PRESIDEN UMNO - DIMANA TELOR KITA ?
Sampai bila mahu Islam dihina oleh musuh-musuh Islam yang kita kenali?
Mana ‘telur’ kita? Apakah kita sudah tidak ada ‘telur’ lagi disebabkan
oleh kepentingan politik menutupi segala-galanya? Jika ahli politik
sudah tidak ada ‘telur’, mohon Raja-Raja Melayu masuk campur tangan.
Jika tidak, kita akan menyesal kemudian hari. Kita akan dikutuk oleh
generasi akan datang
Kita terus melukut di tepi gantang. UMNO dan PAS sudah tidak boleh
diharap. PKR kita tolak ketepi. Tidak ada menteri yang bercakap atau
bangun mempertahankan soal penghinaan terhadap korban atau sembelihan di
sekolah. Banyak lagi isu lain yang menyentuh sensitiviti agama Islam
yang jelas-jelas termaktub dalam perlembagaan sebagai agama persekutuan,
dihina dan dikeji? Apa kita buat? Kami sebagai rakyat, amat sedih, hiba
dan sakit hati, bercampur geram. Kenapa kita begitu dayus? Inikah sifat
seorang negarawan? Kita terlalu menjaga hati orang, sehingga hati
sendiri terguris.
Apakah memang benar sembelihan kurban dan mempertahankan kalimah Allah
itu satu kesalahan? Katakan! Jangan membisu seribu bahasa. Berdosa.
Sekadar ahli parlimen bercakap, masih tidak kuat. Apapun saya ucapkan
tahniah kepada sahabat saya YB Shahbudin Yahya, MP Tasek Gelugor.
Saya pelik, dekat pilihan raya sahaja sama ada umum (PRU) atau kecil
(PRK), kita menjadi kecut. Kita tidak berani memberi komen penghinaan
yang dilakukan. Malah kita beri apa yang mereka minta sebanyak-banyak.
Nak kata mereka mengundi kita, tidak juga.
Saya amat bimbang dengan desakan cuti dua hari untuk perayaan minoriti
diluluskan, sedangkan perayaan besar agama persekutuan seperti Hari Raya
Kurban hanya diberikan satu hari sahaja. Bayangkan selepas ini,
bangsa-bangsa minoriti pribumi Sabah Sarawak, yang mana mereka lebih
berhak, turut menuntut cuti dan cuti tambahan hari kebesaran dan
perayaan mereka. Maka berpestalah kita dengan cuti sepanjang tahun.
Cuti-cuti Malaysia katanya. Ingatan saya, jangan jadi seperti bangsa
Maori di New Zealand. Pribumi Maori merempat di tanahair sendiri, bila
orang lain menguasai.
Penting sangatlah kerusi DUN Sg Limau sehingga kita sanggup serahkan
segalanya. Jika UMNO tidak memenangi DUN Sg Limaupun, UMNO masih
memerintah negeri Kedah. Tetapi jangan tawarkan bulan dan bintang. Sakit
hati melihatnya. Saya tidak bantah peruntukan lebih RM2 juta diberikan
kepada SJKC di Sg Limau.
Saya difahamkan peruntukan tersebut datang daripada wang cukai judi,
arak dan sebagainya yang diharamkan dalam Islam. Tetapi itu bukan
bermakna, wang tersebut hanya disalurkan ke situ sahaja. Masih ada
tempat lain yang boleh disalurkan untuk kegunaan awam, walaupun sumber
haram, seperti membina jambatan di Sabah Sarawak dan banyak lagi. SJKC
sudah kaya raya di seluruh negara dengan kekuatan dan perpaduan NGO-NGO
mereka. Tanya Dong Zong dan Jiao Zong. Buatlah audit.
Begitu juga dengan PAS. Jangan kerana marahkan UMNO dan kini sudah tidur
sebilik dengan DAP dan PKR, kita turut menjadi penakut. Bersuaralah.
Ini tidak, sikit sangat suaranya dalam isu sembelihan korban dan isu
yang menyentuh maruah Islam. Isu kalimah Allah, janganlah cerita.
Kepemimpinan pusat tidak membantah apa-apa, kecuali Harun Taib dan Harun
Din. Kedua-dua Harun ini memang hebat dan sepatutnya memimpin PAS,
bukan yang lain.
Saya sudah ulas isu kalimah Allah dalam tulisan yang lalu, tidak perlu
diulang. Kalimah ini boleh digunakan mereka, jika tidak ada niat jahat.
Tetapi saya tahu perancangan mereka, sebab dahulunya saya tidak
bersunat. Saya pernah menjadi Kristian buat seketika.
Ingatan kepada PAS dan UMNO, jangan kerana dendam dan sudah mendapat
kawan baharu, kita menjadi dayus seolah-olah tidak ada ‘telur’. Rakyat
sudah bosan dengan permainan kedua-dua parti politik Melayu ini. Jika
kedua parti politik tidak mengorak langkah untuk berbincang dan tegas
pendirian berkaitan Islam, maka kerelevanan dipertikaikan.
Saya setuju dengan cadangan sudah sampai masa sebuah parti politik
ditubuhkan menggantikan UMNO dan PAS sebagai alternatif kepada umat
Islam, yang sedang hangat diperkatakan dalam laman sosial seperti face
book hari ini.
Justeru, sudah sampai masanya sebuah parti politik baharu diwujudkan.
Bukan menjenamakan semula parti BERJASA. Tetapi menubuhkan sebuah parti
politik baharu. Saya yakin sambutannya menggalakkan.
Apa perlu dilakukan adalah dengan menggabungkan kepemimpinan NGO-NGO
Islam yang lantang mempertahankan hak-hak Islam (Melayu). Antaranya
adalah ISMA, PERKASA, JATI, MUAFAKAT, MACMA, ACCIN dan lain-lain lagi.
Saya harap ia boleh dijadikan suatu realiti.
Kepemimpinan hari ini perlu ingat, bahawa kemenangan PRU13 sebelum ini
adalah kerja keras semua NGO-NGO ini. Mereka bertungkus-lumus memastikan
Pakatan Rakyat yang ditunjangi oleh DAP dan PKR tidak memerintah. Jika
PAS yang memerintah, masih sedap hati ini. Ini tidak, PAS hanya berjaya
mempertahankan Kelantan. Negeri lain, PAS seolah-olah melukut ditepi
gantang. DAP dan PKR tidak mempercayai PAS.
Agenda Islam dan negara Islam ditentang habis-habisan. Dakwaan PAS
bahawa DAP sudah lembut terhadap Islam, bersama-sama menggantung dan
mengibarkan bendera PAS ketika pilihan raya, hanya lakonan palsu
semata-mata.
Saya sudah lama menyarankan UMNO dan PAS berbincang demi masa depan
Islam, tetapi PAS menolak mentah-mentah. Hujahnya mudah, UMNO tidak mahu
Islam. PAS sanggup bersekongkolkan penentang Islam dari orang Islam
sendiri. Makin kuat PAS mendekati DAP dan PKR, makin kuat mereka
menentang Islam. Apakah ini bermakna mereka sudah lembut? Mereka tidak
lembut. Lembutnya mereka untuk mempergunakan PAS.
Jika begitulah keadaannya, semua parti politik Islam Melayu sudah tidak
ada ‘telur’, maka sudah sampai masanya sebuah parti Islam yang berani
mempertahankan Islam (Melayu) ditubuhkan. Marilah sama-sama kita
merealisasikannya. Kita perlukan parti politik yang benar-benar ada
‘telur’.
Sumber : Dr Ridhuan Tee