|
Ketua
UMNO Bahagian Bakri Datuk Saipolbahri Suib |
JOHOR BAHRU: Badan Perhubungan UMNO Johor hari ini mengesahkan Ketua
UMNO Bahagian Bakri Datuk Saipolbahri Suib digantung keanggotaannya
kerana terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti November tahun
lalu.
Penggantungan keanggotaan Saipolbahri yang juga anggota Dewan
Undangan Negeri (Adun) Bukit Naning itu disahkan oleh Setiausaha Badan
Perhubungan Negeri Mohd Jais Sarday.
"Ya," katanya kepada Bernama hari ini menerusi Khidmat Pesanan Ringkas
(SMS) apabila ditanya tentang kebenaran berita Ketua Bahagian UMNO Bakri
itu digantung keanggotaaannya oleh Ibu pejabat Umno baru-baru ini.
Mohd Jais yang juga Exco kanan kerajaan negeri bagaimanapun
enggan mengulas lebih lanjut tentang tempoh penggantungan yang dikenakan
terhadap Saipolbahri.
Adun Bukit Naning itu juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Peladang
Kebangsaan (Nafas) dan berjaya mengekalkan jawatan ketua bahagian
selepas menewaskan pencabarnya, Allahyarham Datuk Mazlan Sabari dan
Lokman Mohd Dom pada pemilihan lepas.
Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO negeri, Ramlee Bohani pula
ketika dihubungi hari ini turut enggan mengulas berkenaan isu
penggantungan itu dan meminta supaya perkara itu dirujuk kepada Ibu
pejabat UMNO.
Sementara itu sumber-sumber memberitahu Bernama, Saipolbahri bersama
empat pemimpin UMNO Bahagian itu digantung keanggotaan mereka selama
dua penggal oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin UMNO.
Empat lain yang turut digantung keanggotaan adalah Setiausaha
Bahagian Mat Saad Amat, Ketua Penerangan Bahagian Yaacob Jamian, anggota
Jawatankuasa Bahagian Uzir Sahid dan Naib Ketua Wanita Bahagian Safiah
Siwon.
Sumber itu juga berkata satu perjumpaan telah diadakan antara
pemimpin-pemimpin peringkat cawangan bertujuan mengutip tandatangan bagi
menyokong rayuan yang akan dikemukakan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri
Najib Razak.
Mat Saad yang dihubungi pula berkata, mereka sedang dalam proses mengemukakan rayuan.
Tinjauan Bernama di pejabat UMNO Bahagian Bakri mendapati ia lengang, hanya seorang kerani yang sedang bertugas.