Biar ahli politik berlakon dan berdrama - kata Khalid dalam ucapan akhir MB
Petang Isnin,Tan Sri Khalid Ibrahim melangkah keluar dari pejabat Menteri Besar Selangor di tingkat 21 bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ,Shah Alam.
Sep 22, 2014SHAH ALAM: Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mengakhiri kerjaya sebagai Menteri Besar Selangor dengan melabelkan ahli politik sebagai pelakon yang gemar berperang hingga akhirnya menjadi bahan lawak jenaka.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang melaksanakan tugas pada hari terakhir, hari ini secara sinis memerli situasi di dalam PKR berhubung krisis untuk menggantikan beliau dengan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Di lobi bangunan itu sudah padat dengan kakitangan kerajaan yang menanti untuk ucap selamat tinggal kepadanya yang rasmi menamatkan tugas Menteri Besar yang disandang selama enam tahun.Suasana agak meriah dan Khalid sendiri berwajah ceria.
Ada antara penjawat awam membawa sepanduk kecil 'We Love Tan Sri Khalid'...'Terima Kasih Tan Sri Khalid' dan 'Tan Sri Khalid Terbaik'.
Khalid berucap sekitar enam minit di situ.Beliau antara lain meminta penjawat awam terus berkerja demi rakyat.
Beliau juga mahu semua penjawat awam abaikan apa yang berlaku dalam kancah politik kerana ia tidak membawa faedah kepada kerajaan negeri amnya dan rakyat Selangor khasnya.
Secara sinis beliau berkata “Saya minta semua bersabar biarkan orang politik berperang. Biarlah ahli politik berlakon dan berdrama. Kita terus kerja.Biar drama mereka jadi lawak jenaka yang akan dikenang selamanya".
“Mesti tentukan rakyat rasa mereka adalah sebahagian dari negeri Selangor. Terima kasih kepada SUK Datuk Khusrin Munawi dan pegawai lain sanggup kerja siang malam dengan saya,” tambahnya.
Beliau menyatakan rasa gembira kerana sepanjang menjadi Menteri Besar tiada campurtangan politik dalam pemberian tender dan sebagainya.
Dalam pada itu, Abdul Khalid turut mencabar penggantinya memulangkan hasil keuntungan aset air kepada rakyat.
Beliau berkata, penggantinya perlu memulangkan aset air bernilai RM14 bilion secara saham seperti yang dijanjikan Pakatan Rakyat (PR) dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
“Ini cabaran kita kepada pemimpin akan datang. Jika tidak rakyat akan hukum mereka kerana sudah janji dalam manifesto PRU lalu,” katanya lagi.
Terdahulu Khalid mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri buat kali terakhir sebagai Menteri Besar Selangor.
Menurut jurucakap Pejabat Menteri Besar Selangor, mesyuarat bermula 10 pagi itu dihadiri tiga anggota Exco daripada PAS iaitu Iskandar Abdul Samad, Sallehen Mukhyi dan Dr Halimah Ali.
“Ini merupakan hari terakhir Tan Sri Khalid (pengerusi mesyuarat Exco) sebagai Menteri Besar Selangor. Beliau mempengerusikan mesyuarat Exco untuk kali terakhir yang dihadiri Iskandar, Sallehen dan Halimah kecuali Dr Ahmad Yunus Hairi,” katanya.
Difahamkan Abdul Khalid telah mengosongkan pejabatnya sejak Ahad.
Sementara itu, Iskandar menyifatkan Khalid sebagai menteri besar terbaik yang pernah dimiliki Selangor.
“Selangor amat bertuah kerana pernah mendapat menteri besar seperti Khalid sepanjang enam tahun ini. Saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid, yang telah menjalankan tugas dengan baik,” katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka.
Sallehen pula berkata beliau amat berterima kasih kepada Abdul Khalid kerana mempercayainya untuk menggalas tanggungjawab sebagai anggota Exco.
Majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang 10 pagi Selasa.-22/9/2014- OLEH ROSLAN BIAN
No comments:
Post a Comment