Mursyidul Am PAS, yang juga pendakwah terkemuka Datuk Haron Din
meninggal dunia di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika
Syarikat.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menerusi aplikasi WhatsApp.
"Jam 10.10 pagi ini berita kami terima bahawa Tuan Guru Datuk Dr
Haron Din telah kembali ke rahmatullah di Hospital Stanford University
Amerika Syarikat.
"Semoga Allah SWT mencucuri rahmatNya dan mengampuni almarhum Tuan
Guru serta menggolongkan beliau dari kalangan hambaNya yang soleh.
"Maklumat lanjut akan menyusul kemudian daripada pihak keluarga almarhum Tuan Guru," katanya.
Perkara itu turut disahkan menerusi laman Facebook rasmi Allahyarham.
"Sesungguhnya Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din telah kembali ke
rahmatullah. Semoga Allah mengurniakan keampunan, kerahmatan dan nikmat
syurga yang kekal abadi," jelas pengendalinya.
Terdahulu, Allahyarham dilaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dihospital berkenaan selepas mengalami masalah jantung.
Beliau meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Din dan lima cahaya mata.
Allahyarham mula bergiat aktif dalam PAS sejak 1974 sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983).
Beliau dipilih sebagai Mursyidul Am PAS selepas pemergian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulama dan Timbalan Mursyidul Am.
No comments:
Post a Comment