PUTRAJAYA: “Jangan kecewakan saya dan
negara kita,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan
menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Bukit
Jalil membabitkan Malaysia menentang Vietnam pada 11 Disember ini.
Dalam
pertemuan untuk menyuntik semangat skuad Harimau Malaya di Perdana
Putra di sini hari ini, Dr Mahathir berkata melalui kemenangan,
kebolehan negara dapat dibanggakan.
“Kita
nak cari kemenangan kerana kita nak berbangga dengan kebolehan negara
kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab mempertahankan
maruah dan kehormatan negara,” katanya yang berharap skuad Harimau
Malaya akan lakukan yang terbaik untuk mendapat kemenangan.
Pada
pertemuan yang dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),
Datuk Hamidin Mohd Amin; Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya ,Tan Cheng
Hoe; dan kapten Zaquan Adha Abd Razak, Hamidin juga menyampaikan jersi
No 7 kepada Dr Mahathir.
Malaysia
akan bertemu pasukan Vietnam pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki
2018 yang akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal
melayan kunjungan Vietnam pada 11 Disember sebelum aksi final kedua di
Hanoi pada 15 Disember.
Dr
Mahathir berpesan supaya pemain berdisiplin khususnya menjaga masa
rehat dan berlatih bersungguh-sungguh dan semangat untuk mendapat
kemenangan.
“I
hope you will work hard and practice a lot. Live, sleep and think only
of football and winning for Malaysia (Saya harap anda bekerja keras dan
banyakkan berlatih. Hidup, tidur dan fikir hanya bola dan menang untuk
Malaysia),” katanya.
Dr Mahathir turut menyatakan hasratnya untuk melihat pasukan Malaysia melayakkan diri dalam Piala Dunia nanti.
“Bola sepak adalah satu sukan yang dahulunya Malaysia kuat dan kerap menang. Sekarang, kita ketinggalan,” katanya.
Beliau
berkata negara Jepun telah mencapai kejayaan yang cukup pantas dan amat
baik sedangkan dahulu mereka berada di belakang Malaysia dalam sukan
bola sepak.
“Disebabkan
mereka berlatih bersungguh-sungguh, Jepun telah maju dalam bola sepak
sehingga dapat beraksi dalam World Cup. Jadi. Saya nak lihat pasukan
Malaysia akan beraksi dalam World Cup satu hari nanti,” katanya. -
BERNAMA
No comments:
Post a Comment