SHAH ALAM: Umat Islam di negara ini disarankan mengadakan sujud syukur
bagi meraikan kemenangan pertama mereka apabila Gereja Katolik hari ini
gagal dalam permohonan mengetepikan rayuan Putrajaya untuk mengubah
keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Herald
menggunakan perkataan Arab “Allah” sebagai terjemahan bahasa Melayu
kepada “God”.
Mengulas lanjut keputusan Mahkamah Rayuan itu, Timbalan Presiden JATI,
Datuk Aidit Ghazali berkata ia adalah petanda awal kemenangan umat Islam
dalam usaha kerajaan mempertahankan kesucian agama rasmi negara itu.
"Usaha ini perlulah kita sujud syukur kepada Allah SWT walaupun ini
sekadar sesuatu rayuan untuk menangani usaha Kristian yang nak batalkan
usaha kita, namun demikian ia adalah satu kemenangan besar bagi umat
Islam," katanya.
Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Ketua Bishop Roman Katolik
Kuala Lumpur, Murphy Pakiam untuk membatalkan rayuan kerajaan terhadap
keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Katholik, The
Herald menggunakan kalimah Allah.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah
Nordin yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan
Hakim Datuk Rohana Yusuf.
Ini bermakna Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan oleh kerajaan
persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember 2009 yang
membenarkan gereja itu menggunakan kalimah Allah dalam akhbar
mingguannya.
Rayuan itu akan didengar pada 10 September 2013.
Aidit yang turut mengikuti prosiding tersebut di mahkamah pagi tadi juga
menyeru semua kepimpinan baik dari parti politik mahupun badan bukan
kerajaan (NGO) agar terus menggembleng tenaga bagi memastikan permohonan
pihak gereja tersebut gagal.
"Dan apa yang perlu dilakukan sekarang ialah umat Islam iaitu semua
pemimpin umat Islam, majlis agama Islam, raja-raja Melayu, NGO,
parti-parti politik yang mengaku diri mereka Muslim, semua kena
menggembleng tenaga supaya kita akan menang seterusnya pada rayuan
substentif pada 10 September depan.
"Jadi kini adalah masa bukan sekadar untuk kita 'work hard' tapi masa
untuk kita 'work smart'. Dan saya sangat bersyukur kepada Allah SWT
kerana membuka pintu hati dan pintu hidayat ketiga-tiga hakim yang
kebetulan beragama Islam untuk membuat sesuatu yang mana mereka boleh
pertahankan di hadapan Allah dan bukan sekadar di hadapan manusia,"
ulasnya lagi.
Tambah Aidit lagi, meskipun beliau yakin keputusan mahkamah pada 10
September nanti akan berpihak kepada umat Islam, namun musuh agama rasmi
negara itu pasti akan menimbulkan polemik lain bagi memecah-belahkan
umat Islam.
Justeru katanya, dengan penyatuan dan sikap komited semua pihak yang
berkepentingan dalam memelihara kesucian Islam, usaha dan hasrat musuh
Islam ini pasti akan dapat digagalkan.
"Pihak-pihak Kristian ini mereka kena sedar bahawa mereka sekarang bukan
sekadar berhadapan dengan ombak-ombak sahaja, (sebaliknya) mereka akan
berhadapan dengan tsunami iman umat Islam," katanya lagi.