Secara
kasar – satu pertiga untuk Melayu, satu pertiga untuk Cina dan satu
pertiga lagi untuk India. Perpaduan nasional yang wujud sejak merdeka
masih palsu. Kaum-kaum tidak akan berjaya disatukan hanya oleh durian
dan roti canai, atau perlawanan akhir Piala Thomas.
Bukti jelas
Malaysia berbelah tiga ialah dengan wujudnya tiga jenis sekolah
kebangsaan. Satu dengan apa yang dipanggil 'sekolah kebangsaan bagi
menempatkan anak-anak Melayu-Bumiputera; kedua sekolah jenis kebangsaan
Cina; dan ketiga sekolah jenis kebangsaan Tamil.
Anak-anak kita
dipisahkan sejak kecil. Sejak mula. Di situlah dalam dada mereka
ditanamkan rasa prejudis, sebelum mereka boleh membaca dan mengira lagi.
Nama
sekolah 'jenis kebangsaan' seolah-olah menjadi satu ketegasan tiga
jenis ‘negara’ yang wujud dalam persekutuan yang satu, iaitu 'negara
Melayu', 'negara Cina' dan 'negara India'. Kita sebenarnya tahu, atas
alasan menjaga bahasa ibunda, Malaysia kekal bergelut untuk mempunyai
satu identiti kebangsaan dalam pembentukan sebuah negara-bangsa yang
merdeka.
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang
termaktub di dalam perlembagaan cuma mendapat status “termaktub”. Sering
tidak dihormati.
Ada kala Perkara 152 itu diperlekeh sama ada
dengan surat menteri, sidang media rasmi, surat ahli majlis sehinggalah
papan tanda jalan. Perkara asas ini sengaja dicabar bagi membolehkan
kontrak sosial yang lain diuji untuk memungkinkan turut dipecahkan.
Begitulah tindakan subversif yang berlaku dari semasa ke semasa.
Keadaan
mempersenda perlembagaan seperti yang terjadi sama dengan apa yang
berlaku di Singapura. Di negara berkenaan, bahasa Melayu juga termaktub
di dalam perlembagaannya sebagai bahasa kebangsaan. Namun Singapura
boleh dikatakan lebih ‘jujur’ apabila turut memasukkan bahasa Mandarin
dan Tamil sebagai sebahagian daripada bahasa kebangsaan yang tiga.
Tujuan
memasukkan ketiga-tiga bahasa tidak lain adalah bagi menunjukkan
kesamarataan dan keadilan—walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa
masyarakat asal di sana. Akhirnya bahasa kebangsaan Singapura bukan juga
salah satu daripada yang tiga itu, melainkan apa yang disebut sebagai
“Singlish”.
PAP lengkapkan kolonialisasi
KalauStamford Raffles yang dikatakan membuka Singapura sepertimana yang
khabarnya diajarkan di sekolah mereka sekarang, lelaki Inggeris itu juga
sanggup belajar bahasa Melayu dengan kawannya, Munshi Abdullah.
Sepertimana
sikap penjajah, mereka datang dengan tujuan menghapuskan keyakinan atau
psikologi masyarakat pribumi agar masyarakat baru yang mahu dibentuk
terpisah dari tradisi asal. Bagi mencapai maksud itu, sama ada di
Afrika, India dan Asia Tenggara, caranya ialah dengan memperlekeh budaya
serta bahasa masyarakat asal.
Tidak ada bukti dan tidak akan
terbukti sampai bila-bila bahawa budaya dan kaum Melayu-bumiputera
merupakan pendatang di Singapura.
Inggeris, Belanda dan Sepanyol
juga memisahkan anak-anak mereka dengan tidak diizinkan berada dalam
satu sekolah bersama anak kaum pribumi. Pemisahan itulah yang terjadi
antaranya Jawa pada zaman penjajahan, dengan kaum pribumi dianggap
sebagai monyet atau bertaraf separuh haiwan oleh bangsawan Belanda—walau
sebijak mana pun seseorang anak Jawa itu.
Kini masyarakat
Melayu-Bumiputera Singapura ‘tertawan’—legasi Lee Kuan Yew bersama
partinya, PAP telah melengkapkan tujuan kolonialisasi selepas penjajah
pulang. Populasi Melayu-Bumiputera hanya tinggal sekitar lima ratus ribu
berbanding kira-kira enam juta penduduk Singapura.
Jumlah
warga asing yang diberi kerakyatan, dikatakan lebih ramai berbanding
populasi kaum pribumi. Sekali lagi bagi menunjukkan komitmen serta
keadilan kepada bangsa asal pulau berkenaan, maka diwujudkan muzium
kebudayaan Melayu.
Tidak punya jati diri
Sementaradi dunia realiti, Melayu-Bumiputera di Singapura sudah boleh
diperhitungkan sebagai hampir tidak signifikan lagi. Mengangkat presiden
berbangsa Melayu tidak memberi apa-apa makna, sama ada dari sudut
kebudayaan mahupun politik.
Kerakyatan baru bukan sahaja dari
Eropah, tetapi dari tanah besar China, India dan beberapa negara lain
seperti Taiwan dan Filipina. Sepertimana kuli yang dibawa masuk oleh
penjajah di abad ke-19, mereka tidak boleh berbahasa Melayu. Kini dasar
penjajah yang seakan-akan diteruskan, walaupun Singapura sudah keluar
dari Malaysia dan mencapai kemerdekaan sendiri sejak 1965.
Persoalan
ini cuba saya ungkapkan sebagai contoh 'kehancuran identiti
kebangsaan', yakni masalah teras bagi sesebuah negara-bangsa moden. Ia
merupakan bukti betapa bangsa Singapura adalah bangsa (nation) yang tidak punya jati diri atau tradisi apa-apa pun lagi. Semuanya tempelan semata.
Apabila
sesuatu bangsa tidak punya jati diri, maka bangsa berkenaan sebenarnya
tidak punya keyakinan diri—dan bangsa yang tidak punya yakin diri tidak
akan mengeluar apa-apa sama ada karya seni yang agung, pemikiran
cemerlang mahupun barang teknologi yang canggih. Mereka sentiasa keliru,
dan bangsa tersebut akan sukar mendapat penghormatan bangsa-bangsa lain
di dunia.
Jepun, Perancis, Jerman, China, Rusia dan Korea Selatan
merupakan antara contoh bangsa-bangsa yang mempunyai jati diri dan
keyakinan sebagai satu bangsa. Lihat sahaja bagaimana bangsa Rusia tidak
perlu bercakap bahasa asing untuk menghasilkan lukisan-lukisan hebat
atau membuat pesawat tempur seumpama Shukoi.
Krisis identiti di Malaysia
Dan rakyat Malaysia tetap membeli kereta Honda, Toyota atau Mazda dari Jepun, meski orang Jepun tidak bercakap Inggeris. Bahkan ramai yang tergila-gilakan kereta Mercedes atau BMWdari Jerman yang mana bangsa itu kekal berbahasa Jerman. Begitu juga
bangsa Korea Selatan tetap mengeluarkan jenama barangan eletronik yang
laku keras seperti TV LG dan telefon pintar Samsung walaupun mereka berbahasa Hanguk.
Krisis
identiti Malaysia wujud sejak merdeka—bahkan di situlah punca barah
yang tidak terawat sampai sekarang. Selain setiap kaum dipecah-belah
dalam sistem pendidikan yang tidak membantu pembentukan bangsa-negara,
akar kepada penyakit ini tidak lain adalah berpunca daripada parti-parti
perkauman yang mentadbir Malaysia buat sekian lama.
BN
merupakan satu gabungan parti-parti perkauman di mana satu parti untuk
Melayu, satu untuk Cina dan satu untuk India—sama seperti pemisahan yang
dilakukan di sekolah rendah dengan tiga jenis kebangsaan yang wujud
itu.
Sedangkan Amerika tidak menjadi Amerika kalau Parti Demokrat
dikhaskan untuk orang kulit hitam, di samping Parti Republikan untuk
kaum kulit putih sahaja. Meski isu perkauman tetap wujud di mana pun,
termasuk di Amerika, namun tapak untuk api perkauman membara iaitu parti
perkauman tidak dibiarkan menjadi asas politik bagi sesebuah negara
yang mahu menjadi bangsa yang bermaruah.
Slogan '1Malaysia'
sepertimana yang dilaungkan dalam era pentadbiran Najib Razak tetap
tidak dapat merungkai persoalan asas untuk membina sebuah ‘rumah’ yang
bernama Malaysia. Slogan itu bolehlah dianggap sebagai Panadol—hanya pil
menahan sakit. Bukan menyembuhkan. Jauh sekali sebagai pencegah.
'PM negara India'
BNdengan tiga presiden parti-parti bagi kaum Melayu, Cina dan India telah
membuatkan Malaysia seakan mempunyai tiga perdana menteri. Pertama PM
bagi orang Melayu sebagai jawatan rasmi. Dua lagi ‘PM’ dari MCA dan MIC
yang tidak rasmi bagi mewakili “negara Cina” dan “negara India” di
Malaysia.
Sebab itu jugalah, pemimpin Hindraf yang kini menjadi
menteri perpaduan, P Waytha Moorthy dikecam atas satu kenyataan beliau
beberapa tahun lalu, yang berlagak seolah-olah beliau merupakan ‘PM
negara India’ dalam Malaysia.
Gagasan
Onn Jaafar yang mahu mewujudkan sebuah negara-bangsa yang bersatu padu,
nampaknya terus gagal—disabotaj oleh bangsawan politik yang mahu
mencipta nama dan mendapat jawatan dengan membelakangi kepentingan
negara. Parti Negara, atau Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang ditubuhkan
Ahmad Beostaman sebenarnya gagasan paling ideal dan terbaik bagi
menyambut kelahiran masyarakat berbilang kaum selepas merdeka.
Pengkhianatan
idea kebangsaan bukan sahaja dilakukan oleh Umno, MCA dan MIC yang
bergabung di dalam BN, tetapi juga parti-parti perkauman lain yang sudah
lama berakar seperti PAS, DAP mahupun Parti Pesaka Bumiputera Bersatu
(PBB) di Sarawak.
Kritik DAP dianggap kritik Cina
Walaupunsegelintir menyebutkan yang DAP, misalnya adalah parti berbilang kaum,
namun 'Deklarasi Setapak 1967' jelas masih menjadi teras perjuangan
parti berkenaan yang dideklarasikan setahun sebelum rusuhan kaum 13 Mei
1969. Peliknya selepas 21 tahun, dan selepas menjadi sebahagian daripada
blok kerajaan PH, deklarasi tersebut dimuat naik semula di laman rasmi
parti berkenaan baru-baru ini.
Sangat malang sekiranya
semua pemimpin PH menjadi bisu kerana takut kehilangan undi Cina.
Mengkritik DAP dianggap mengkritik kaum Cina.
Kefahaman itu adalahsemua pemimpin PH menjadi bisu kerana takut kehilangan undi Cina.
Mengkritik DAP dianggap mengkritik kaum Cina.
palsu! Masyarakat Cina, seperti juga masyarakat Melayu dan India,
tentunya sudah rimas dengan politik perkauman yang memecah-belahkan
Malaysia, yang menjadi teras kebanyakan parti sebelum ini. Rakyat
semakin mahukan perpaduan, tetapi politikus masih mengamalkan politik
pecah-perintah sepertimana di era Malaysia lama. Malaysia lama turut
saya namakan sebagai 'Malaysia gelap'.
Perkara pokok inilah yang cuba saya sampaikan di dalam forum anjuran Telawi Forum
di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak pada 22 November lalu.
Forum berkenaan juga cuba membedah isu Icerd, dan Icerd hanyalah satu
penyebab yang memungkinkan maraknya sentimen perkauman.
Selain
Icerd, banyak perkara lain seperti isu kuil di Selangor minggu lalu
yang bukan sahaja boleh mencetuskan ketegangan kaum, tapi sekali lagi
boleh meretakkan kesatuan sebuah negara-bangsa. Dua bukti besar yang
saya bawakan, iaitu parti politik berasaskan kaum dan sekolah tiga jenis
kebangsaan adalah petanda bahawa pembentukan kebangsaan atau apa yang
disebut sebagai 'Bangsa Malaysia', masih gagal. Masih jauh panggang dari
api.
Sejak lebih 60 tahun lamanya, politikus dan parti politik
hanya menjaga populariti demi kekal atau mendapat kuasa. Mungkin juga
mereka sangat lemah dan tidak serius memikirkan soal membangun bangsa
yang satu.
Tentu mereka akan mendapat kemasyhuran seperti yang
diidamkan—tetapi kemasyhuran juga ada dua jenis. Satu, dengan nama yang
baik dan harum; kedua, dengan nama buruk lagi busuk. Dalam maksud
membina bangsa, politikus dan parti-parti yang wujud di Malaysia—seperti
BN—akan dikenang dengan populariti jenis yang kedua. Mereka dalam sedar
tidak sedar merupakan penyambung dasar dan tindak tanduk-penjajah.
Tidak
ada ertinya kita mendakwa berada di era Malaysia baru kalau masih tidak
jemu-jemu dengan gaya politik gelap dan bacul. Sesiapa pun yang tidak
menghormati tujuan kelahiran bangsa Malaysia, tidak layak dipilih
sebagai pemimpin.
Setiap yang lahir di Malaysia, wajib punya
kesetiaan dan kasih kepada tanah bertuah ini. Itulah janji kemerdekaan.
Kepura-puraan tidak boleh dibiarkan lagi dan patut dihumban ke laut
dalam sejarah. Secepat-cepatnya.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment