(Sinar Harian, Khamis 28 Feb 2013)
Saya tidak mahu terlibat dalam kontroversi bantuan
rakyat 1Malaysia (BR1M) atau apa juga bentuk nama bantuan yang diberikan. Pada
saya memang menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memberikan bantuan kepada
rakyat yang memerlukan, tidak kira tempat, dalam keadaan apa, masa bila, warna
kulit dan sebagainya. Apatah lagi mereka yang miskin tegar. Jika yang miskin
tegar telah berusaha tidak berubah juga, ketika itu jika perlu dibantu
sepanjang hayat, maka berikanlah. Lagipun
apalah sangat puluhan ribu berbanding dengan jutaan dan ribuan juta.
Justeru, tidak hairan jika pada zaman Rasulullah dan para
sahabat, pemimpin agung ini sanggup berkorban dan berjaga malam untuk mencari
rakyat yang memerlukan bantuan. Pada masa sama, jika ada rakyat yang kaya-raya
dan berkemampuan, tidak tampil ke hadapan membantu seperti menunaikan zakat, maka
mereka boleh diperangi atau dikenakan tindakan.
Cuma hari ini kita begitu sedih, kenapa dan mengapa
kita mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan dalam konteks bantuan ini.
Tidakkah kita boleh bersangka baik daripada bersangka buruk. Tidak perlulah
melabelkan seseorang sebagai bantuan firaun, pelacur, lembu, hampas, ayam, itik dan banyak lagi
binatang kiasan dalam isu BR1M. Faedah apa yang kita dapat mengeluarkan
kenyataan sedemikian, selain menyakitkan hati orang yang mendengarnya. Kenapa
kita bertindak melebarkan jurang bukan merapatkannya? Kenapa kita sengaja
melakukannya, sedangkan kita tahu perpecahan melemahkan?
Wahai umatku, kita sudah terlalu banyak berpecah.
Perlukah kita tambah dengan kesakitan sebegini. Jika kita ramai tidak mengapa
lagi jika berpecah. Tetapi perpecahan ini telah menjadikan kita minoriti, walaupun bilangannya
agak majoriti. Sebenarnya kita sudahpun menjadi minoriti dalam majoriti. Ini yang menjadikan orang lain mengambil
kesempatan.
Pada saya, lebih baik kita fikirkan bersama, cara
bagaimana bantuan tersebut boleh dimanfaatkan. Bagaimana RM500 boleh dikembangkan
menjadi RM1000 dan berbagai gandaan lagi. Seperti yang pepatah Cina sebut, beri
seseorang seekor ikan, ia hanya boleh mengenyangkan untuk satu hari, tetapi
ajar bagaimana cara menangkap ikan, ia boleh mengenyangkan seumur hidup.
Keperluan mendesak hari ini adalah soal bagaimana?
Kenapa tidak gunakan wang tersebut untuk melatih anak bangsa soal kemahiran. Bayangkan
daripada ratusan ribu yang menerima bantuan, kita ajar mereka skill menjahit,
memasak, membaiki dan sebagainya, tidakkah wang tersebut akan beranak-pinak?
Saya masih ingat datuk nenek saya dahulu, berhijrah ke
mari sehelai sepinggang. Tinggal di kampung Melayu. Mereka tidak tahu apa-apa. Kampung
Melayu tersebut begitu asing baginya. Satu-satunya Cina yang tinggal di situ. Tetapi
mereka tidak lari ke tempat perkumpulan atau perkaumannya. Mereka terus tabah
merubah hidup
Mereka tidak duduk diam. Berusaha mencari dan menambah
pendapatan. Susahnya, Tuhan sahaja yang tahu. Setelah berjaya mengumpulkan
modal, bapa saya membuka kedai runcit. Satu-satunya kedai runcit di kampung
Melayu tersebut, adalah kedai runcit bapa saya. Bapa saya menjadi kaya-raya
dengan perniagaan tersebut. Ibu saya yang asalnya buta huruf, sudah pandai menulis
dan mengira. Saya masih tidak lupa mengajar ibu menurunkan tandatangan
menggunakan huruf rumi. Walaupun buta huruf,
keinginan untuk berubah begitu tinggi.
Persoalan selalu dilontar, kenapa keluarga Cina boleh hidup
kaya-raya di kampung Melayu yang begitu asing baginya? Kenapa orang Melayu
tidak boleh hidup kaya-raya dalam perkampungan Cina? Usahkan mahu berniaga,
tempat tinggalpun, seboleh-bolehnya mereka mahu lari daripada perkampungan atau
taman tersebut. Kita tidak ada daya tahan berhadapan mereka, berbanding mereka berhadapan kita. Sikap ini
terus terbawa-bawa sehingga ke hari ini.
Sebagai anak, ibu bapa saya tidak suka anaknya duduk
diam atau membaca buku sahaja. Mereka akan pastikan anaknya mewarisi skill perniagaannya.
Maka diajar anaknya bangun awal pagi, kemudian sembahyang, selepas itu menolong
ibu bapa, sama menjaga kedai atau menjaga kebun. Saya diajar menjaga akaun atau
menjaga peti duit dan mengira hutang orang kampung. Istilah lebih tepat lagi
bermain angka. Permainan angka itu menjadi kami pandai matematik walaupun tidak
bersekolah tinggi.
Persoalannya, kenapa kita tidak boleh menjadi seperti
mereka? Sudahlah skill tidak dipelajari, hari ini masa banyak terbuang mengata,
mengumpat dan saling dengki-mendengki. Saya begitu teruja dengan kata-kata
pemimpin Melayu ultra kiasu sehari dua ini. Katanya, selepas menguasai
Putrajaya tidak timbul lagi soal balas dendam. Benarkah perkara tersebut akan
berlaku?
Apa yang saya lihat, selepas menang beberapa buah
negeri dalam PRU 12, boleh dikatakan semua badan yang berada di bawah kawalan
negeri berubah. Masjid surau bertukar imam dan ahli jawatan kuasa, begitu juga
dengan badan-badan seperti majlis perbandaran. Semua ahli jawatan lama
digugurkan, dimasukkan orang-orang mereka. Apakah ini bukan membalas dendam?
Sebenarnya sifat inilah yang menyebabkan Melayu tidak
boleh pergi jauh. Dalam diri mereka penuh hasad dengki. Di kala itu orang lain
mengambil kesempatan. Justeru, sudah sampai masanya kita buang sifat-sifat
negatif tersebut. Yang paling hari ini, fikirkan bagaimana cara membantu anak
bangsa untuk survive dalam dunia yang
mencabar hari ini. Jangan beri ikan, tetapi ajarlah mereka menangkap ikan.
No comments:
Post a Comment