BANGI, 13 Mac – Ketua Biro Politik ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya
menyifatkan bahawa pemberian ganjaran wang ringgit oleh pihak pemerintah
kepada rakyat dilihat lebih kepada gimik politik menjelang pilihanraya.
“Jadi apabila pemerintah mengumumkan berita baik dengan pelbagai
ganjaran kepada rakyat mungkin ada sebahagian menerima, tetapi secara
umumnya rakyat akan melihat ini sebagai satu gimik semata-mata,
tambahan pula PRU13 yang semakin hampir.
“Boleh jadi pemerintah ikhlas untuk memberikan kebaikan pada rakyat
tetapi dari sudut negatif lebih besar dari kebaikan,” ujarnya.
Tambah Tuan Haji Aminuddin, transformasi yang dilakukan oleh pihak
kerajaan dalam pemberian ganjaran ini hanya merupakan sebahagian
transformasi kecil, sedangkan transformasi yang lebih luas yang rakyat
mahukan adalah supaya pihak pemerintah terus memperjuang dan
memperkasakan Islam di negara kita.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman 9 berita baik oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang memberikan
beberapa ganjaran kepada penjawat awam baru-baru ini.
Namun selepas itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula
mengeluarkan kenyataan bahawa kenaikan gaji penjawat awam, tentera dan
polis hanya bermanfaat jika manifesto Pakatan Rakyat (PR) dilaksanakan
dengan memberi jaminan bahawa kenaikan tersebut akan dikekalkan dan gaji
yang lebih setimpal akan disemak dari masa ke semasa jika PR menang
kelak.
“Isu ini menjadi persaingan antara parti. Maka tidak hairan jika BN
boleh beri RM500, PR boleh beri lebih dari itu, kerana itu hanya
transformasi dalam konteks yang sangat kecil yang diharapkan oleh rakyat
kepada pihak pemerintah.
“Maka, bagi saya inilah satu cabaran buat pemerintah untuk
memperbaiki secara keseluruhan kerana sebagai orang Islam kita menunggu
dan mengharapkan transformasi yang lebih menyeluruh dalam konteks yang
lebih jangka panjang dalam memperkasakan kedudukan Islam di negara
kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment