Majlis Penutup Seminar Komemoratif Umno 70 Tahun
14 September 2016 Di Persada Johor International Convention Centre
Komemoratif UMNO 70 Tahun yang bertemakan 'Islam, Nasionalisme dan Masa Depan UMNO'
UMNO perlu mengangkat politik Islam yang didokong selama ini ke tahap
lebih baik dengan cara lebih progresif dan berkemajuan, kata Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurutnya, UMNO mesti memfokuskan kepada pengukuhan Islam sebagai
agendanya demi kelangsungan parti ditunjangi orang Melayu itu.
“Jika Islam itu terbukti sebagai faktor penting dalam kebangkitan
kebangsaan Melayu, maka, Islam juga harus terus penting dalam
kelangsungan UMNO.
“Cuma apa yang kita perlukan sekarang adalah lonjakan dan fokus yang
lebih radikal, besar dan serius untuk mengarus perdanakan Islam dalam
UMNO secara lebih konstruktif, lebih mendasar dan lebih rapi,” katanya.
Menteri Besar itu berucap pada penutup Seminar Komemoratif 70 Tahun
UMNO yang bertemakan “Islam, Nasionalisme dan Masa Depan UMNO” di Pusat
Konvensyen Antarbangsa Persada Johor pada Rabu.
Mohamed Khaled berkata dengan mendalami syiar Islam, ia dapat
menjadikan Malaysia lebih moden dan sejahtera selain membantu
melonjakkan Melayu dan negara ke arah sebuah negara kesepakatan yang
adil, berdaya saing, kuat dan dihormati.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Saya mengambil kesempatan mengalu-alukan kehadiran semua penceramah dan peserta pada hari ini.
Dan kepada rakan-rakan serta para penceramah dari Indonesia dan
Singapura, selamat datang ke Malaysia, selamat datang ke Johor Darul
Takzim.
Terlebih dahulu saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada
Bait Al Amanah dan Badan Perhubungan UMNO Johor atas inisiatif
penganjuran Seminar Komemoratif UMNO 70 tahun ini.
Bagi saya, ia langkah yang paling wajar dan kena pada masanya.
Masa untuk kita melakukan refleksi dan melihat sedalam-dalamnya, dengan
nurani yang ikhlas.
Apakah benar-benar UMNO ini telah mendatangkan kebaikan kepada
bangsa dan agama. Apakah benar-benar kita telah membuahkan manfaat pada
tanahair.
Kerana, sepanjang 7 dekad perjalanan UMNO, ia sarat sekali dengan cerita yang harus kita pelajari dan teladani.
Cerita-cerita yang mewajarkan kita untuk mengambil masa merenung, memikir dan mencari jalan ke hadapan untuk UMNO.
Kerana, jika kita lihat di seluruh dunia, begitu banyak parti yang seusia UMNO, sudah semakin lemah dan tidak boleh bertahan.
Lihat sahaja Golkar di Indonesia. Lihat sahaja Parti Kongress di
India. Bukan sahaja mereka tidak lagi memerintah. Tetapi mereka juga
berhadapan dengan cabaran untuk berkelangsungan.
Lalu, merencana bagaimana meneruskan kelangsungan dan keutuhan
UMNO ini sangat penting. Untuk 70 tahun lagi. Malah, mungkin untuk
seabad lagi.
Benar, masa depan itu rahsia Tuhan dan masa adalah saksi
segala-galanya.Namun, untuk sekadar duduk, berdoa dan beretorik bahawa
parti ini akan terus kekal kuat, utuh dan diyakini, adalah anti akal.
Kerana parti ini hanya akan kekal jika kita punya strategi. Punya agenda bersifat sezaman. Punya pemikiran melangkau masa.
. Percayalah, samada kita mahu menerimanya atau tidak, di luar
sana, UMNO dilihat semakin senja menua. Kita tidak lagi dilihat secocok
dengan zaman.
Pada pandangan banyak pihak, kita terpisah jauh dengan imaginasi
anak muda. Terperangkap dengan kegemilangan lalu yang terhasil dalam
konteks dan cabaran yang jauh berbeza dengan realiti hari ini.
Kita dilihat sebagai parti kebangsaan yang sudah hilang pesonanya.
Malah seperti yang saya ungkapkan dalam siri ucapan saya beberapa
minggu lepas, UMNO telah hilang nilai sentimental atau ‘sentimental
connection’nya dengan generasi muda Melayu.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
Atas kesedaran itulah, di Johor, kita memilih untuk meraikan
ulangtahun ke-70 tahun UMNO dengan cara yang berbeza. Dengan
menganjurkan majlis ilmu. Agar kita semua dapat duduk dan berfikir
tentang masa depan dan bagaimanaUMNO boleh menjadi lebih baik.
Saya juga mengambil kesempatan pada hari sempena memperingati 70
tahun penubuhan UMNO, untuk menganjur satu jalan baru bagi UMNO.
Khususnya UMNO Johor.
Jalan yang mendukung pemikiran dan citra yang baharu. Yang serasi
dan sesuaizaman. Satu gagasan yang saya namakan sebagai, Agenda Melayu
Maju.
Dan saya mempunyai sebab kenapa Melayu Maju ini mesti menjadi
agenda dan naratif baharu UMNO, setelah tujuh dekad kewujudannya.
Pertama, kerana telah tiba masanya agenda Melayu itu disemak.
Memastikan sekadar hak, kepentingan dan kelangsungan bangsa Melayu itu
terjaminsangat tidak memadai. Kita memerlukan naratif baru bagaimana
menjadi bangsa yang lebih maju, progresif dan berkebolehsaingan.
Kedua untuk mengembalikan semula hubungan dan rasa dekat orang
Melayu kepada UMNO. Bahawa UMNO itu wujud untuk memajukan bangsa Melayu.
Menjadikan mereka berdaya saing.
Ketiga, kerana UMNO bukan sekadar pergerakan politik. Sebaliknya,
UMNO, semenjak penubuhannya, adalah gerakan pembaharuan untuk bangsa.
Dan ia mesti terus diperkukuhkan menjadi gerakanpembaharuan, usaha dan
amal demi kemajuan orang Melayu.
. Hanya melalui usaha, kemajuan akan tercapai. Hanya melalui kemajuan, Melayu menjadi kuat.
Keempat, untuk memastikan UMNO terus kekal memimpin Malaysia.
Kerana tanpa agenda yang progresif, UMNO pasti akan kehilangan
keunggulannya.
Yakinlah, betapa agenda Hidup Melayu yang kita jeritkan selama
ini, memerlukan suatu rekayasa. Suatu penjenamaan semula. Kerana Melayu
yang hidup, yang punya hak, tetapi tanpa kemajuan, adalah Melayu yang
serupa tidak mempunyai apa-apa.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
Persoalannya, bagaimanakah, setelah 70 tahun, boleh kita cipta dan hidupkan citra dan keunggulan baharu untuk UMNO ini?
Maka, di medan dan arena ini, saya pasti kalian punya saranan. Dan saya juga punya saranan.
Saranan saya begini.
Pertama, UMNO memerlukan apa yang saya panggil ‘moral awakening’ atau suatu kebangkitan moral.
Iaitu kebangkitan dan kesedaran dalam nurani kita, betapa UMNO ini amanah besar.
Amanah besar yang sarat dengan pasak kebaikan dan aspirasi yang
menjangkaui kewujudannya sebagai sebuah parti politik. Sebagai sebuah
wadah kuasa.
Itu semua sekadar bentuk dan susun atur hairarki.
Sebaliknya, UMNO ini wujud sebagai satu rukun daya dan gerakan
yang membuka percambahan kebaikan dan pencerahan kepada bangsa dan
tanahair.
Dengan pelbagai cara. Dalam segala perkara. Melewati faktor
struktur, melebihi takat kuasa, melepasi kerisauan tentang bentuk dan
cara.
Dan perkara inilah yang selama ini membezakan kita dengan segala
parti dan mana-mana organisasi atau struktur yang lain. Semua dlm umno
perlu sedar bahawa mereka bukan menerajui dan berada semata2 dalam
sebuah parti politik Melayu, tetapi mereka menerajui dan mendukung
amanah Melayu.
Malah, kita harus sedar, UMNO ini adalah satu-satunya wadah yang
menghubungkan kita dengan permulaan dan kemerdekaan tanahair kita. Ia
menghubungkan kita dengan para pendiri bangsa.
Ia adalah satu-satunya gerakan kebangsaan yang sangat berjaya. Ia
memberikan kita identiti. Memberikan kita rasa kepunyaan. Ia adalah
nurani bangsa Melayu.
Kerana itu di Johor ini, kita pernah sebut, UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO.
Pendek kata, sangat janggal jika kita anggap UMNO ini sekadar
sebuah parti politikMelayu. Ia lebih besar dari sebuah pergerakan
politik. Ia gerakan pencerahan. Ia gerakan amal dan usaha. Ia gerakan
islah.
Jadi, kita mesti mengambil tanggungjawab terhadap UMNO ini. Bukan
mempergunakannya. Bukan mengharapkan segala habuan dan imbuhan material
darinya. Bukan memperjudikannya demi kepentingan sendiri.
Sebab itulah UMNO Johor hari ini, mengambil jalan islah. Jalan
bermoral. Untuk mengembalikan UMNO ke landasan penubuhannya, dan
berusaha menjadikanUMNO satu gerakan kebaikan kepada bangsa Melayu dan
Islam.
Kedua, UMNO mesti mengarusperdanakan Islam jika ingin
berkelangsungan. Ia mesti diperkemaskan dengan identiti dan citra yang
lebih Islami.
Perkara ini saya usulkan hanya kerana satu sebab. Sekalipun saya
sedar bahawa di Johor ini, Melayu adalah UMNO, dan UMNO adalah Melayu.
Namun, saya tidak boleh membayangkan, Melayu tanpa Islam.
. Melayu tanpa UMNO, itu sudah biasa. Tetapi Melayu tanpa Islam, itu kejanggalan di luar kelaziman.
Barangkali kerana, selain ketauhidan akidah dan kesyumulan sistem
hidup yang kita pegang dan yakini, Islamlah faktor paling kuat dalam
mencetus dan menggerakkan kebangkitan nasionalisme orang Melayu.
Janganlah kita lupa, dari rahim Islamlah gerakan nasionalis
bangsa lahir. Inspirasi kelahiran UMNO dan pergerakan kebangsaan itu,
semuanya datang dari Islam.
Ramai sekali pendiri bangsa yang terdiri dari ulama, guru agama,
lulusan agama dan mereka yang mengajar dan berpendidikan agama.
Yang lahir dari institusi pendidikan Islam seperti pondok,
madrasah, dan sekolah agama. Yang bangun menggerakkan gerakan kebangsaan
dan kemerdekaan.
Kerana waktu itu, satu-satunya institusi yang gagal ditembusi dan
dikuasai penjajah kolonial ialah sekolah dan institusi agama kita.
Dan, jika Islam itu terbukti sebagai faktor penting dalam
kebangkitan kebangsaan Melayu, maka Islam juga harus terus penting dalam
kelangsungan UMNO.
Pada saya, Islam adalah gelombang ketiga dalam perjuangan UMNO.
Setelah selesai gelombang pertama iaitu perjuangan kemerdekaan. Dan gelombang kedua, membangunkan tanah air.
Kini, sebagai gelombang ketiga, UMNO mesti memfokuskan kepada pengukuhan Islam di Malaysia sebagai agendanya.
Kenapa saya mengatakan Islam adalah gelombang ketiga yang akan memastikan kelangsungan UMNO?
Kerana bagi saya Islam, kemelayuan dan modenisasi telah lama berakar dalam peribadi, pemikiran dan perwatakan bangsa Melayu
Islam di satu sisi. Kemodenan di sisi yang lain. Dan Kemelayuan pula berada padasatu sisi yang lain.
Lalu ia membentuk segitiga yang saling melengkapi dan menghidupi.
Yang menjadi lingkaran identiti serta citra yang unggul untuk orang
Melayu.
Telah lama wujud titik temu antara Islam, kemodernan, dan
keMelayuan ini. Dan titik temu itulah yang sebenarnya mesti kita
serlahkan dan angkat dengan lebih serius dalam UMNO.
Bukan hanya untuk mengembalikan semula keyakinan orang Melayu
kepada perjuangan UMNO. Tetapi kerana inilah UMNO yang sebenar!
Yang dipimpin oleh sistem nilai yang berpasakkan Islam. Yang
digerakkan oleh pemikiran, budaya kerja dan prinsip yang melunasi ajaran
Islam.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
70 peratus orang Melayu, bila ditanya identitinya, lebih senang
memperkenalkan diri mereka sebagai Muslim dahulu, kemudian Melayu.
. Ini semua harus mengingatkan kita. Bahawa Islam begitu sinonim
dan didambakan oleh orang Melayu. Hatta dalam kehidupan moden Malaysia.
Lihat sahaja perubahan demografi generasi muda Melayu Malaysia hari ini.
Pertama, demografi kita didominasi oleh orang muda, khususnya yang berumur 45 tahun ke bawah.
Kedua, mereka berpendidikan tinggi dan mengisi kelas menengah.
Ketiga, gaya hidup generasi kini sangat terhubung dengan persekitaran
global melalui teknologi.
Keempat, mereka adalah golongan yang amat sedar dan peka tentang
hak mereka dalam demokrasi. Mereka adalah ‘the democracy native’.
Kelima, mereka mempunyai rasa terhubung yang kuat dengan kehidupan beragama. Agama adalah identiti dan kebanggaan mereka.
Jadi, pastinya dengan kelima-lima ciri ini, Malaysia pada masa hadapan akan tercorak dengan identiti baharu.
Mereka inilah golongan Melayu Maju. Mereka lebih warak, lebih berpengetahuan, lebih stabil ekonominya dan lebih sejahtera.
Agama menjadi orientasi dan sumber moralkepada golongan Melayu
Maju ini. Pengetahuan menjadi sumber kompetensi dan produktiviti. Dan
kesejahteraan merupakan output sasaran yang dikejar.
Maka, telah tiba masanya UMNO melihat politik Islam sebagai bahagian utama untuk naratif masa depannya.
Dan sebenarnya selama ini, secara tidak kita sedari, politik
Islam itu sebenarnya sangat sebati dan bertunas dalam perjuangan UMNO.
Cuma apa yang kita perlukan sekarang adalah lonjakan dan fokus
yang lebih radikal, besar dan serius. Untuk mengarusperdanakan Islam
dalam UMNO secara lebih konstruktif. Secara lebih mendasar. Lebih kemas
dan lebih rapi.
Kerana UMNO tanpa Islam, akan jadi pergerakan yang hambar. Tiada jiwa, tiada nurani.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Kerana itulah, sempena 70 usia umno ini, UMNO Johor meraikkannya
dengan agenda pembaharuan. Bukan dengan hanya pesta keraian dan majlis
tahlil dan doa selamat.
Kita menganjurkan jalan baru iaitu menjayakan Agenda Melayu Maju dengan mengarusperdanakan politik Islam sebagai jalannya.
Dan saya mengambil kesempatan ini mengajak semua yang hadir, dan
mereka yang diluar sana, untuk menyokong gerakan besar-besaran
rejuvenasi UMNO ini.
Dengan memikirkan secara serius kedua-dua saranan yang saya
sebutkan tadi. Iaitu dengan mewujudkan kebangkitan moral bahawa UMNO
adalah amanah besar dan mengarusperdanakan agenda politik yang
bersyairkan Islam!
Hanya dengan menjayakan 2 saranan ini, UMNO akan dapat menjadi
gerakan pembaharuan yang progresif, yang bersifat sezaman, yang lebih
berkemajuan. Yang bersandarkan syiar Islam yang sebenar.
Bukan yang diubahsuai dan ditukar-tukar secara semberono bagi memenuhi citarasa politik dan selera semasa politikus.
Tetapi yang bergerak dalam landasan demokrasi. Yang
memperjuangkan kepentingan watan dan Melayu dengan inspirasi dan prinsip
Islam.
Saya harus menegaskan bahawasa politik Islam yang saya sarankan
bukan tentang struktur. Bukan tentang negara islam dan hukum hakam.
Ia lebih jauh dari itu semua. Politik Islam yang kita anjurkan
menjurus kepada sistem nilai dan tadbir urus yang lebih baik. Yang
berpasakkan keadilan, kebebasan, ketelusan dan kesepakatan.Yang Islami
Politik dan sistem nilai yang mengajak semua orang berlumba-lumpa melakukan amal soleh dan kebaikan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Amatlah penting kita sedari dan faham bahawa politik Islam itu
amat luas. Bukan seperti yang selama ini kita dengar dan dimomokkan oleh
sesetengah pihak.
Yang mentafsir dan meletakkan politik Islam dalam kerangka yang amat sempit dan tidak adil.
Yang melihat politik Islam itu hanya pada penubuhan sebuah Negara
Islam mengikut tafisran mereka. Dan berkisar hanya tentang hukum hudud
yang digubal dengan cara yang becanggah-canggah.
Politik Islam versi sebegini hanya terkurung dalam isu kepimpinan
ulama dan perbahasan siapa yang lebih hebat Islamnya di sisi Tuhan.
Pemikiran dan ideologi sebegini adalah sangat terkebelakang.
Pada waktu yang sama, agenda Islam kita juga jangan hanya
berkisar tentang menaik taraf mahkamah syariah atau gaji guru sekolah
agama.
Itu naratif yang terlalu kecil dan tidak pun menggambarkan
keluwesan sebenar ajaran Islam. Sedangkan politik Islam yang baik itu
adalah tentang sistem nilai, cara kerja, pemikiran dan pegangan.
Bukannya pada struktur dan jenama. Bukan pada slogan dan warna bendera. Bukan sekadar siapa lebih Islamik.
Jadi, bagaimana untuk kita membetulkan keadaan ini sekarang?
Saya menyarankan untuk UMNO mengangkat dan membawa politik Islam
yang dalam dirinya selama ini, ke tahap yang lebih baik dan terserlah.
Dengan cara yang lebih progresif dan berkemajuan. Cara yang lebih unggul dan menepati aspirasi politik Islam.
Misalnya, pertama, dengan melihat dan mendalami bagaimana syiar
Islam itu boleh menjadi faktor yang dapat menjadikan Malaysia lebih
moden dan sejahtera. Bukan menolaknya atau mengubah struktur Malaysia
sebagai negara bangsa yang meraikan kemajmukan.
Kedua, bagaimana Islam dan ajarannya, boleh membantu melonjakkan
Melayu dan Malaysia, menjadi sebuah Negara Kesepakatan yang adil,
berdaya saing, kuat dan dihormati.
Ketiga, bagaimana Islam mesti menjadi panduan untuk pemimpin kita
menjadi lebih beramanah dan takut pada Penciptanya. Sekaligus menghapus
politik wang dan salah guna kuasa.
Keempat, bagaimana Islam memberikan pelbagai solusi kepada
kemaslahatan bangsa. Menggunakan pelbagai pendekatan Islami seperti
wakaf, hibah, zakat dan sebagainya.
Kelima, bagaimana Islam menjadi rujukan untuk mengurus ekonomi
moden dengan bersandarkan prinsip tidak menindas, inklusif dan
berkeadilan.
Kelima-lima contoh ini adalah sebahagian sahaja daripada cara
yang boleh digunakan oleh UMNO untuk menterjemahkan politik Islam yang
sebenar dan amat diperlukan oleh Malaysia.
Asasnya memang semua yang telah saya nyatakan diatas, telah ada
dan dilaksanakan dalam UMNO. Tetapi masanya telah tiba untuk ia lebih
diserlahkan. Dijadi dan diangkat menjadi rencana dan agenda utama UMNO
untuk masa depan.
Dan pastinya terdapat lebih banyak lagi pendekatan yang
progresif dan matang seperti ini yang boleh kita terokai selepas ini.
Pokok pangkalnya, hari ini, seminar ini, harus menjadi pemula.
Pemula untuk kita semua bersetuju, berazam dan berusaha. Untuk
menjadikan UMNO dan politik Islam itu lebih baik dan unggul. Dengan
citra dan lonjakan yang baharu.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Akhir kata, saya hanya ingin menegaskan sekali lagi.
Sudah tiba masanya UMNO dan Islam bergerak dengan lebih rapat,
lebih tersatudan seiringan. Dengan cara yang lebih kemas dan saling
menguat.
Dan sudah tiba masanya untuk UMNO melancarkan gerakan
besar-besaran melaksanakan Agenda Melayu Maju yang bersandarkan politik
Islam progresif ini.
Agenda pembaharuan nilai dan pemikiran yang selari dengan
saranan dan seruan Islam itu sendiri. Yang selari dengan jangkaan dan
pemikiran yang maju dan Islami.
Kepada semua para penceramah dan tetamu yang hadir. Sekali lagi
terima kasih atas sumbangan dan masa yang diberikan. Semoga segala yang
kita lakukan ini, diangkat oleh-Nya sebagai amalan baik yang mendapat
keredhaan, insyaAllah.
Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
saya dengan ini mengisytiharkan penutupan seminar Komemoratif UMNO 70
Tahun.
Sekian, terima kasih.
MB Johor tak mengajak orang Islam kafir mengkafir untuk menentukan siapa
kononnya lebih Islam dengan mempolitikkan hudud..! Khaled tak menyeru
orang Melayu hipokrit dengan membuang jatidiri bangsa..!
Khaled mengajak umat Islam bersatu dan berpadu..!
Khaled menyeru umat Islam beramanah..! bertanggungjawab dan ikhlas dalam melaksanakan kewajipan..!
Khaled
meminta umat Islam berani menyatakan kebenaran tanpa dikongkong oleh
puak dan kuasa yang mencengkam maruah dan kemerdekaan dengan jujur dan
aman..!