Mustafa Ali  
  • Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
SHAH ALAM - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali hari ini mengesahkan surat pemecatan keahlian pendakwah popular, Mohammad Kazim Elias telah dihantar selepas PRU13, Mei lalu.

Menurutnya, surat itu turut dihantar bersama 20 ahli Pas lain yang turut dilucutkan jawatan atas kesalahan bertanding menjadi calon bebas dan menyokong calon tersebut.

Beliau berkata, surat itu telah dihantar melalui perkhidmatan pos laju dan telah sampai tanpa mendapat apa-apa respon daripada Mohammad Kazim atau Ustaz Kazim.

"Ya, memang kita telah pecat beliau pada Mei lalu.

"Ibu pejabat kita telah hantar surat itu kepadanya. Kita anggap sampai kepada beliau, sebabnya kita tidak menerima pengembalian surat itu, jadi kita anggap beliau terima.

"Kita juga tak dapat apa-apa respon daripada beliau," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, Pas menjelaskan kedudukan Mohammad Kazim dalam parti itu yang telah dipecat dan disahkan Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Susulan itu, Mohammad Kazim turut dilaporkan media yang dipetik sebagai berkata beliau tidak pernah keluar daripada Pas dan tidak menerima surat pemecatan.

"Ya, saya ahli Pas. Saya tidak pernah keluar daripada Pas walaupun dulu ada ura-ura kata saya dipecat daripada Pas, tapi tak ada surat pemecatan atau (surat) jawatankuasa disiplin kepada saya.

"Sepatutnya Pas merasa sikit malu dengan Umno kerana boleh menjemput orang luar Umno untuk berada dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno dan Pas tidak pernah menjemput saya, apatah lagi mrnjadi teman yang mesra," katanya.

Dalam pada itu, Mustafa juga mengesahkan Pas tidak menerima surat rayuan daripada Mohammad Kazim dan bekas ahli yang dipecat walaupun mempunyai ruang untuk berbuat demikian.

"Sehingga hari ini, kita tak dapat apa-apa surat rayuan atau kenyataan rayuan daripada ahli yang kita pecat termasuk Mohammad Kazim," katanya lagi.