•                   umno
KUALA LUMPUR - Seramai 27 daripada 33 pemimpin Umno Bahagian Kepong mengulangi pendirian untuk meletak jawatan sekiranya pemilihan jawatan timbalan ketua bahagian itu tidak dilakukan semula.

Ketuanya, Datuk Rizuan Abd Hamid berkata, tindakan itu bukan satu ugutan tetapi penetapan pendirian mereka agar pemilihan dilakukan lebih telus.

Menurutnya, pihaknya telah menghantar surat mengenainya beserta tandatangan sokongan 27 pimpinan tinggi bahagian itu kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu lalu dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Isnin.

"Bukti mengenai pengesahan kertas undi rosak juga ada pada kami yang diserahkan sendiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Pemantau, Ab Wahab Said.

"Oleh itu, dari mana pula Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dapat pengesahan pengerusi pemantau yang bersetuju undi rosak itu boleh diguna semula," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Umno Bahagian Kepong, Ahmed Zaharani Yusof Omar, calon jawatan itu, Mohd Khilmi Yusop, Naib Ketua Umno bahagian, Azman Taib  di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tambahnya, dua pertiga majoriti daripada kepimpinan bahagian tidak berpuas hati apabila Mohd Khilmi yang memenangi jawatan itu pada pemilihan parti 19 Oktober lepas, ditarik balik kemenangannya tanpa penjelasan munasabah.

"Lagi meragukan apabila 21 undi rosak yang disahkan wakil-wakil calon dan pengerusi pemantau untuk jawatan berkenaan 19 Oktober lepas disahkan boleh diguna pakai oleh Syed Ali Alhabshee, tapi keputusan undian sepenuhnya bagi kedua-dua calon tetap tidak dimaklumkan kepada mereka," katanya.

Pada Jumaat lepas, Syed Ali dalam satu kenyataan akhbar berkata, jawatankuasa khas bantahan Umno telah memutuskan jawatan timbalan ketua Umno bahagian itu dimenangi Datuk Norizan Ali selepas dakwaan sebanyak 21 kertas undi yang didakwa rosak didapati tidak benar dan diterima sebagai kertas undi yang sah.

Sementara itu, Ahmed Zaharani berkata, keputusan berkenaan juga dimaklumkan kepadanya melalui surat yang diberikan badan perhubungan Wilayah Persekutuan Sabtu lepas, namun tidak kepada Mohd Khilmi.

Ditanya sama ada pihaknya meletakkan tempoh untuk Umno pusat memberikan jawapan, beliau berkata, pihaknya tidak meletakkan tempoh, tetapi yakin Umno pusat akan menjawab secepat mungkin.