Pakatan
Rakyat telahpun membentangkan manifesto mereka dalam Konvesyen Pakatan
Rakyat yang berlangsung di Shah Alam pada hari ini.
Penelitian
ringkas yang dibuat menunjukkan bahawa manifesto tersebut tidak ada yang
baru. Semuanya memang telah diwar-warkan dan menjadi pengetahuan umum
sejak dari awal-awal lagi. Ianya dibuat sebagai tawaran untuk memujuk
rakyat supaya berpaling kepada Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13.

Yang jelasnya beberapa perkara dapat disimpulkan seperti berikut :
a.
Manifesto yang dibentangkan tidak mengambil kira langsung
keberlangsungan umat Melayu sebagai umat pribumi dan perlaksanaan
syariat Islam seperti yang tertanam di hati sanubari ahli dan penyokong
PAS. Amat jelas samada disedari oleh pimpinan-pimpinan tertinggi PAS
ataupun tidak, manifesto ini merupakan satu pendekatan tersembunyi untuk
menukar imej PAS yang sebelum ini tegak dengan Islam dan Melayunya
supaya menerima hakikat “Malaysian Malaysia”, “samarata” dan “samarasa”.
b.
Manifesto tersebut tidak memberi penjelasan langsung rangka kerja
mengagungkan Islam dan memartabatkan bangsa Melayu. Bangsa Melayu yang
masih serba serbinya ketinggalan terutamanya di bidang ekonomi dan
penguasaan kekayaan negara seharusnya perlu terus menerima asuhan,
bimbingan, galakan dan pakej bantuan menyeluruh bagi melonjakkan
pencapaian mereka supaya menjadi bangsa bermaruah yang mampu bersaing
diperingkat nasional mahupun global bila Malaysia menjadi negara maju
nanti.
c. Manifesto Pakatan Rakyat mengenepikan langsung
pembangunan keinsanan dan kerohanian. PAS sebagai salah sebuah parti
Islam yang kini merupakan salah sebuah parti komponen Pakatan Rakyat
biasanya mengutarakan konsep insan sepadu yang mesti dibangunkan
seutuhnya. Ini bermakna di samping kemajuan material, pembangunan
seharusnya menekankan aspek mental dan intelektual terutamanya spiritual
yang akan menjamin lahirnya masyarakat yang seimbang pembangunannya.
Sementara di peringkat individu seimbang juga syaksiah keperibadiannya.
Rakyat sedemikianlah yang di harap mampu menjelmakan konsep “Baldatun
Tayyibatun Warabbun Ghaffur” seperti yang disebut berulang kali oleh
pimpinan PAS.
d. Apa yang ditawarkan pada analisa akhirnya
lahirlah manusia-manusia yang teguh kedudukan material yang lazimnya
mudah menonjolkan sifat-sifat keangkuhan, kesombongan dan kebongkakan
demi mengejar “superiority material”. Akhirnya segelintir rakyat mungkin
boleh mencapai kelebihan material itu dengan menidakkan sebahagian
besar masyarakat yang merupakan kelompok majoriti yang tidak mempunyai
persediaan untuk sama-sama merebut peluang material yang ada di hadapan
mereka.
e. Kita sudah menyaksikan bagaimana masyarakat barat
melalui proses untuk mencapai tahap kemajuan dan kesejahteraan material
seperti yang dibangga-banggakan. Atas tekanan material semata-mata
akhirnya masyarakat dibebani dengan berbagai penyakit masyarakat samada
yang timbul daripada masyarakat itu sendiri atau yang diimport daripada
luar.
Rata-ratanya masyarakat tidak mempunyai benteng pertahanan
untuk mempertahankan keutuhan nilai-nilai sosio budaya, akhlak, budi
pekerti dan tata susila dan kekuatan dalaman yang sangat diperlukan
untuk menongkah cabaran abad yang berikutnya.

f.
Seperti yang di ulas panjang lebar sebelum ini tawaran-tawaran yang
dikemukakan tidak lebih daripada janji-janji kosong setakat untuk
menggamit keyakinan pengundi untuk memilih Pakatan Rakyat dalam PRU ke
13. Yang paling mudah bagi mereka nanti bila sampai masanya bila
janji-janji dituntut oleh rakyat, dengan mudah mereka akan mengatakan
“manifesto bukan satu perjanjian”. Ini menggambarkan bahawa
kalimat-kalimat dalam manifesto itu tidak lebih lebih daripada sususan
ayat-ayat yang disalut dengan gula-gula manis untuk memikat hati rakyat.
Bila sampai masanya mereka mencari seribu dalih memberi justifikasi
mengapa manifesto tersebut tidak dapat dilaksanakan.
g. Para
penganalisa politik sehinggi kini menyebutkan bahawa tawaran Pakatan
Rakyat dalam konteks pembangunan sebuah negara seperti Malaysia dapat
disamakan seperti mimpi disiang hari. Pakar-pakar ekonomi pula
menghujahkan seandaianya sebahagian apa lagi kesemua butiran-butiran
manifesto itu hendak dilaksanakan, Malaysia akan terjerumus ke dalam
kancah negara muflis. Ketika itu pihak yang menawarkan bintang dan bulan
tersebut mudah mencuci tangan sebaliknya rakyatlah yang akan menanggung
bahana dan derita yang mungkin berpanjangan hingga ke beberapa generasi
yang akan datang.
h. Bagi mereka yang belum mempunyai pengalaman
mengurus dan mentadbir sebuah negara, tawaran-tawaran yang dibuat lebih
mudah untuk dinukilkan. Sebaliknya kepada pihak yang sudah
berpengalaman mengurus negara sudah tentu mengambil kira berbagai faktor
terutamanya faktor boleh atau tidak boleh tawaran itu dilaksanakan.
Kita belum melihat tawaran daripada BN lagi. Seandainya BN juga dalam
masa terdekat ini dapat mengemukakan manifesto mereka, maka bolehlah
rakyat membuat penelitian dan mengambil satu posisi terhadap kedua-dua
manifesto tersebut. Barulah rakyat boleh menilai yang mana yang lebih
munasabah dan yang mana yang boleh dipercayai serta yang mana yang
mempunyai kredibiliti untuk diberi mandat di dalam PRU ke 13 nanti.
Setakat
yang dapat kita saksikan di negeri-negeri dalamana Pakatan Rakyat
diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbirnya, fakta-fakta menunjukkan
bahawa sebahagaian yang dijanjikan dalam manifesto untuk masing-masing
negeri tidak berjalan seperti yang diharapkan. Harga rumah yang
rata-ratanya melambung tinggi menjadi penyebab orang-orang Melayu di
Pulau Pinang dan Selangor keluar mencari tempat kediaman di
kawasan-kawasan pinggiran bandar, luar bandar dan kawasan terpencil
menghampiri hutan simpan yang mampu dimiliki sesuai dengan pendapatan
isi rumah mereka.
Seperkara lagi bagi Pakatan Rakyat mereka boleh
janjikan apa sahaja. Lantaran kemungkinan untuk memenangi Putrajaya
masih jauh daripada yang diangan-angankan. Oleh itu tektik yang paling
mudah tawarkanlah apa sahaja. Beri rakyat bulan dan bintang. Manalah
tahu, kalau ada di antara rakyat yang boleh terpengaruh dengan
janji-janji politik yang ditaburkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan yang
terkenal lunak dan bijak mengabui mata dan minda rakyat.
Hanya
rakyatlah yang semestinya bijak. 55 tahun kita merdeka, sepatutnya tidak
ada golongan rakyat di Malaysia yang masih boleh digula-gulakan. Tidak
ada lagi golongan rakyat di negara ini yang sanggup diperkotak-katikkan
kebolehan minda dan kebijaksanaan membuat keputusan. Rakyat Malaysia
sudah dimasukkan ke dalam kumpulan rakyat yang berpendidikan. Rakyat
yang boleh menentukan masa depan untuk diri, keluarga, masyarakat dan
negaranya sendiri.
YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, KL