ADALAH tidak mustahil dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, baru-baru ini mengenai kewujudan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik di Malaysia menerima sokongan kewangan dari Amerika Syarikat (AS) untuk menggulingkan kerajaan. Sejarah telah membuktikannya.
Tun M dedahkan usaha berkiblatkan AS |
Malahan ia telah menjadi asas dasar luar negara AS sepanjang abad ke-19 dan ke-20 melalui Manifest Destiny (Takdir Ternyata) dan Doktrin Monroe. Secara luasnya, Manifest Destiny bermaksud rakyat Amerika adalah manusia yang dipilih Tuhan untuk membina masyarakat dan menjadi contoh kepada semua. Secara khususnya, ia menjadi rujukan bagi mengembang tanah jajahan AS dari lautan Atlantik ke Pasifik.
Menurut Cateora, Gilly dan Graham (2010), idea dari Manifest Destiny ini telah digunakan untuk mewajarkan penaklukan AS ke atas negeri Texas, Oregon, New Mexico, dan California, yang sebahagian besarnya dahulu wilayah negara Mexico. Ia kemudian berlarutan dengan penglibatan AS di Cuba, Alaska, Hawaii, dan Filipina.
Sementara itu, Doktrin Monroe, yang menjadi dasar awal luar negara AS, telah dinyatakan dengan jelas oleh Presiden James Monroe bahawa ia mengandungi tiga pernyataan rasmi: Tiada lagi penjajahan dari Eropah di Dunia Baru (AS); pengecualian AS dari hal-ehwal politik Eropah, dan tiada campur tangan oleh kerajaan-kerajaan Eropah dalam kerajaan-kerajaan di Hemisfera Barat (Dunia Barat).
Bagaimanapun, terjemahan Doktrin Monroe menjadi luas sehingga Presiden Theodore Roosevelt membuat tambahan yang dikenali sebagai Kesimpulan Urutan Logik Roosevelt (Roosevelt Corollary). Tambahan doktrin ini melarang negara atau rakyat bukan Amerika dari mencampuri hal-ehwal di Amerika Latin, selain ia memberi kuasa kepada AS untuk pengawasi benua tersebut dan jaminan negara-negara di Latin Amerika memenuhi tanggungjawab antarabangsa, ia itu membuka pasarannya kepada syarikat-syarikat AS, menghapuskan sekatan ke atas sumber asli dan tarif perdagangan.
Roosevelt Corollary telah mengesahkan campur tangan AS di Republik Dominica pada 1905 apabila Presiden Roosevelt memaksa negara tersebut menerima pelantikan penasihat ekonomi Amerika, yang kemudian segera bertindak selaku pengarah kewangan negara kecil itu. Ia juga digunakan untuk mendapatkan Zon Terusan Panama dari Colombia pada 1903. Malahan, kata Cateora, Gilly dan Graham (2010), penubuhan negara Panama adalah rekaan AS.
Tindakan-tindakan AS ini berlandaskan kepercayaan apa yang baik untuk AS adalah wajar. Inilah yang telah diajar dan dihebahkan dalam buku sejarah AS sehingga ia mewajarkan usaha AS menggagalkan pelantikan Presiden Peron dalam pilihan raya 1946. AS menyalurkan bantuan kewangan kepada kumpulan yang menentang pergerakan revolusi pada 1980an di Nicaragua, dan penaklukan AS di Grenada pada 1983 atas alasan menstabilkan pemerintahan kerajaan.
Bagaimanapun, di dunia moden ini, mungkin kerajaan AS atau pergerakan NGOnya, enggan menakluk sesebuah negara secara terang kerana takutkan tindak balas negatif dari Bangsa-bangsa Bersatu dan lain-lain negara. Bagaimanapun, campur tangannya di Iraq dengan cara muslihat dan tipu daya hanya memperteguhkan lagi pandangan orang ramai bahawa doktrin "apa yang baik untuk AS adalah wajar" masih dipraktikkan.
Oleh itu, kita perlu sentiasa waspada dan mengawasi tindak-tanduk NGO dan parti politik di negara ini yang disyaki menerima sokongan dan apa bentuk bantuan daripada badan-badan luar negara atau kerajaan lain. Adalah mengecewakan apabila jemputan kepada sokongan serta bantuan luar ini datangnya daripada rakyat Malaysia sendiri.
Ada pemimpin-pemimpin NGO dan parti politik ini berpendirian kejayaan agenda mereka mewajarkan segala tindakan, termasuk menerima sokongan kewangan dari Amerika Syarikat (AS) untuk menggulingkan kerajaan.
Rakyat negara ini perlu ingat apa yang terlepas tidak mungkin dapat semula. Yang tinggal akan hanya menjadi kata-kata sesalan dan kebencian, seperti mana komen dua rakyat Mexico terhadap AS: "Sejarah diajar dalam satu cara di Mexico dan satu cara lain di AS. AS telah merompak negara kami, tetapi kami digambarkan dalam buku teks AS sebagai penyamun yang menyerang Texas. Kami sentiasa dan akan seterusnya menjadi tanah jajahan AS."
KOMEN : DULU PIHAK KOMUNIS, SEKARANG NGO DAN PARTI POLITIK SIAPA PERTUALANGNYA?
No comments:
Post a Comment