Hari Malaysia disambut dalam krisis parah
Esok kita akan menyambut Hari Malaysia yang ke-53, suatu hari yang
amat bersejarah buat seluruh warga Malaysia. Pembentukan Malaysia 53
tahun yang lalu bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang
bersatu, maju, aman dan selamat daripada ancaman geopolitik pada waktu
itu.
Alhamdulillah, dalam tempoh lebih 5 dekad ini, Malaysia telah berjaya
mengharungi pelbagai cabaran untuk menjadi sebuah negara yang aman,
makmur dan harmoni.
Kejayaan ini adalah berkat komitmen dan usaha gigih rakyat negara ini
yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dalam menyumbang tenaga
dan kepakaran untuk membangun dan memajukan negara.
Kini Malaysia berada di suatu persimpangan yang getir. Kita
berhadapan dengan suatu krisis yang parah. Kos sara hidup rakyat kian
meningkat. Harga barangan keperluan harian semakin mahal. Nilai ringit
rendah. Pendapatan rakyat terjejas dengan suasana ekonomi yang suram.
Rakyat yang berpendapatan rendah paling terkesan dengan keadaan
ekonomi hari ini kerana pendapatan yang mereka perolehi tidak dapat
menampung beban kenaikan kos sara hidup yang tinggi. Sehinggakan ada
yang terpaksa berhutang untuk hidup.
Dalam keadaan getir ini, rakyat amat berharap agar kerajaan tampil membantu meringankan beban yang mereka tanggung.
Mereka mahukan pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal, harga
barangan keperluan harian yang patut, pendidikan yang berkualiti,
biasiswa dan bantuan pendidikan untuk anak-anak, rumah yang mampu
dimiliki, pertumbuhan ekonomi yang rancak dan yang paling penting ialah
kehidupan yang selesa.
Namun, sepertimana yang diketahui ramai, kerajaan hari ini sedang
bergelumangan suatu krisis kepimpinan yang parah sehinggakan tidak
berupaya untuk membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.
Ekonomi negara tidak diurus dengan baik, rasuah bermaharajalela,
keitirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan menggerunkan
sehingga menyebabkan sumber kerajaan yang terhad tidak dapat diagih
dengan secukupnya kepada sektor-sektor yang penting kepada kesejahteraan
rakyat seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, pembangunan
luar bandar, kebajikan masyarakat dan lain-lain lagi.
Perbelanjaan kementerian-kementerian dipotong menyebabkan banyak
projek pembangunan serta program bantuan kepada masyarakat tidak dapat
dilaksanakan. Namun anehnya, projek-projek mewah yang tidak masuk akal
dilaksanakan untuk menguntungkan kroni.
Sebagai rakyat, kita mempunyai pilihan. Kerajaan dibentuk dengan
mendapat mandat rakyat. Rakyat memberi mandat kepada kerajaan dengan
harapan kerajaan akan melaksanakan segala kewajipan dan tanggungjawabnya
terhadap rakyat dengan beramanah dan berintegriti.
Rakyat tahu bahawa hanya kerajaan yang beramanah dan berintegriti akan dapat memastikan rakyat hidup selesa dan sejahtera.
Sebaliknya, jika kerajaan tidak melaksanakan kewajipan dan
tanggungjawabnya terhadap rakyat, maka rakyat mempunyai pilihan untuk
tidak lagi memberikan mandat kepada kerajaan yang sama untuk mentadbir
negara. Tiada gunanya kita menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka
yang pecah amanah.
Suatu kerajaan baharu yang beramanah dan berintegriti perlu dibentuk
menerusi proses pilihanraya yang bebas, adil dan demokratik. Kerajaan
yang bakal dibentuk ini mestilah meletakkan kepentingan rakyat mengatasi
segalanya.
Keutamaan hendaklah diberikan kepada usaha untuk memulihkan ekonomi
negara, menyediakan peluang-peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan
rakyat, meringankan beban kos sara hidup, melaksanakan reformasi
institusi dan mengurus negara secara beramanah dengan berpandukan
prinsip tadbir urus yang baik.
Pilihan ini berada di tangan rakyat. Kuasa rakyatlah yang akan
menentukan masa depan negara kita. Samada kita mahu Malaysia menjadi
sebuah negara yang berjaya dan sejahtera atau sebuah negara yang gagal
dan kacau bilau, segalanya terserah kepada kuasa rakyat.
Sempena sambutan Hari Malaysia yang ke-53 ini, marilah kita seluruh
rakyat bersatu dalam membuat suatu komitment baharu untuk memulakan
perjalanan ke arah Malaysia yang lebih baik.
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN Bekas timbalan perdana menteri dan kini Presiden BERSATU.
No comments:
Post a Comment