ULASAN | Berita buruk yang luar biasa mengenai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak memeranjatkan lagi.
Sejak
kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara
daripada BN pada 9 Mei lalu, satu demi satu skandal kewangan terbongkar.
Semakin
hari apa yang ditakuti semakin menjadi kenyataan iaitu bawah telunjuk
bekas perdana menteri, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng
Sandrobone Sultan Abdul Jalil, Mohd Najib Abdul Razak, kerosakan berlaku
secara sistematik dan meluas.
1MDB, Felda, FGV dan sekarang Tabung Haji (TH). Daripada apa yang kita dengar, senarai ini akan menjadi lebih panjang.
Felda
tenat kerana Mohd Najib, atas nasihat konco-konconya yang tamak,
menjual harta Felda dengan melakukan tawaran awam permulaan (IPO)
melalui Felda Global Ventures Berhad (FGV) pada tahun 2012.
Tujuan tersiratnya adalah mengumpul dana untuk pilihan raya umum 2013 bagi pihak BN sambil mengisi kocek konco, kawan dan rakan.
Ladang
dan aset Felda yang dulunya digunakan untuk menjana pendapatan tambahan
bagi membantu peneroka ketika harga kelapa sawit dan getah jatuh
dipindahkan kepada FGV.
Oleh sebab kaedah korporat yang tidak
lestari serta penyelewengan oleh pengurusan, harga saham FGV jatuh
merudum – daripada harga IPO RM4.55 kepada 77 sen sekarang – dan ia
gagal menjana pendapatan tambahan untuk Felda.
Akibat manipulasi
korporat melalui FGV inilah Felda mengalami kerugian besar dan hilang
kemampuan untuk membantu peneroka ketika harga kelapa sawit dan getah
jatuh.
Sebaliknya Felda kini terpaksa menjalani proses pembersihan dan pembinaan semula.
Giliran Tabung Haji
Sekarang
giliran TH pula. Apa lagi hendak kita katakan apabila tabung simpanan
untuk mengerjakan haji dan memperkukuhkan ekonomi umat Islam pun
dinodai?
Buat sekian lama kita mendengar berita dan dakwaan
mengenai penyelewengan dan pelanggaran urus tadbir dalam TH, khususnya
apabila orang kesayangan keluarga Najib, Abdul Azeez Abdul Rahim,
dilantik menjadi pengerusi pada bulan Julai 2013.
Tetapi semuanya
dinafikan dan orang yang membuat pendedahan dikutuk dan dikenakan
tindakan. Media massa arus perdana turut bersubahat menghebahkan yang
salah dan membenamkan yang benar.
Daripada kenyataan media Dr
Mujahid Yusof, menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 10 Disember 2018,
kita dapati sebaik saja Abdul Azeez menerajui TH, pelanggaran urus
tadbir mula berlaku.
Dasar duit tunai adalah raja (cash is king)
atau lebih tepat amalan menggunakan duit tunai bagi membeli undi mula
diamalkan dengan membelakangkan undang-undang tubuh TH sendiri.
Hibah
(dividen) diisytiharkan dan dibayar walaupun tidak memenuhi syarat.
Sejak tahun 2014 hingga tahun kewangan 2017, hibah dibayar walaupun dua
syarat wajib tidak dipenuhi.
Dua syarat wajib itu adalah (1) aset
(harta) tidak boleh kurang daripada liabiliti (hutang) dan (2) ada
keuntungan yang boleh diagihkan.
Inilah yang diingatkan oleh Zeti
Akhtar Aziz ketika beliau menjadi gabenor Bank Negara. Dalam surat
kepada pengurusan TH pada tahun 2015, Zeti memberi ingatan bahawa TH
tidak lagi boleh membayar hibah kerana hutangnya melebihi harta. Masa
itu nisbahnya adalah 98 sen harta bagi setiap RM1 hutang.
Namun
begitu, bukan saja peringatan sukarela beliau itu tidak dihiraukan
sebaliknya disanggah oleh para penyokong dan penggilap apel Najib
seperti ketua pemuda Umno sekarang, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Syukur
kepada Tuhan pintu hati saya dibuka untuk membantah pelantikan Abdul
Azeez dalam tulisan-tulisan saya kerana saya tahu sedikit sebanyak
sejarah TH dan kenal siapa Abdul Azeez.
Kewangan TH
Akaun
tahun kewangan 2017 TH yang dibentangkan di Parlimen semalam (10
Disember) menunjukkan aset keseluruhan TH sebanyak RM70.3 bilion
manakala liabiliti (hutang/tanggungan) RM74.4 bilion. Ini bermakna TH
mengalami defisit (kekurangan) RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.
Sehubungan
itu, kata Dr Mujahid, pengisytiharan dan pembayaran hibah bagi tahun
2017 (yang dibuat Februari lalu) melanggar Akta Tabung Haji 1995.
Najib
ketika mengalu-alukan pengisytiharan hibah itu dilaporkan berkata
bahawa kecekapan pengurusan TH membolehkan kadar yang lebih tinggi
dibayar.
Kata Mujahid: “TH telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dan ia tidak mengikut akta kerana asetnya kurang daripada liabiliti.”
“Berdasarkan
keadaan semasa TH ketika ini, pelan pemulihan secara menyeluruh perlu
dilakukan bagi memulihkan penyata kira-kira TH,” tambah beliau.
Inilah
yang dilakukan oleh ahli lembaga pengarah dan pengurusan baru TH yang
dilantik oleh kerajaan PH mulai Julai lalu. Banyak lagi yang perlu
dilakukan bagi mengembalikan TH ke landasan kewangan dan pengurusan haji
yang betul dan lestari.
Pemerhatian
Izinkan saya
membuat pemerhatian ringkas. Rasanya amat sesuai bagi kerajaan dan
pengurusan TH membaca balik dokumen dan sejarah TH mulai 1963.
Ada
dua tujuan utama TH ketika itu. Pertama mengurus pengerjaan haji oleh
orang Islam Malaysia dan kedua memudah serta menggalakkan orang Islam
menabung.
Pertama saya tidak pasti apa peranan subsidi haji dan
kegiatan pelaburan TH. Apakah kaitan penunaian haji dengan subsidi kalau
kewajipan haji adalah ke atas orang yang mampu sahaja?
Kedua mengenai kegiatan pelaburan yang nampaknya menjadi keutamaan dan kegilaan (obsession) pengurusan TH. Adakah ini matlamat TH?
Harus
ada perbezaan di antara menabung untuk mengerjakan haji dengan melabur.
Serentak itu, kita tidak mahu orang Islam menabung sekadar untuk
melayakkan diri mendapat subsidi.
Justeru itu, isu subsidi haji
dan pelaburan ini wajib dikaji semula dan difahami di segi agama dan
perniagaan. Adakah TH agensi perniagaan yang matlamatnya keuntungan atau
agensi pengurusan haji dan penabungan?
Pelan pemulihan
Menurut
Dr Mujahid, lembaga pengarah TH telah mencadangkan rancangan pemulihan
yang membabitkan penubuhan sebuah badan khas – special purpose vehicle
atau SPV.
SPV ini akan ambil alih, pulihkan dan maksimumkan nilai
harta TH yang sekarang rendah prestasinya. Dengan itu beban hutang TH
dapat dikurangkan atau dimansuhkan terus.
Kata Dr Mujahid, pelan
itu telah diteliti dan diberi sepenuh sokongan oleh kabinet. Selaras
dengan itu, kerajaan telah bersetuju meletakkan TH bawah pengawasan Bank
Negara.
“Bagi memastikan pelan jangka masa panjang yang mapan,
kerajaan telah memutuskan untuk meletakkan TH bawah pengawasan Bank
Negara Malaysia secara pentadbiran bermula 1 Januari 2019 ,” kata Dr
Mujahid.
Dulu lain sekarang lain. Sewaktu TH diasaskan pada tahun
1963, niatnya suci dan orang yang dilantik bagi menguruskannya terdiri
daripada orang yang berkepakaran dan amanah. Bukan jenis cium tangan.
Masa
itu perdana menteri, almarhum Tunku Abdul Rahman Putera, tidak
berpura-pura tunjuk alim. Orang Islam pun belum tergila-gila berjubah
macam orang Arab. Tetapi mereka ikhlas dan amanah.
Kesimpulannya,
dalam kita berusaha memulihkan TH, kita hendaklah kembali ke pangkal
jalan bagi memahami dan menghayati tujuan asal penubuhannya.
Kita perlu pastikan sama ada melabur, membuat keuntungan, membayar hibah dan memberi subsidi adalah sebahagian daripadanya.
TH
rosak kerana melantik orang yang tidak amanah dan tidak berpengetahuan
atau juga kerana terlalu mengejar keuntungan seolah-olah ia adalah badan
perniagaan.
Mulai sekarang, lebih kita pagar sawah bendang kita
daripada asyik marahkan pegar. Menang tabiat semula jadi burung pegar
makan padi. Kalau kita harapkan pegar menjaga padi, menang bodohlah
kita.
A
KADIR JASIN ialah penasihat media perdana menteri dan pemimpin pusat
BERSATU. Beliau bagaimanapun berkata tulisan ini pandangan peribadinya.
Artikel ini dimuat naik kali pertama di blognya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.KADIR JASIN ialah penasihat media perdana menteri dan pemimpin pusat
BERSATU. Beliau bagaimanapun berkata tulisan ini pandangan peribadinya.
No comments:
Post a Comment