah berpuas hati,
teliti terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan menyucikan sesuatu.

Sebabnya, lama-kelamaan bukti akan keluar juga, jika penyelewengan benar-benar berlaku.


RAFIZI RAMLI merupakan naib presiden PKR.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...