Himpunan Hadis Nabi SAW Mengenai Keadaan Akhir Zaman Petanda Kiamat
Untuk renungan bersama…
Orang Yang Tak Sedarkan Diri
Daripada Abu Hurairah r.a. Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Jika ada
seseorang berkata, ramai orang telah rosak, maka orang yang berkata itu
sendiri yang paling rosak di antara mereka” (HR Muslim)
Ahli Ibadat Yang Jahil Dan Ulama Yang Fasik
Daripada Anas r.a. Beliau berkata, bersabda Rasulullah SAW “Akan ada
pada akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasik ” (HR Ibnu
Ady)
[Orang jahil yang rajin beribadat dan ada pula orang alim yang fasik]
Menjual Agama Kerana Dunia
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan
keluar pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia
dengan menjual agama. Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan
pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari
dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan perkataan mereka lebih
manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala. Allah SWT
berfirman kepada mereka “Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu?
Ataukah kamu terlalu berani berbohong kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku
bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan
mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi
bingung” (HR Tirmizi)
Pendusta Dan Pengkhianat
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan
datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan tipuan. Pada waktu
itu si pendusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan dusta.
Pengkhianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan
pengkhianat. Dan yang berkesempatan berbicara (cuba membetulkan)
hanyalah golongan “Ruwaibidhah”. Sahabat bertanya “Apakah Ruwaibidhah
itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Orang kerdil, hina, dan tidak
mengetahui bagaimana hendak mengurus orang yang ramai” (HR Ibnu Majah)
Kefasikan Berleluasa
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda
“Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat) seumpama
malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman pada waktu pagi,
kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau seseorang yang
masih beriman pada waktu petang, kemudian pada keesokan harinya dia
sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit harta
benda dunia” (HR Muslim)
Penindasan Terhadap Umat Islam
Daripada Tsauban r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Hampir
tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang
mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang kelaparan mengerumuni bekas
hidangan mereka” Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami
sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab “Bahkan kamu pada hari itu
terlalu ramai, tetapi kamu umpama buih pada masa banjir, dan Allah akan
mencabut rasa gentar terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan
Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang
sahabat bertanya “Apakah ‘wahan’ itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah
menjawab “Cinta dunia dan takut mati” (HR Abu Daud)
Namanya Saja Islam
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Beliau berkata, telah bersabda
Rasulullah SAW “Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi
dari Islam kecuali hanya namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran
kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong
daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di
bawah langit. Daripada merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua
fitnah itu akan kembali ” (HR Al-Baihaqi)
Budaya Barat Ikutan Umat Islam Kini
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah
SAW bersabda “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu,
sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka
masuk ke lubang biawak sekalipun kamu akan mengikut mereka” Sahabat
bertanya “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan maksudkan?”
Nabi SAW menjawab “Siapa lagi?” (HR Muslim)
Ulama Tidak Dipedulikan
Daripada Sahl bin Saad as-Sa ‘idi r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW
bersabda “Ya Allah! Janganlah Engkau menemukan aku dan mudah-mudahan
kamu juga tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah
tidak diikuti lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan
lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam, lidah mereka seperti lidah
orang Arab” (HR Ahmad)
Ulama Agama Semakin Berkurang
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a. Beliau berkata, aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda “Bahawasanya Allah SWT tidak akan mencabut
(menghilangkan) ilmu dengan sekali gus daripada manusia. Tetapi Allah
SWT menghilangkan ilmu agama dengan mematikan para ulama. Apabila telah
ditiadakan para ulama, orang banyak akan memilih orang-orang jahil
sebagai pemimpinnya. Apabila pemimpin yang jahil itu ditanyakan, mereka
akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang
lain” (HR Muslim)
Golongan Anti Hadis
Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. Beliau berkata, bahawasanya
Rasulullah SAW bersabda “Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki
yang sedang duduk bersandar di atas kursi kemegahannya, lalu disampaikan
kepadanya sebuah hadis dari hadisku maka dia berkata “Pegangan kami dan
kamu hanyalah kitab Allah sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran
kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan” (Kemudian Nabi
SAW melanjutkan sabdanya) “Padahal apa yang diharamkan Rasulullah SAW
itu samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan Allah SWT” (HR Abu Daud
dan Ibnu Majah)
Berbangga-Bangga Dengan Masjid
Dari Anas bin Malik r.a. Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Tidak
terjadi hari Kiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan bangunan
masjid” (HR Abu Daud)
Tak Ada Imam Untuk Solat Berjemaah
Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. Beliau berkata, aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda “Akan datang suatu zaman, pada waktu itu orang
banyak berdiri tegak beberapa lama, kerana mereka tidak mendapatkan
orang yang dapat mengimami mereka solat” (HR Ibnu Majah)
Penyakit Umat Islam Masa Kini
Daripada Abu Hurairah r.a. Katanya, aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda “Umatku akan ditimpa penyakit -penyakit yang pernah menimpa
umat-umat terdahulu” Sahabat bertanya “Apakah penyakit-penyakit
umat-umat terdahulu itu?” Nabi SAW menjawab “Penyakit-penyakit itu
adalah, 1.Terlalu sombong, 2.Terlalu mewah, 3.Mengumpulkan harta
sebanyak mungkin, 4.Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia,
5.Saling memarahi, 6.Dengki-mendengki sehingga menjadi zalim menzalimi”
(HR Hakim)
Perangkap Riba
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan
tiba suatu zaman, tidak ada seorang pun kecuali dia terlibat dalam
memakan harta riba. Kalau dia tidak memakannya secara langsung, dia akan
terkena debunya” (HR Ibnu Majah)
Manusia Tak Peduli Mengenai Sumber Pendapatannya
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, bersabda Rasulullah saw,
“Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan daripada mana dia
mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram”
(Riwayat Muslim)
Banyaknya Sumber Galian
Daripada Ibnu Omar r.a. Beliau berkata “Pada suatu masa dibawa ke
hadapan Rasulullah SAW sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat
yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari
lombong (galian) mereka. Maka sahabat berkata “Wahai Rasulullah! Emas
ini adalah hasil galian kita” Lalu Nabi SAW menjawab “Nanti kamu akan
dapati banyak galian-galian, dan yang akan menguruskannya adalah
orang-orang yang jahat ” (HR Baihaqi)
Khamar
Daripada Abu Malik Al-Asy’ari r.a. Katanya Rasulullah SAW bersabda
“Sesungguhnya akan ada sebahagian dari umatku yang meminum khamar dan
mereka menamakannya dengan nama yang lain. Sambil diiringi dengan alunan
muzik dan suara biduanita. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke
dalam bumi dan Allah SWT akan mengubah mereka menjadi kera atau babi”
(HR Ibnu Majah)
Banyaknya Perzinaan
Dari Anas r.a. Beliau berkata “Aku akan menceritakan kepada kamu sebuah
Hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku.
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Di antara tanda kiamat ialah
sedikit ilmu, banyak kejahilan, banyak perzinaan, banyak kaum perempuan
dan sedikit kaum lelaki, sehingga nanti seorang lelaki akan mengurus
lima puluh orang perempuan” (HR Bukhari Muslim)
Berpakaian Tetapi Telanjang
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda ”Ada
dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka, keduanya belum pernah
aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cambuk
bagaikan ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan
yang berpakaian tetapi telanjang, lenggang-lenggok sewaktu berjalan,
mengayun-ayunkan bahu. Kepala mereka bagaikan bonggol (belakang unta).
Kedua golongan ini tidak akan masuk syurga, malah tidak akan dapat
mencium bau harumnya. Sesungguhnya keharuman syurga itu akan terhidu
dari jarak perjalanan yang sangat jauh (HR Muslim)
Perilaku Manusia Masa Kini
Dari Aisyah r.a. Dia berkata “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda
“Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga seorang anak menjadi sebab
kemarahan (bagi ibu bapanya), hujan akan menjadi panas, akan bertambah
banyak orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik, anak-anak
menjadi berani melawan orang tua, dan orang yang jahat berani melawan
orang-orang baik” (HR Thabrani)
Anak Menjadi Tuan Kepada Ibunya
Daripada Umar bin al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang),
…kemudian Jibrail bertanya kepada Rasulullah SAW ” Maka khabarkan
kepadaku tentang hari kiamat?” Lalu Nabi SAW menjawab, “Orang yang
ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang bertanya” Maka
Jibrail berkata “Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya”
maka Nabi SAW menjawab “Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau
melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi
miskin yang hanya menggembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat
binaan” (Riwayat Muslim)
Peperangan Demi Peperangan
Daripada Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda “Hari kiamat
tidak akan terjadi sehingga harta benda melimpah ruah dan timbul banyak
fitnah dan sering terjadi “al-Harj”. Sahabat bertanya “Apakah al-Harj
itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab “Peperangan, peperangan,
peperangan” Beliau mengucapkannya tiga kali. (HR Ibnu Majah)
Perang Di Sekitar Sungai Furat (Iraq) Kerana Berebut Kekayaan
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Tidak
terjadi hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates, Iraq)
menjadi surut airnya sehingga kelihatan sebuah gunung dari emas. Banyak
orang yang terbunuh kerana merebutnya. Maka terbunuhlah sembilan puluh
sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang
terlibat berkata “Mudah-mudahan akulah orang yang selamat itu” Di dalam
riwayat lain disebutkan “Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat
akan menjadi surut airnya lalu kelihatan perbendaharaan dari emas, maka
siapa sahaja yang hadir di situ janganlah dia mengambil sesuatu pun dari
harta tersebut” (HR Bukhari Muslim)
[Terdapat sebahagian pihak yang menyatakan bahawa perkataan emas di dalam Hadis ini sebenarnya petroleum ]
Waktu Terasa Pendek
Daripada Anas bin Malik r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda
“Tidak akan terjadi kiamat sehingga waktu terasa pendek, maka setahun
dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu
dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam
dirasakan seperti satu kilatan api” (HR Tirmizi)
Hilangnya Sifat Amanah
Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a. Katanya, …”Kemudian jadilah orang
ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada seorang pun yang suka
menunaikan amanah, sehingga dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani
Fulan (di kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik
memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan “Alangkah
tekunnya dia dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah
cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan
sekali pun hanya seberat timbangan biji sawi.” (HR Bukhari & Muslim)
Islam Akan Pudar Secara Perlahan-Lahan
Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW
bersabda “Islam akan lenyap seperti hilangnya corak pada pakaian,
sehingga orang tidak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan puasa,
apakah yang dimaksudkan dengan solat, apakah yang dimaksudkan dengan
nusuk (ibadah), dan apakah yang dimaksudkan dengan sedekah. Al-Quran
akan hilang semuanya pada suatu malam sahaja, maka tidak ada yang
tertinggal di permukaan bumi ini darinya walaupun hanya satu ayat.
Sesungguhnya yang ada hanya beberapa kelompok manusia, di antaranya
orang tua, lelaki dan perempuan. Mereka hanya dapat berkata, Kami sempat
menemui nenek moyang kami mengucapkan kalimat LAILAHAILLALLAH, lalu
kami pun mengucapkannya juga” (HR Ibnu Majah)
Bilakah Akan Terjadi Kehancuran?
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata “Pada suatu hari ketika Nabi
SAW sedang berada dalam suatu majlis dan berbicara dengan orang yang
hadir, tiba-tiba datang seorang A’rabi (Arab Badwi) lalu dia bertanya
kepada Rasulullah SAW “Bilakah akan terjadi hari Kiamat?” Nabi SAW terus
saja berbicara. Sebahagian yang hadir berkata “Beliau (Nabi SAW)
mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disenanginya”
Sementara yang lain berkata “Sesungguhnya beliau tidak mendengar
pertanyaan itu” Sehingga apabila Nabi SAW selesai berbicara, beliau
bersabda “Di mana orang yang bertanyakan mengenai hari Kiamat tadi?”
Lalu Arab Badwi itu menyahut “Ya! Saya wahai Rasulullah” Maka Nabi SAW
bersabda “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari Kiamat”
Arab Badwi itu bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan
amanah itu?” Nabi SAW menjawab “Apabila urusan diserahkan kepada yang
bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari Kiamat” (HR Bukhari)
Kebinasaan Umat Islam
Daripada Ummul Mukminin , Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW),
beliau berkata,”(Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya
dengan keadaan cemas sambil bersabda, LAILAHAILLALLAH, celaka (binasa)
bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa
mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Yakjud dan Makjud
seperti ini”, dan Baginda menemukan ujung jari dan ujung jari yang
sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti
bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya “Ya Rasulullah! Apakah
kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang
soleh?” Lalu Nabi SAW bersabda “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu
banyak” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Punca Kebinasaan Seseorang
Dari Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda “Akan
datang suatu zaman di mana orang yang beriman tidak akan dapat
menyelamatkan imannya, kecuali apabila dia lari membawanya dari puncak
bukit ke puncak bukit yang lain, dan dari suatu gua ke gua yang lain.
Maka apabila zaman itu telah tiba, segala sumber pendapatan tidak dapat
diperoleh kecuali dengan melaksanakan sesuatu yang menyebabkan kemurkaan
Allah SWT. Apabila ini telah terjadi, maka kebinasaan seseorang adalah
disebabkan memenuhi kehendak isteri dan anak-anaknya. Kalau dia tidak
mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya disebabkan memenuhi
kehendak kedua ibu bapanya. Dan jikalau ibu bapanya sudah tidak ada
lagi, maka kebinasaannya disebabkan mengikuti kehendak keluarganya atau
disebabkan mengikuti kehendak jiran tetangganya” Sahabat bertanya “Wahai
Rasulullah SAW, apakah maksud perkataan engkau itu?” Nabi SAW menjawab
“Mereka akan menghinanya dengan kesempitan hidupnya. Maka ketika itu
sesungguhnya dia telah menceburkan dirinya ke jurang-jurang kebinasaan
yang akan menghancurkan dirinya” (HR Baihaqi)
Perselisihan Yang Banyak
Daripada Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah r.a. Beliau berkata “Telah
menasihati kami Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati
kami dan menitiskan air kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya
Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka
berikanlah pesanan kepada kami” Lalu baginda pun bersabda “Aku berwasiat
akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta
taat (kepada pemimpin) sekali pun yang memimpin kamu itu hanya seorang
hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia
akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang
teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin
(Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke
jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan
jauhilah perkara-perkara yang baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana
sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat” (Riwayat Abu Daud dan
Tirmizi)
Golongan Yang Selamat
Daripada ‘Auf bin Malik r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda
“Umat Yahudi telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu golongan,
maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh
akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah belah menjadi tujuh puluh
dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka dan hanya
satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diriku di dalam
kekuasaanNya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga
golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh
dua akan masuk neraka. Sahabat bertanya “Golongan mana yang selamat?”
Nabi SAW menjawab “Mereka adalah jemaah” (HR Ibnu Majah)
Orang Asing
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Bersabda Rasulullah SAW
“Islam mula berkembang dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali asing
pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing” (HR Muslim)
Kepayahan Orang Yang Beriman
Daripada Anas r.a. Berkata Rasulullah SAW bersabda ”Akan datang pada
manusia suatu zaman di mana orang yang berpegang teguh di antara mereka
kepada agamanya laksana orang yang memegang bara api. (HR Tarmizi)
Kesusahan Itu Lebih Baik Daripada Kesenangan
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a “Bahawasanya kami sedang duduk bersama
Rasulullah SAW di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a.
Dan tidak ada di badannya kecuali hanya selembar selendang yang
bertampal dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya.
Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan
Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh
ibunya), dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di
Madinah sebagai seorang Muhajirin yang meninggalkan segala harta benda
dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda
“Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu hari nanti, pergi pada waktu pagi
dengan satu pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang
lain pula. Dan apabila diberikan satu hidangan, diletakkan pula satu
hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu sebagaimana
kamu memasang kelambu Kaabah?” Maka jawab sahabat “Wahai Rasulullah,
tentunya keadaan kami pada waktu itu lebih baik daripada keadaan kami
pada hari ini. Kami akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada masalah
ibadat sahaja dan tidak bersusah payah lagi untuk mencari rezeki” Lalu
Nabi SAW bersabda “Tidak! Keadaan kamu hari ini adalah lebih baik
daripada keadaan kamu pada hari itu” (HR Tirmizi)
Golongan Yang Sentiasa Menang
Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW
bersabda “Sentiasa di kalangan umatku ada golongan yang sentiasa menang
(dalam perjuangan mereka), sehingga sampailah pada suatu waktu yang
dikehendaki Allah SWT. Mereka senantiasa menang. (HR Bukhari)