Ilmu Menjadikan Kita Takut Kepada Allah
Oleh : PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
orang beriman yang puasa tidak akan melakukan perkara yang
membatalkan amalan itu sama ada semasa bersendirian atau di hadapan
orang lain. – Gambar hiasan
Pada hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam di negara ini sudah
mula berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu dan ulama. Di
masjid-masjid dan surau-surau majlis-majlis pengajian ilmu semakin
rancak diadakan.
Ia mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segenap lapisan
masyarakat yang dahagakan ilmu dan pentarbiahan hatta terdapat masjid
yang mengadakan majlis pengajian pada setiap malam.
Ini suatu
perkembangan yang baik kepada peningkatan kualiti umat Islam di negara
ini dan agama Islam itu sendiri.
Persoalannya, apakah ilmu yang mereka perolehi ini benar-benar memberikan manfaat dan kesan ke dalam diri mereka?
Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan
perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan
membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. Allah SWT telah memuji para
ulama melalui firman-Nya:
Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah
dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.
(al-Faatir: 28)
Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke
jalan akhirat. Kalam hikmah ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al
Sakandari r.a dalam Hikamnya yang bertajuk al Hikam al Atoiyyah.
Terbukti, kalam hikmahnya ini telah mampu melunakkan hati yang keras,
menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak
manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga
kita mendapat manfaat daripadanya.
Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah bukanlah orang alim yang sebenarnya.
Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya.
Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak
dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya.
Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata,
“Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati”.
Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi
memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas
menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa.
Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat
bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada,
mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah.
Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata:
“Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan
agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan
dipuji di sisi Allah SWT”.
Abu Muhammad r.a pernah ditanya:
“Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?” Jawabnya: “Orang-orang yang
mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri
mereka sendiri”.
Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan:
“Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah”.
Al Wasiti r.a berkata:
“Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut
mereka kepada Allah dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh
Allah SWT”.
Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama.
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Penuntut ilmu dijamin oleh Allah
rezekinya”.
Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam
al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai
oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga
ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat.
Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah.
Sebahagian Salaf berkata:
“Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)”.
Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a:
“Apakah ilmu yang paling berguna?” Jawabnya, “Ilmu yang menunjukkan
kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa
nafsumu”.
Beliau berkata lagi:
“Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada
sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota
zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada
dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia,
meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi
nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk
bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih-kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.
“Apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan
dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada
akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada
dunia”.
Allah SWT berfirman (maksudnya):
Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia
sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang
hari akhirat.
(al-Rum: 7)
Rasulullah SAW bersabda:
“Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya
dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya.
Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang
akan rosak binasa (dunia)”.
(riwayat Imam Ahmad dan al Hakim)
Fudhail ibn ‘Iyadh berkata:
“Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama.
Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam
dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain”.
Sesiapa yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di
dalamnya, jawatan dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak
bermanfaat. Bahkan, dia tertipu dengan ilmunya.
Tidak ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim
dengan ilmunya yang diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon
dengan Allah daripadanya.
Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang diamalkan. Ulama
mengumpamakan orang yang menghabiskan banyak waktu menuntut ilmu, duduk
selama 40 atau 50 tahun belajar tanpa beramal, seperti orang yang asyik
bersuci selama waktu itu dan memperbaharui wuduknya tetapi tidak solat
walau satu rakaat.
Ini kerana maksud atau tujuan suatu ilmu ialah beramal dengannya sebagaimana tujuan berwuduk adalah untuk melakukan solat.
Berkata sebahagian ulama:
“Kalaulah ilmu tanpa takwa itu penentu suatu kemuliaan, nescaya semulia-mulia makhluk Allah ialah iblis”.
sumber
No comments:
Post a Comment