LAPORAN POLIS DI HARI POLIS KE 205
Kira-kira jam 5.30 petang semalam, Razali Harun, 39 tahun, membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Laporan terbabit dibuat berikutan kes Pengawal keselamatan mendakwa mengurung pelajar sekolah rendah sebagai gurauan.
"Sejak kejadian berlaku pada hari Rabu lalu dan setelah saya berjumpa guru di sekolah sehari kemudian, tiada kakitangan sekolah terbabit menghubungi saya. Kalau mereka bijak, pasti Guru Besar cuba menghubungi saya sebagai tindakan damage control," ujar Razali.
"Saya meminta nombor telefon penyelia dia, dia berikan. Setelah penyelianya dihubungi, dia berkata, pengawal itu mengunci anak saya ketika dia bertugas sebagai tukang kebun, bukan pengawal keselamatan. Apapun dia sudi membantu dan menemui saya," kata Razali.
Barangkali sebilangan kakitangan sekolah bijak melaksanakan multi tasking, melakukan dua pekerjaan dalam tempoh 24 jam.
Malam Khamis lalu sewaktu kali pertama menemui pengawal keselamatan sama, dia didapati tidak berseragam. Kali ini dia kelihatan berbeza, biarpun hanya berselipar sahaja. Barangkali, teguran kami berhubung penampilannya disalurkan kepada pihak sekolah tempohari telah dimaklumkan kepadanya.
"Sebenarnya saya kasihan melihat dia (pengawal keselamatan). Umur 53 tahun, malam berkerja sebagai pengawal keselamatan, siang pula menjadi tukang kebun. Anak dia ramai, tujuh orang tetapi pada masa sama, saya ingin menyampaikan mesej jelas kepada pihak sekolah, tindakan mengurung anak saya di dalam tandas itu tidak wajar. Jika saya diamkan sahaja, berkemungkinan kejadian sama akan berulang lagi kepada pelajar lain pula dan dia secara berterusan akan menganggap tindakannya itu hanya sekadar satu gurauan," jelas Razali.
Hasil perbincangan bersama pihak polis kira-kira jam 9.30 malam tadi, InsyaAllah, petang esok, Sarjan Aktiviti dari Balai Polis Kota Damansara, Razali, pengawal keselamatan terbabit dan penyelianya akan bertemu Guru Besar sekolah untuk mendapatkan penjelasan dan mencari jalan penyelesaian terbaik.
"Saya tidak mahu insiden berlaku itu dianggap remeh oleh mana mana pihak sekalipun. Kalau dia (pengawal keselamatan) menganggap tindakannya itu satu gurauan, bagaimanakah jika dia pula dikurung di tandas? Adakah dia menganggap itu gurauan?," soal Razali
Amat wajar jika soalan sama dilontarkan kepada pengawal keselamatan terbabit Isnin nanti.
No comments:
Post a Comment