[TERKINI] Mustapa Ali enggan ulas & serah peguam !!!
|
Bersama isteri |
Setiausaha
Agung PAS, Datuk Mustafa Ali hari ini enggan mengulas berhubung dakwaan
beliau terlibat dalam aksi lucah bersama seorang wanita tidak dikenali,
yang disebarkan dalam bentuk video di blog-blog.
"Saya
tidak akan menjawab sebarang pertanyaan mengenai isu yang diperkatakan.
"Semuanya saya telah serahkan kepada peguam saya melalui Awi & Co
untuk uruskan,"
katanya dalam kenyataan satu perenggan yang disiarkan dalam akhbar sebentar tadi..
ULASAN Sekarang tiba giliran pemimpin PAS pula dijadikan sasaran serangan video seks.
Sebelumnya PKR memberi amaran akan muncul serangan politik berbentuk
aksi lucah dua video berasingan melibatkan dua pemimpin kanan parti itu,
seorang menteri besar dan seorang lagi naib presiden.
Tidak
lama sebelum pilihan raya umum 2008, aksi lucah tokoh MCA menjadi
perbualan. Dr Chua Soi Lek kemudiannya mengaku dan meletakkan jawatan
daripada kabinet.
Sembilan hari sebelum penamaan calon bagi pilihan raya umum 5 Mei ini, tiada sesiapa menduga PAS pula menjadi sasarannya.
Foto wajah seseorang yang kelihatan seperti tokoh utama parti itu yang
berbogel dikatakan mengadakan hubungan seks di sebuah bilik.
Desas-desus ini tersebar awal malam tadi dan diberitakan di laman web
The Star Online menjelang tengah malam.
Sementara
Malaysiakini
difahamkan tentang kewujudan imej ini sekitar 8 malam tetapi mengambil
keputusan tidak melaporkan sehingga mendapat ulasan tuan punya badan.
Sementara dunia blog, khususnya yang pro-Umno, dengan tangkas
menyebarkan imej-imej video tersebut bersama sejumlah maklumat yang
mengejutkan.
Wanita dibayar oleh PKR?
Kononnya, menurut blog-blog tersebut, wanita yang berasmara dengan
tokoh PAS itu telah dibayar oleh PKR untuk memerangkap pemimpin
berkenaan.
Kononnya lagi, dua pemimpin Pemuda PKR berjaya
ditahan dan disiasat berhubung pengedaran video lucah ini di Besut,
Terengganu semalam.
Lebih memeranjatkan, sekonyong-konyongnya
menurut blog lagi, dalam satu rondaan polis pada 7.45 pagi semalam,
pihak berwajib telah menemui "16 sampul surat berwarna putih dan setiap
sampul mengandungi sekeping cakera padat video gambar lucah" di satu
kawasan perumahan di Kampung Alor Lintang.
Sama ada sahih atau
tidak, blog menyebut: suspek ahli PKR Kuala Terengganu telah mengedar
salinan video tersebut, lebih kurang 11 minit 25 saat.
Video itu
memaparkan seorang perempuan, kata blog lagi, disyaki bukan warganegara
melakukan hubungan seks dengan tokoh berkenaan.
Jadi, berbeza
kes video lucah mantan menteri kesihatan, sensasi terbaru ini mempunyai
dimensi politik konspirasi dalam Pakatan Rakyat.
Alasannya,
menurut blog pro-Umno lagi, tokoh PAS itu cuba membawa masuk mantan
pemimpin kanan yang telah terpinggir dan seorang tokoh parti yang telah
dipecat.
Oleh kerana tidak suka dengan langkah tokoh PAS berkenaan, maka dirancanglah satu "perangkap seks" sedemikian rupa!
Yakinkan penyokong totok Umno
Persoalan yang muncul: kenapa perlu video lucah itu diedar di Besut, sebuah kawasan parlimen yang dikenali kubu kuat Umno?
(Atau, dua pemimpin muda PKR itu memang berasal dari daerah Besut?)
Jika begitulah hasratnya, untuk apa lagi diyakinkan kepada penyokong totok Umno bahawa pemimpin PAS memang tidak guna?
Apakah tidak cukup selama berdekad-dekad serangan Umno terhadap PAS di negeri penyu itu?
Kerusi parlimen itu atau Terengganu umumnya tidak pernah dikhabarkan
akan bergoncang pada pilihan raya 5 Mei nanti -- tidak seperti Negeri
Sembilan, Kedah, Johor atau Perak.
Kenapa tidak diedarkan di
Marang, kerusi presiden PAS Abdul Hadi Awang atau Kuala Terengganu yang
bakal ditandingi seorang arkitek terkenal dan kerabat diraja?
Jika serangan video itu dilancarkan oleh PKR dengan gaya baling batu
sembunyi tangan, kenapa tidak ia disebarkan sahaja melalui Internet,
media berpengaruh yang dikuasai sebaik-baiknya oleh parti itu?
Bukankah Internet sudah menjadi sarang bahan-bahan porno yang boleh
dijadikan saluran sebaran dengan murah tetapi sasarannya ribuan, malah
jutaan, penyokong PAS?
Jika pengundi meragui kesucian
pemimpin-pemimpin PAS, apakah kesannya kepada Pakatan Rakyat yang ingin
merampas Putrajaya? Tidakkah menyerang PAS bererti juga menghakis
peluang pembangkang menambah undi?
Walaupun ia tidak mustahil,
dan sekalipun video itu benar, bagaimana mungkin PKR merancang menggoda
tokoh PAS itu dan kemudiannya merakam pula aksi ranjangnya?
Jika
ia benar, tentulah ia diusahakan oleh unit perang saraf terbaik PKR
sehingga tidak terbocor kepada sesiapa -- daripada mengupah wanita itu,
kemudian menggoda tokoh politik berkenaan dan kemudian lagi memasang
kamera di bilik tidur.
Jika wujud unit terhebat itu, kenapa pula
unit itu tidak berjaya mengedarkannya dengan senyap-senyap tanpa dengan
mudah diketahui umum dan ditangkap polis?
Jika benarlah laporan
polis mengesyaki wanita itu bukan warganegara ini, bagaimana pula blog
pro-Umno dengan mudah mendapat pengakuannya?
Sejak bila pula polis atau penulis pro-Umno menemui wanita itu dan mengambil keterangannya?
Dan bagaimana pula unit terbaik PKR itu gagal menyembunyikan wanita
upahannya agar tidak dicekup oleh pihak berwajib atau musuh-musuh
politiknya seperti BN atau Umno?
Pendek kata, skrip video lucah
pemimpin Pakatan -- sekalipun benar-benar wujud -- tunggang-langgang dan
boleh menjadikan orang ramai cukup meluat dan menentang BN
habis-habisan pada Ahad, 5 Mei nanti.
FATHI ARIS OMAR seorang editor kanan di
Malaysiakini.