SHAH ALAM - Kerajaan perlu menunjukkan kesungguhannya untuk menyambut baik cadangan Pas yang mahu bermuzakarah.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan tidak boleh sekadar bercakap tetapi perlu memastikan muzakarah yang dicadangkan benar-benar dapat direalisasikan.

“Sebelum ini, sudah banyak perkara yang kerajaan cakap mahu laksana tetapi ianya tidak berlaku. Jadi, kita harap muzakarah kali ini akan jadi satu kenyataan.

“Tidak boleh hanya bercakap tetapi kena tunjuk kesungguhan. Ini kerana, banyak isu yang dibangkitkan oleh pembangkang perlu diambil perhatian oleh kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahad lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan parti itu melahirkan kesediaan bermuzakarah dengan Umno dalam usaha untuk melaksana pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Kenyataan itu disambut baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan Umno bersikap terbuka untuk bermuzakarah dengan Pas.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, cadangan muzakarah tersebut timbul susulan usul mendesak kerajaan melaksanakan sistem perundangan Islam yang diluluskan dalam muktamar lalu.

Katanya, usul tersebut memerlukan komitmen dan sokongan bersama kerajaan persekutuan.

“Kita akan bawa usul ke Parlimen dan harap disambut baik oleh semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik sebab ini kewajipan. Selain itu, kita akan hantar surat rasmi kepada perdana menteri.

“Di pihak Pas, saya fikir kita sudah menunjukkan kesungguhan untuk bermuzakarah bagi memastikan pelaksanaan pentadbiran Islam dapat dilaksanakan. Selebihnya, kita akan tengok bagaimana respons perdana menteri sebagai ketua pemerintah,” katanya.