PRU-13: 40% Veteran BN Akan Digugurkan
Barisan
Nasional (BN) akan mengguggurkan 40% calon veteran pada Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU-13) untuk memberi laluan kepada muka-muka baru.
Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat
pelarasan senarai calon pada saat akhir telah mengenal pasti beberapa
calon veteran untuk digugurkan dengan segelintir daripadanya tampil
secara sukarela untuk tidak bertanding.
BN mempunyai seramai 141 ahli Parlimen dengan 75 daripadanya memegang jawatan tersebut lebih tiga penggal.
Sumber berkata, tidak kesemua kerusi
mereka akan diganti tetapi Perdana Menteri mahu menurunkan beberapa muka
baru sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Politik.
Empat menteri kabinet yang telah
memegang jawatan tersebut setelah sekian lama antara yang akan mengundur
diri untuk memberi laluan kepada muka baru.
Antaranya bekas Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz (Kuala Kangsar), bekas
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid (Padang
Besar), bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad
(Kangar) dan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Ong
Ka Ting (Kulai).
Rafidah antara yang terawal memaklumkan hasratnya untuk tidak bertanding kepada Najib.
Radzi dan Azmi telah memberitahu Najib bahawa mereka ingin bersara.
Ong dikatakan akan meneruskan peranannya sebagai duta khas ke China.
Beberapa pemimpin veteran yang
menyuarakan kesediaan mereka untuk tidak bertanding adalah bekas Perdana
Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi (Kepala Batas) dan Pengerusi SPAD Tan
Sri Syed Hamid Albar (Kota Tinggi).
Bagaimanapun, menurut sumber, Najib
perlu memutuskan sama ada menerima tawaran itu kerana ‘tiada calon
pengganti sesuai’ ditemui.
Seorang lagi bekas menteri kabinet,
Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ahli Parlimen Pengerang mungkin
antara calon yang digugurkan tetapi kontroversi mengenai pembangunan
Petronas di kawasan tersebut menyebabkan beliau bakal dicalonkan semula.
Sumber berkata Najib mungkin mengekalkan
Azalina supaya beliau boleh menjelaskan kepada penduduk di kawasan
tersebut mengenai kepentingan projek bernilai RM61.4 bilion itu.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air,
Datuk Peter Chin Fah Kui yang juga Presiden SUPP dan memegang jawatan
sebagai Ahli Parlimen Miri selama enam penggal berkata, beliau akan
terus bertanding sekiranya Najib ingin beliau berbuat demikian.
Dua lagi Ahli Parlimen senior yang akan
bersara adalah bekas Menteri Sumber Manusia Tan Sri Dr Fong Chan Onn
(Alor Gajah) dan bekas Menteri Pelancongan Datuk Seri Leo Michael Toyad
(Mukah).
Tiga bekas Timbalan Menteri yang
dijangka tidak akan dicalonkan adalah Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu
Bakar, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Seri Sulaiman Taib.
Mereka masing-masing merupakan Ahli Parlimen Jerantut, Parit Sulong dan Kota Samarahan.
No comments:
Post a Comment