Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan
Agong ke-15 oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana
Negara di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed
Danial Syed Ahmad, pelantikan itu berkuat kuasa 13 Dis ini untuk tempoh
lima tahun.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja itu dihadiri semua Raja dan dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 yang disandang ketika ini oleh
Tuanku Abdul Halim berkuat kuasa 13 Disember 2011, akan tamat tempoh
perkhidmatan pada 12 Disember ini.
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang dipilih sebagai Yang
di-Pertuan Agong ke-15 dalam mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja hari ini
bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, merupakan seorang
raja berjiwa rakyat dan dekat di hati penduduk negeri ini.
Merupakan putera sulung Sultan Ismail Petra, Tengku Muhammad Faris
Petra, 47, menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan
sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.
Sering membahasakan diri baginda sebagai 'kita' ketika bertemu dengan
rakyat negeri ini, baginda sering dilihat turun padang bertemu
masyarakat termasuk penduduk kawasan pedalaman serta perkampungan Orang
Asli di Gua Musang dan Jeli.
Baginda
yang ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Okt 1985 dilihat
lebih gemar mengenakan jubah atau berbaju Melayu atau lebih dikenali di
negeri ini sebagai 'baju gumbang', serta berkain pelikat dan berkopiah
putih ketika melawat rakyat baginda.
Sultan Muhammad V, sebelum ini Timbalan Yang di-Pertuan Agong sejak
12 Dis 2011, turut mencetuskan idea Program Walkathon D'Raja Kelantan
sejak 2011 bagi mengeratkan lagi hubungan raja dengan rakyat.
Menerusi Program Walkathon D'Raja Kelantan itu, ribuan rakyat
Kelantan daripada pelbagai peringkat umur berpeluang untuk berjalan
bersama-sama Sultan Muhammad V dan beberapa kerabat diraja yang lain
sejauh 10 km di sekitar bandar Kota Bharu.
Sepanjang laluan, terdapat beberapa 'checkpoint' yang mempersembahkan
pelbagai aktiviti kebudayaan seperti dikir barat, paluan kertuk dan
rebana ubi.
Pada 2011, program itu diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records
sebagai penyertaan terbesar Walkathon Diraja Malaysia pada tahun
berkenaan selepas berjaya mengumpul sebanyak 21,111 peserta.
Program tersebut adalah program amal anjuran Pertubuhan Kerabat
D'Raja Kelantan Al-Muhammadi bagi mendekatkan baginda dengan rakyat,
menggalakkan amalan gaya hidup sihat selain menjadi ikon tarikan
pelancongan Kelantan.
Baginda turut tidak ketinggalan menyemai spiritual masyarakat Islam
di negeri ini menerusi program 'Qiam With Me' yang diadakan pada setiap
Ramadan sejak 2011.
Program
tersebut yang diadakan pada pukul 10 malam selepas solat Isyak dan
Tarawih, diikuti kuliah agama oleh penceramah jemputan, disusuli
Qiamullail sehingga sahur dan solat Subuh berjemaah bersama baginda.
Menerusi program itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf dan golongan kurang bernasib baik.
Malah, kedua-dua program tersebut - Walkathon D'Raja Kelantan dan
Qiam With Me - dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Kelantan
sebagai satu lagi daya tarikan pelancongan yang unik di negeri ini.
Di sebalik populariti baginda sebagai Sultan Kelantan yang sering
mendapat liputan meluas pengamal media di negeri itu, kerap kali dalam
diam dan tanpa pengetahuan media, baginda berkenan menjengah kehidupan
penduduk yang memerlukan pembelaan.
Malah, pernah tersebar sekeping gambar di media sosial baginda
membuat rondaan menaiki pacuan empat roda seorang diri selepas bencana
banjir besar melanda Kelantan pada 2014.
Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Okt 1969, mendapat pendidikan
awal di Sekolah Sultan Ismail I di Kota Bharu, sebelum melanjutkan
pelajaran ke Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.
Baginda
kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989 sebelum
melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St Cross
College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga
1991.
Sultan Muhammad V, yang merupakan Canselor Universiti Malaysia
Kelantan (UMK), pada masa lapang gemar membaca buku, serta meminati
sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda, kejohanan
kuda lasak dan menembak.
Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr
Muhammad Faiz Petra, 42, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 38, dan Tengku
Amalin A'ishah Putri, 32.
- Bernama