Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA

Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA
Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA

Thursday, December 22, 2011

Formula Kebangkitan Semula Generasi Al-Muflihun: Al-A'raf:157-158

Mulai saat terbit fajar hingga menjelang waktu tidur, umat Islam tidak putus-putus dipanggil dan dirangsang merebut kemenangan, meraih kejayaan. Sesungguhnya seruan hayya `ala ‘l-falah yang mengumandang setiap kali masuk waktu solat itu adalah suatu kekuatan pembangun winning mindset. Demikianlah andainya ia disahut dengan berghairah dan penuh kesedaran. Justeru, kemenangan dan kejayaan adalah keinginan semua orang.

Bagaimanapun tidak semua orang mengetahui hakikat kejayaan yang sebenarnya, sehingga tidak sedikit yang tertipu dengan kejayaan palsu. Dari semasa ke semasa kita menyaksikan orang mempestakan apa yang mereka sangka sebagai kemenangan dan kejayaan, tetapi pada hakikatnya yang dirayakan adalah kekalahan diri mereka sendiri. Ayat-ayat 157-158 surah al-A`raaf adalah antara ayat-ayat yang memaknai al-falah dan al-muflihun menurut ukuran dan kriteria Ilahiah.

Orang-orang yang mengikuti Rasul, Nabi yang ummi (tidak menguasai baca-tulis) yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada pada mereka, yang menyuruh mereka berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan yang menghalalkan segala yang baik bagi mereka dan mengharamkan segala yang buruk bagi mereka, dan membebaskan beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Adapun orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikut cahaya yang terang yang diturunkan bersamanya (al-Qur’an), mereka itulah orang-orang beruntung (berjaya).

Katakanlah (Muhammad), “Wahai manusia! Sesunguhnya aku ini utusan Allah bagi kamu semua, Yang Memiliki kerajaan langit dan bumi; tidak ada tuhan (yang berhak
disembah) selain Dia, Yang Menghidupkan dan Mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, (iaitu) Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan
kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya). Ikutilah dia agar kamu mendapat petunjuk.

Al-muflihun (orang-orang yang berjaya) adalah kata yang menghujungi ayat 157. Ia disebut sebagai pengiktirafan dan pengakuan dari Allah s.w.t. terhadap mereka yang layak berasaskan sejumlah kriteria ketuhanan. Apabila Tuhan sendiri yang memberikan jaminan dan pengakuan “…dan merekalah orang-orang yang berjaya.”, ia adalah suatu kejayaan mutlak yang tidak diragukan atau dipertikaikan, tidak seperti pengiktirafan manusia yang tidak mutlak kerana selalu bersifat subjektif dan bias.

Al-muflihun bukan kelompok eksklusif monopoli kaum tertentu, tetapi terbuka kepada semua, termasuk Yahudi dan Nasrani andainya mereka memenuhi kriteria keimanan dan kesetiaan terhadap Allah dan Rasul-Nya. Ternyata untuk layak meraih kejayaan hakiki di sisi Allah (al-falah yang diertikan oleh A.Yusuf Ali sebagai prosperity in its general sense as well as in its spiritual sense. In the general sense it means that right conduct is the only door to happiness and well-being. In the spiritual sense it means that Faith and its fruits [right conduct] are the only gates to salvation.), tidak cukup sekadar beriman dalam erti pengakuan hati dan ikrar lisan, tetapi harus membuktikannya dengan amal dan perjuangan.

Yang pertama disebut adalah kesediaan menjadi pengikut al-Rasul s.`a.w., dan kesetiaan terhadapnya. Demikianlah yang dimaksudkan dengan kata yattabiun al-rasul (mengikut Rasul) dalam erti menerima kerasulannya, melaksanakan suruhan dan tegahannya, menghayati sunnahnya, mendukung perjuangannya, dan meneladani keunggulan watak dan akhlaknya. Memang ittiba` al-rasul (mengikut rasul) dalam ayat tersebut membawa makna dan implikasi komitmen serius terhadap ajaran dan perjuangan Nabi (s.`a.w.).

Mengikut Rasul begitu penting sebagai kriteria dasar kejayaan sehingga ia disebut dalam kedua-dua ayat yang berurutan (ayat 157 dan 158). Yang pertama kata yattabi`un disebut sebagai sifat terpuji yang menjadi ciri utama mereka yang berjaya meraih kurnia rahmat Ilahi, dan yang kedua kata ittabi`u disebut dalam bentuk perintah. Untuk merealisasikan ittiba` al-rasul ayat-ayat tersebut memberikan rumusan risalah atau misi kerasulan Nabi s.`a.w.: amar makruf, nahi mungkar, penghalalan segala yang baik, pengharaman segala yang buruk, pelepasan dari beban, dan pembebasan dari belenggu. Untuk meraih al-falah lewat ittiba` al-rasul, rumusan risalah Muhammadiah tersebut harus dijadikan isi dan misi hidup sepanjang hayat.

Amar makruf-nahi mungkar (menegakkan kemakrufan dan melawan kemungkaran) adalah penjelmaan komitmen dan kepedulian sosial yang tinggi. Kaum al-muflihun tidak hidup hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk ummah dan kemanusiaan keseluruhannya. Di sebalik amar makruf-nahi mungkar adalah idealisme perjuangan membina umat dan masyarakat berasaskan nilai-nilai murni kemakrufan, nilai-nilai yang pada hakikatnya sesuai dan harmonis dengan sifat tabii kemanusiaan yang sihat dan normal.

Masyarakat makruf adalah masyarakat bermoral dan berintegriti tinggi yang bersih daripada segala bentuk kejahatan dan kekejian. Kerana itu serentak dengan perjuangan merealisasikan nilai-nilai kemakrufan harus dilaksanakan perjuangan melawan dan membasmi segala bentuk kemungkaran, gejala-gejala negatif perosak (kezaliman, kerakusan, kelucahan dll) yang pada hakikatnya bertentangan dengan sifat tabii kemanusiaan yang sihat dan normal.

Para pejuang amar makruf-nahi mungkar sebagai golongan al-muflihun disebut juga dalam ayat 104 surah Ali `Imran:

Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang- orang yang beruntung (meraih kejayaan).

Memang komitmen amar makruf-nahi mungkar yang didasari iman kepada Allah adalah faktor yang menjulang umat ke mercu kejayaan sebagai khayra ummah (umat terunggul) sebagaimana yang terungkap dalam ayat 110 surah yang sama (Ali `Imran): Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.

Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik.

Khayriyyah (keunggulan) yang dicapai menerusi amar makruf-nahi mungkar suatu kejayaan (falah) yang besar. Khayriyyat al-ummah (keunggulan umat) sebagaimana yang disebut dalam ayat tersebut adalah keunggulan bersyarat (khayriyyah mashrutah) dan keunggulan yang harus diraih dengan amal perjuangan amar makruf-nahi mungkar. Demikianlah keunggulan yang ditawarkan oleh al-Qur’an. Ia adalah khayriyyah muktasabah, iaitu keunggulan yang dicapai dengan usaha gigih dan amal yang serius, bukan keunggulan berasaskan `unsuriyyah mawruthah atau keunggulan yang diwarisi tanpa susah-payah.

Al-Qur’an tidak menawarkan ketuanan warisan, yang ditawarkan adalah keunggulan yang bersyaratkan komitmen dan amal nyata di gelanggang amar makruf-nahi mungkar yang didasari iman kepada Allah. Keunggulan sedemikian bukan milik eksklusif kaum tertentu, tetapi ditawarkan kepada semua, siapa sahaja termasuk ahl al-kitab asalkan sanggup memenuhi syarat.

Misi nabawi seterusnya ialah menghalalkan segala yang baik (al-tayyibat), iaitu yang berkualiti, bersih, lazat dan bermanfaat; di samping mengharamkan segala yang buruk (al-khaba’ith), iaitu yang tidak berkualiti, kotor, memudarat dan menjijikkan. Ittiba` al-rasul dalam konteks ini ialah dengan pengamalan cara hidup sihat berasaskan syari`at, mendidik umat dengan kesedaran hukum halal-haram, dan membudayakan gaya hidup religius, bersih dan indah.

Antara komponen penting risalah Muhammadiah ialah pelepasan umat dari beban yang memberatkan sehingga tidak berdaya untuk bergerak ke mana-mana, dan pembebasan umat dari belenggu yang merantai sehingga tidak berupaya berbuat apa-apa. Ketika menjelaskan makna kata al-aghlal (jamak ghullun), A.Yusuf Ali menyebut Islam sebagai a religion for freedom in the faith of Allah, of universality in the variety of races, languages, manners and customs. Memang ayat tersebut secara khusus merujuk bangsa Yahudi yang terbeban dan terbelenggu dalam hukum-hakam keagamaan yang berat sebagai hukuman Tuhan terhadap kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan; tetapi secara umum menyiratkan semangat liberatif agama Islam.

Yang harus dibebaskan bukan hanya bangsa-bangsa tertentu, tetapi umat manusia keseluruhannya. Ittiba` al-rasul dalam konteks semangat pembebasan ini ialah dengan perjuangan mimbina umat yang berjiwa dan berminda merdeka, bebas dari segala bentuk pembelengguan: pembodohan, pembisuan, pengurungan dalam kepompong perkauman sempit, pembatasan ruang berfikir dalam tembok kepartian dan lain-lain yang sejenisnya.



Demikianlah paparan tentang Nabi s.`a.w. dan misi besar perjuangannya yang harus diimani dan dimuliakan, disanjung dan didukung oleh mereka yang ingin meraih kurnia al-falah. Selain itu ada lagi satu syarat penting yang perlu dilaksanakan, iaitu kesetiaan berpegang dengan ajaran kitab suci al-Qur’an yang diturunkan mengiringi kerasulannya.

Al-Qur’an dan al-Rasul memang tidak boleh dipisahkan kerana kitab suci tersebut adalah bukti kerasulannya, sementara peribadi dan kehidupan Junjungan s.`a.w. pula adalah pancaran dan terjemahan praktik worldview, prinsip-prinsip dan nilai-nilai Qur’ani. Al-Qur’an dalam ayat ini disebut sebagai al-nur, cahaya penerang yang memungkinkan manusia melihat sesuatu dengan jelas sehingga segalanya tampak dalam wujud hakikinya, yang haq jelas haqnya dan yang batil nyata batilnya.

Pada ayat tersebut juga terdapat ungkapan yang harus diberikan perhatian khusus, bahawa al-nur (al-Qur’an) disebut unzila ma`ahu (diturunkan bersamanya), tidak disebut unzila ilayhi (diturunkan kepadanya). Tentunya ada sesuatu di sebalik kata ma`ahu (bersamanya) itu. Dalam penjelasannya tentang persoalan ini A.Yusuf Ali mengatakan, “Light which is sent down with him: the words are “ with him”, not “to him”, emphasizing the fact that the Light which he brought illumines everyone who has the privilege of joining his great and universal Fellowship.”

Golongan al-muflihun menjalani hidupnya dalam benderang suluhan wahyu, dan dengan demikian mereka sentiasa terbimbing di jalan Ilahi menuju matlamat keredhaan-Nya. Memang demikianlah yang seharusnya, kaum al-muflihun hidup di jalan Allah (al-hayatu fi sabili ‘Llah), lalu mengharap untuk mati di jalan Allah (al-mawtu fi sabili ‘Llah). Mungkin ayat-ayat inilah yang menginspirasikan pengungkapan slogan popular di kalangan para aktivis gerakan Islam: Allahu ghayatuna (Allah matlamat kita), al-rasulu za`imuna (al-Rasul pemimpin kita), al-Qur’an dusturana (al-Qur’an perlembagaan hidup kita), al-jihadu sabiluna (jihad jalan hidup kita), al-mawtu fi sabili ‘Llahi asma amanina (mati di jalan Allah puncak keinginan kita).

Sorotan ayat 158 masih menumpu pada al-Rasul s.`a.w. kerana persoalannya masih berkisar pada ittab` al-rasul sebagai wahana pencapaian al-falah. Ayat tersebut memuatkan deklarasi kesejagatan misi Muhammad s.`a.w. yang merentasi persempadanan bangsa, daerah dan zaman. Ia bukan lagi misi khusus untuk kaum tertentu, di daerah tertentu dan pada zaman tertentu.

Risalah Muhammadiah tidak hanya untuk membebaskan Bani Isra`il dari perhambaan rejim Fir`aun Mesir, tidak hanya untuk mendidik warga Madyan tentang etika bisnes, tidak hanya untuk menyelamatkan kaum Lut dari penyimpangan seksual, tidak hanya untuk mendisiplinkan kaum Thamud yang berleluasa menyalahgunakan kuasa untuk menindas, dan tidak juga hanya untuk menghadapi keangkuhan kaum `Ad. Muhammad s.`a.w. adalah pelaksana misi universal demi kemanusiaan sejagat, membebaskan semua yang masih terbelenggu, mendisiplinkan semua yang masih merajalela, dan mendidik semua yang masih buta etika.

Muhammad s.`a.w. adalah seorang utusan, tetapi bukan sebarang utusan, Junjungan s.`a.w. adalah utusan Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Maha Perkasa, Pemilik dan Penguasa Tunggal seluruh kerajaan langit dan bumi, Tuhan Yang Maha Mutlak Iradah dan mashi’ah-Nya, yang dihidupkan pasti hidup, yang dimatikan pasti mati, yang dimuliakan pasti mulia dan yang dihina pasti hina, tidak siapa pun yang mampu menghalang-Nya.

Seharusnyalah manusia beriman dengan Rasul utusan Tuhan yang sedemikian sifat-sifat-Nya, Rasul yang lebih dahulu beriman penuh dengan Tuhan-Nya dan segala ajaran-Nya (kitab-kitab-Nya), lalu mengajak manusia lain beriman bersamanya. Apabila Tuhan memerintahkan wa ‘t-tabi`uhu (dan ikutlah dia), yang harus diikut termasuklah sikap beriman, yakin dan percaya kepada misi yang hendak dibawa ke tengah khalayak umat. Dengan demikian makna ittiba` al-rasul dapat ditepati dan seterusnya al-falah sebagai golongan yang terbimbing (al-muhtadun) dapat diraih.

Harapan kejayaan mendapat kurnia bimbingan Ilahi hanya untuk mereka yang beriman dengan Allah dan segala ajaran-Nya, beriman dengan Rasul dan meyakini misi yang diwarisi darinya. Untuk meraih al-falah yang berupa kurnia petunjuk Ilahi (la`allakum tahtadun) para pewaris perjuangan misi nabawi perlu membebaskan diri dari kemunafikan budaya: melaung-laungkan slogan indah yang diri sendiri tidak mempercayainya.

Khatimah

Generasi al-muflihun adalah jelmaan umat ideal yang menikmati hasanah duniawi dan hasanah ukhrawi. Justeru, masyarakat yang hidup dalam nilai-nilai kemakrufan dan terpelihara dari segala gejala kemungkaran adalah masyarakat murni yang makmur dan sejahtera, damai dan bahagia , merdeka dan bermartabat, bersatu dan berkasih-sayang.

(Nota: Ini teks asal syarahan Tafsir Maudhuiy (Siri Ke-17) pimpinan Dato' Dr Siddiq Fadzil yang disampaikan di Sabah sempena pelancaran Sambutan 30 tahun ABIM Sabah.)

http://www.abim.org.my


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...