Anwar akan ikut telunjuk Amerika, jika jadi PM
SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Datu Seri Anwar Ibrahim gemar dirinya dikaitkan dengan Eropah, Amerika dan Australia, kata Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Justeru katanya, adalah tidak mustahil sekiranya Anwar sekali lagi menjadi Menteri Kewangan atau Perdana Menteri, beliau akan mengikut telunjuk kuasa-kuasa besar itu.
Daim kemudiannya mengimbas kembali peranan yang dimainkan Anwar ketika negara mengalami krisis kewangan pada 1997. Anwar ketika itu sangat bersetuju dengan pendekatan Tabung Mata Wang (IMF) dan Bank Dunia.
Namun beliau tidak berjaya mempengaruhi Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohammad.
"Dr Mahathir faham, beliau berkata "Apa yang kita bina akan dimusnahkan. Pembangunan dan kestabilan yang dinikmati bertahun-tahun akan hilang begitu sahaja.
"Jika kita tidak berhati-hati, akan berlaku rusuhan seperti di Indonesia, Thailand dan Korea, mungkin lebih buruk lagi"," kata Daim yang mengulang kembali pandangan Tun Mahathir.
Daim berkata Amerika mempunyai pengaruh yang besar terhadap IMF dan Bank Dunia.
Timbalan Setiausaha Amerika, Robert Zoellick pada masa itu memberitahu syarikat negara itu boleh memasuki negara yang menerima bantuan dari IMF dan Bank Dunia dan membeli syarikat-syarikat yang ada dengan harga rendah.
"Ini berlaku pada Indonesia apabila mereka masuk dan ambil semua yang mereka mahu. Mereka juga bunuh Thailand. Kita menyaksikan apa yang telah berlaku," kata Daim.
Bagaimanapun Anwar tidak dapat mengesan muslihat itu kerana beliau pada hakikatnya tidak mempunyai pengetahuan mengenai kewangan negara.
Menurut Daim, Anwar hanyalah graduan berkelulusan Pengajian Melayu.
"Anwar sering ke rumah saya untuk meminta nasihat mengenai perkara berkaitan Kementerian Kewangan.
"Beliau juga sering membawa saya ke rumahnya untuk makan tengahari. Ibu saudaranya memasakkan saya lauk kegemaran saya," katanya ketika diwawancara Berita Harian.
Daim juga menceritakan perihal tiga nama yang disebut-sebut akan menggantikan Tun Mahathir bagi menduduki kerusi perdana menteri.
Ketiga-tiga nama itu adalah, Menteri Kewangan baru tatkala itu, Tan Sri Sanusi Junid, Ketua Wanita Umno ketika itu, Tan Sri Rafidah Aziz dan Anwar.
"Tun Mahathir tidak begitu yakin dengan Anwar. Beliau berkata: "Saya tidak rasa Anwar mampu menguruskan Kementerian Kewangan jika melihat latar belakang akademiknya. Anwar berkelulusan Pengajian Melayu".
"Hujah balas saya lebih kurang begini: "Saya rasa jika anda mahu jadikan beliau pengganti anda, anda perlu melatih beliau. Saya boleh bantu dia dan beri tunjuk ajar, beri nasihat". Akhirnya saya berjaya yakinkan Tun Mahathir," ujar Daim.
No comments:
Post a Comment