Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, berkenan mencemar duli merasmikan sekolah agama pertama dibina dalam penjara, Sekolah Agama Tarbiyah Husnul Khatimah di Kompleks Penjara Kluang, di sini.
Baginda diiringi tiga puteranya, Tunku
Mahkota Johor, Tunku Ismail, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman
dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar, tiba di kompleks
berkenaan, kira-kira 10 pagi.
Selesai menyampaikan titah perasmian dan
menandatangani plak, baginda kemudian dibawa melawat sekolah berkenaan
diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Selain itu, turut
mengiringi lawatan baginda ialah Ketua Pengarah Penjara, Datuk Wira
Zulkifli Omar; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohamad
Aziz; EXCO kerajaan negeri dan pegawai kanan penjara.
Menurutnya, perasmian sekolah itu oleh
baginda amat signifikan bagi Kerajaan Pusat kerana ia sekolah agama
pertama diwujudkan dalam kawasan penjara bagi membimbing banduan.
“Sekolah agama pertama ini akan menjadi
perintis untuk pembinaan sekolah agama lain di penjara pada masa depan
kerana ia penting untuk membimbing banduan sebelum mereka dibebaskan.
“KDN ingin melihat banduan yang dulunya
dimasukkan ke penjara dalam keadaan kurang didikan agama mampu
menyambung pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi selepas ini,”
katanya.
No comments:
Post a Comment