Setelah sekian lama membisu berhubung isu Ketua Pembangkang, Anwar
Ibrahim mengawal 20 akaun induk semasa menjadi Menteri Kewangan, bekas
Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid tampil
mengesahkan akuan berkanun yang dibuat beliau 13 tahun lalu adalah
benar.
Abdul Murad yang selama ini didesak pelbagai pihak supaya tampil
menjelaskan perkara tersebut selepas didedahkan media berkata, beliau
memang membuat akuan berkanun pada 1999 berhubung pengendalian
akaun-akaun berjumlah RM3 bilion membabitkan Anwar semasa menjadi
Timbalan Perdana Menteri.
Pada masa sama, beliau yang dalam akuan berkanunnya mengakui membayar
lebih RM120 juta kepada kroni dan organisasi tertentu atas arahan Anwar
memberitahu, bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika
dikehendaki.
"Saya dengan ini mengesahkan ada membuat akuan bersumpah pada 1999
berhubung pengendalian akaun-akaun berjumlah RM3 bilion yang saya
percaya melibatkan Anwar. Saya juga telah memberi keterangan yang
diminta pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini
hari ini.
Isu Anwar mengawal 20 akaun induk dengan menggunakan kroni-kroninya
semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kembali
hangat selepas ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali mengesahkan abangnya
yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali
memiliki kekayaan luar biasa berjumlah RM30 juta.
Kekayaan Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin dipercayai ada kaitan
dengan Anwar kerana ketika tahun 90-an iaitu semasa menjadi Setiausaha
Sulit kepada Timbalan Perdana Menteri, beliau yang bergaji RM2,442
sebulan sudah memiliki aset bernilai jutaan ringgit sehingga disiasat
Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Malah, Abdul Murad sendiri dalam akuan berkanunnya itu secara jelas
mengaitkan nama Shamsidar apabila mendakwa isteri Azmin tersebut dibayar
gaji lumayan dan disediakan sebuah kereta lengkap dengan pemandu
walaupun pada kebanyakan masa wanita itu tidak perlu ke tempat kerja.
Dalam akuan berkanun sama juga, beliau mendakwa Anwar telah
mengarahkannya melaksanakan eksesais korporat yang memihak kepada
kawan-kawan dan kroni serta membersihkan hutang mereka dengan
menggunakan keuntungan daripada rundingan menggunakan pengaruh Bank
Negara Malaysia (BNM).
Antaranya, dakwa Abdul Murad, eksesais korporat melibatkan
pengambilalihan Sikap Power, pemegang konsesi Projek Kuasa Bebas (IPP)
di Lumut, Perak yang dijual kepada Malaysia Resources Corporation Bhd.
(MRCB) atas arahan Anwar sebelum menyuntik konsesi itu ke dalam Malakof
Berhad.
Sementara itu
Ummi hargai jasa Murad rungkai tanda tanya!
Ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali yakin pengakuan bekas Penolong Gabenor
Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid berhubung akuan
berkanun 20 akaun induk yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim adalah atas dasar pengorbanannya untuk negara, agama
dan bangsa.
Beliau berkata, tindakan Abdul Murad itu pastinya akan lebih memudahkan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa
menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.
"Bagi saya, bukan mudah untuk Abdul Murad yang pernah memegang jawatan
penting satu ketika dahulu bertindak membuka pekung di dada, apatah lagi
perkara ini melibatkan etika kerjayanya.
"Kita tidak boleh terus menyalahkan beliau, ia tidak adil kerana
mengenali Anwar, kemungkinan sewaktu itu, Abdul Murad menerima pelbagai
ancaman berbanding hari ini beliau lebih selesa menceritakan perkara
sebenar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Murad hari ini mengesahkan beliau ada membuat akuan berkanun pada
1999 berhubung pengendalian akaun-akaun berjumlah RM3 bilion yang
dipercayai melibatkan Anwar yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana
Menteri selain bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
Ummi Hafilda pula kelmarin, menyerahkan bukti baru berkaitan pemilikan
20 akaun itu serta bukti berkenaan kekayaan luar biasa Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali kepada SPRM.
Menurut Ummi Hafilda, rakyat Malaysia sepatutnya menghargai jasa Abdul
Murad itu apabila beliau dilihat benar-benar bersedia merungkai satu
tanda tanya yang sepatutnya diketahui oleh rakyat selama ini.
Katanya, bagi rakyat yang mungkin masih tertanya-tanya kebenaran
berhubung perkara itu perlu memberi lebih perhatian kerana apa yang
dilakukan Abdul Murad merupakan satu pengorbanan besar.
"Saya percaya dalam usianya sekarang, Abdul Murad lebih matang dan
bertanggungjawab menceritakan kebenaran. Mungkin dahulu, beliau muda dan
mudah terpengaruh tetapi hari ini beliau telah sedar siapa yang perlu
diutamakan iaitu rakyat," katanya.
Wasabi Oyabun..