*Korang tengok ruangan komen kat sini (FB Sinar), ramai MACAI dah meroyan.
[ULASAN] Ada
lima perkara yang dititahkan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada
kerajaan baru negeri Selangor dalam upacara angkat sumpah jawatan 10
exconya sebagai pedoman untuk jangka lima tahun akan datang.
Pertama, baginda mengingatkan bahawa kerajaan negeri wajib melaksanakan
semua janji atau manifesto yang dibuat pada pilihan raya umum yang
lalu. Ini kerana manifesto ialah janji.
Jangan tipu rakyat
Soal ini amat penting bagi baginda kerana rakyat yakin dan menaruh
harapan apabila memilih parti tertentu untuk mentadbir negeri
bersandarkan janji-janji yang dibuat dalam manifesto.
“Oleh
itu amatlah penting ianya ditunaikan dan janganlah melupakan rakyat
yang menaruh harapan untuk menikmati sebuah negeri yang aman makmur
dalam suasana rakyat hidup dengan penuh harmoni,” titah baginda dalam
ucapan Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Exco
Selangor di Istana Alam Shah pada Khamis.
Selepas PRU-12 pada 2008, banyak aduan diterima daripada rakyat yang
tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri kerana gagal melaksanakan
janji-janji yang dibuat dalam manifesto Pakatan Rakyat.
Antaranya, gagal memberi air percuma secara menyeluruh, tidak memberi
bantuan elaun kepada ibu tunggal dan kanak-kanak yang belajar di
peringkat taska.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, apabila diajukan masalah
berkenaan cuma menjawab ringkas bahawa "manifesto bukan janji".
Jangan heret Sultan dalam kancah politik kepartian
Kedua, baginda tidak mahu diheret dalam kancah politik kepartian baik oleh parti memerintah mahupun parti pembangkang.
Perkara
ini dihuraikan oleh Setiausaha Sulit Baginda, Datuk Munir Bani dengan
mengambil contoh isu kelewatan pelantikan ahli-ahli mesyuarat kerajaan
negeri (Exco) yang cuba dikaitkan oleh pihak-pihak tertentu dengan
karenah istana.
“Saya ingin mendapat kerjasama dari penulis-penulis laman sesawang dan
blog supaya tidak mengheret pihak Istana terutama Sultan Selangor dalam
apa jua perkara tanpa siasatan terlebih dahulu.
"Ini bagi mengelakkan salah tanggapan rakyat terhadap Sultan Selangor
khasnya dan pihak Istana amnya,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Menjelaskan punca kelewatan pelantikan exco Selangor, Mohamad Munir
berkata, Sultan Sharafuddin pada 14 Mei lalu telah menitahkan Menteri
Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengemukakan senarai exco
untuk diperkenan.
Selaras dengan peruntukan undang-undang, Abdul Khalid berjanji
mengemukakan nama-nama exco setelah berbincang dan mendapat persetujuan
daripada ketiga-tiga parti komponen dalam tempoh satu minggu.
Sultan titah MB kemuka senarai Exco sejak 14 Mei
Mohamad Munir berkata, baginda pada 20 Mei lalu telah menerima surat
mengandungi senarai nama exco semasa Abdul Khalid bercuti membuat
rawatan di luar negara.
“Menteri Besar Selangor hanya menghadap bagi mendapat perkenan Sultan
Selangor pada Isnin 27 Mei lalu selepas beliau kembali ke tanah air.
“Oleh itu tidak benar tohmahan oleh seorang Ahli Parlimen Selangor yang
menyatakan kelewatan pelantikan exco disebabkan memenuhi kehendak
Sultan Selangor,” katanya.
Kenyataannya itu dipercayai merujuk kepada dakwaan Ahli Parlimen Shah
Alam Khalid Samad yang menyebut kelewatan berkenaan kerana Sultan
Selangor mahu melihat nisbah exco yang berlainan pada kali ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS III itu dalam blognya 20 Mei lalu berkata
pihaknya difahamkan Sultan mahu formula 6:4, iaitu enam exco Melayu
berbanding 4 exco bukan Melayu berbanding formula 5:5 yang digunakan
sebelum ini.
Selain Khalid, seorang pemimpin kanan PKR juga dilaporkan membuat
kenyataan bahawa ADUN Sri Andalas Xavier Jayakumar tidak dilantik
sebagai exco bagi penggal kedua kerana tidak mendapat perkenan baginda.
Wakil rakyat perlu utamakan keperluan rakyat, titah Sultan
Peringatan ketiga baginda ialah, setiap wakil rakyat yang diberi mandat
mesti menghindar dan jangan sesekali melakukan dosa dan khianat rasuah.
Keempat, baginda juga mengingatkan ahli-ahli Berhormat supaya sentiasa
berhati-hati menjalankan tugas dan jangan cuba mengelirukan rakyat tidak
kira dalam isu apa sekalipun.
Ini memandangkan rakyat sekarang sudah bijak menilai dan dibantu pula
dengan media massa yang bebas dan media elektronik yang canggih sekali
gus membolehkan rakyat menerima maklumat dengan cepat.
Kelima, Sultan Sharafuddin juga bertitah bahawa mereka yang sudah
diangkat untuk menjadi wakil rakyat supaya sentiasa mendampingi rakyat.
"Janganlah apabila memerlukan undi, ahli-ahli Yang Berhormat
menjanjikan bulan dan bintang serta sanggup melawat mereka hingga ke
dapur rumah tetapi apabila telah mendapat undi dan memperoleh
kemenangan, kelibat ahli Yang Berhormat sekelian pun tidak kelihatan.
“Beta tidak berkenan mereka yang telah mendapat mandat ini mengambil
kesempatan untuk memperolehi sesuatu demi kepentingan diri sendiri,”
titah baginda.
Apakah makna peringatan Sultan Sharafuddin ini? Sudah pasti ia adalah
penterjemahan firasat baginda bahawa masih banyak yang tidak kena dengan
kerajaan Pakatan Rakyat dalam penggal lalu.
Namun sebagai raja berjiwa rakyat, baginda tidak mahu mencampuri ehwal
urusan kerajaan. Baginda sentiasa peka keperluan rakyat dan peringatan
ini diberikan tepat pada masanya sebagai sempadan supaya bila menjadi
pemimpin, usahlah angkuh dan menganggap dirinya sempurna.
No comments:
Post a Comment