Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana
dengan limpah dan kurnianya pada hari ini, Beta dapat mengadakan
Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO)
pada petang ini.
Seperti yang kita sedia maklum pelantikan Exco yang baru
ini adalah disebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action
Party (DAP) tiada mempunyai keyakinan kepada Tan Sri Dato’ Seri Abdul
Khalid Ibrahim yang menyandang Menteri Besar Selangor, yang dilantik
selepas Pilihanraya Umum ke 13. Oleh itu seorang Menteri Besar yang baru
dan Exco yang baru juga perlu dilantik untuk mentadbirkan Kerajaan
Negeri Selangor ini.
Kemelut dan pergolakan dalam Parti Pakatan Rakyat ini
bermula daripada Pakatan Rakyat membuat “Kajang Move”-Langkah Kajang dan
bermulalah usaha mereka untuk menyingkirkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul
Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Dengan ini timbullah pelbagai hasutan dan tomahan untuk
memburukkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim supaya dapat
diturunkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor. Perkara hasut
menghasut dan melempar tohmahan-tohmahan terhadap Tan Sri Dato’ Seri
Abdul Khalid Ibrahim berterusan walaupun semasa bulan suci Ramadhan,
dimana umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal
yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wata’ala untuk membersihkan dosa dan
maksiat. Beta telah menyeru dan mengingatkan beberapa kali, rakyat
Melayu beragama Islam di Negeri Selangor ini supaya di bulan Ramadhan
yang mulia ini hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah Subhanahu
Wata’ala dan melakukan amal jariah kita supaya diterima Allah.
Tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap meneruskan agenda
mereka walaupun dalam bulan suci Ramadhan dengan terus menghina
dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat mereka untuk menjatuhkan
Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Di sini Beta ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan
Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim yang telah menjalankan tugas beliau
dengan jaya dan sempurna sebagai Menteri Besar, yang mana hubungan
Istana dengan beliau telah berjalan dengan baik dan lancar.
Krisis yang berlaku berkenaan dengan Menteri Besar Selangor
ini telah membuka mata dan hati serta pandangan Beta terhadap politik
di Negeri Selangor ini. Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan
berkhidmat untuk selama 5 tahun dan mungkin akan diganti pada
pilihanraya yang akan datang. Tetapi kedudukan Beta sebagai Sultan yang
memerintah Negeri Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat Beta.
Sebagai Sultan yang memerintah, tugas-tugas Beta amatlah
berat untuk memastikan rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini dapat
menikmati hidup yang berkualiti dan pembangunan Negeri yang sempurna.
Beta tidak campur tangan dalam pentadbiran Negeri yang dijalankan oleh
Menteri Besar. Beta hanya menasihatkan Menteri Besar jika terdapat
sesuatu perkara yang boleh menyusahkan rakyat.
Beta ingin mengingatkan bahawa Sultan itu bukanlah sahaja
dalam istiadat dan majlis rasmi, tetapi kuasa Sultan adalah untuk
melihat negeri dan rakyat Negeri Selangor ini hidup dalam keamanan dan
maju jaya.
Oleh kerana rakyat tidak diberi kefahaman akan fungsi
sebenar Sultan, rakyat beranggapan Institusi Raja itu adalah sebagai
lambang sahaja tanpa mempunyai apa-apa peranan dan kuasa yang
diperuntukkan dibawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Beta
dapati ada ahli politik yang tidak faham akan peranan dan kuasa
Institusi Raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana Beta yakin
mereka mempunyai agenda yang lain.
Beta adalah Sultan yang memerintah Negeri Selangor sentiasa
berpandukan pemerintahan Beta dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan
Negeri Selangor yang telah di meterikan pada tahun 1959.
Rakyat Negeri Selangor yang berbilang kaum dan berbilang
agama serta mempunyai pelbagai adat resam mahukan Negeri Selangor ini
aman dan makmur, bebas mengamalkan agama masing-masing serta dapat
hidup dalam tenteram dan harmoni.
Seterusnya Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Negeri Selangor yang menyokong
Beta dalam kemelut pelantikan Menteri Besar di Negeri Selangor ini dan
mempercayai Beta dalam menyelesaikan kemelut ini. Beta sentiasa
memikirkan ketenteraman, kemakmuran dan keharmonian rakyat Negeri
Selangor yang Beta kasihi ini.
Tidak lupa juga Beta mengucapkan terima kasih kepada pihak
media arus perdana yang telah berkerjasama dengan pihak Istana dalam
menyiarkan kenyataan-kenyataan akhbar dari Istana.
Disamping itu Beta mahukan orang Melayu Islam janganlah
berpecah belah dan tidak extremis atau mengelirukan rakyat hingga
mengikut ajaran agama sesat.
Beta tidak mahu orang Melayu Islam berpuak-puak, mencaci
antara sesama sendiri, hingga meruntuhkan kemuafakatan orang Melayu yang
mana Beta kuatiri suatu hari kelak jika perkara ini berterusan, orang
Melayu akan menuju kehancuran.
Kemanakah hala tuju, dan kemanakah perginya orang Melayu
nanti. Beta sentiasa berdoa agar Allah Subhanahu Wata’ala membuka hati
mereka supaya dapat melihat kebenaran dan seterusnya bersatu padu
didalam memelihara dan mempertahankan tanah air kita yang dikasihi ini.
Janganlah mudah sangat orang Melayu diperdaya sehingga maruah tergadai
demi untuk kepentingan sendiri.
Kepada Ahli-Ahli Exco yang baru, Beta menyeru supaya
memberi sokongan yang padu kepada Yang Amat Berhormat Tuan Mohamed Azmin
Bin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru. Lupakan segala
sengketa yang lalu dan tumpukan segala tenaga, kepakaran dan pengalaman
disertakan dengan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat Negeri
Selangor yang telah memberi mandat kepada tuan-tuan dan puan-puan
sebagai wakil rakyat mereka. Rakyat tidak suka melihat Negeri Selangor
ini didalam kucar kacir dan mereka tinggal didalam ketakutan dan
kesengsaraan.
Beta berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga dengan
pelantikan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru
ini, parti-parti yang telah diberi mandat untuk memerintah Negeri
Selangor akan dapat berkerjasama untuk mentadbir Kerajaan Negeri dengan
penuh jujur dan ikhlas demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Negeri
Selangor. Rakyat menaruh harapan supaya mereka dapat tinggal di Negeri
Selangor yang kaya dan maju ini serta dapat menikmati segala kemakmuran
yang ada di dalamnya.
Beta sentiasa berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala
supaya Negeri Selangor yang kita kasihi ini dirahmatiNya dan dilindungi
daripada segala malapetaka dan apa juga yang boleh menyusahkan rakyat
Negeri Selangor yang Beta kasihi ini. Amin.
Sekian.
rasanya azmin tak lama jadi mb ada yang akan menjatuhkanya ! kita tunggu dan lihat perkembangan beliau
ReplyDelete