Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Sesungguhnya fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh. Gejalanya amat menakutkan, lagi merosakkan.
Pembaca yang amat dikasihi;
Tibalah masanya saya sebagai seorang insan, dengan rendah hati ingin
menjawab segala fitnah dan tohmahan yang telah dihamburkan kepada saya
selama ini. Adalah wajar untuk saya membersihkan nama saya, maruah suami
tercinta dan seterusnya kepimpinan negara agar fitnah ini tidak terus
terpalit hingga menyebabkan saudara saudari tersalah anggap.
Alhamdulillah, anak-anak boleh terima walaupun ada ketikanya mereka
sedih dengan fitnah yang keterlaluan. Anak-anak saya cuba melihat
kebaikan dan kemurniaan majoriti masyarakat, bukan minoriti yang
sentiasa ada tanggapan negatif.
Apabila saya bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara dan
bersoal-jawab tentang fitnah-fitnah tersebut, mereka boleh menerima
penjelasan daripada saya. Penjelasan secara 'face to face' itu sangat
berkesan. Cuma, mereka hairan, terkejut dan bertanya mengapa tidak ada
orang jawab bagi pihak saya. Saya mana ada pegawai, saya isteri Perdana
Menteri bukan Perdana Menteri.
Justeru, saya akan memberikan sendiri jawapan setiap persoalan yang
timbul supaya masyarakat dapat menilai kebenarannya. Sikap mendiamkan
diri dalam hal ini umpama 'membunuh diri sendiri'.
Pertama: Isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu, 19 Oktober 2006
Saya difitnah telah bersama membunuh mendiang pada tarikh kejadian.
Nauzubillah. Bagaimana saya mahu membunuh orang sedangkan cicak jatuh di
depan mata pun saya melompat lari. Saya juga takut gelap. Apa lagi saya
nak mendaki bukit di tempat yang dikatakan menjadi lokasi pembunuhan
itu. Tidak ada daya upaya saya berbuat begitu
Pada tarikh itu juga saya dan Leftenan Kolonel Norhayati Hassan berada
di dalam Majlis Berbuka Puasa Dan Penyampaian Bantuan Hari Raya Kepada
Anak-Anak Yatim Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Wilayah
Persekutuan, Kuala Lumpur.
Apabila saya difitnah dan media menyiarkannya, saya tidak diberikan
kekebalan. Mungkin ramai orang yang tidak tahu bahawa saya disoal siasat
di Bukit Aman selama enam jam gara-gara fitnah itu.
Kedua: Cincin berlian berharga RM24 Juta
Saya berani bersumpah, cincin itu tidak ada di tangan saya. Memang
cincin itu masuk (melalui kastam) untuk dilihat oleh Maira Nazarbayev
yang pada ketika itu berada di rumah saya bagi persiapan majlis
pertunangan anaknya dengan anak saya. Beliau adalah 'regular customer'
kepada jewelry Jacob & Co.
Perkara ini telah diterangkan secara lebih lanjut oleh Director of Fine
Jewelry Jacob & Co., Philip Nassimi. Berlian berwarna biru kelabu
seberat 30.11 karat itu telah dihantar pada 15 April 2011 melalui
syarikat penghantaran Malca Amit, New York menggunakan penerbangan House
Airway, no bil: 1488134 dari ibu pejabat Jacob & Co. di New York ke
Kuala Lumpur, Malaysia. Ia sampai pada 16 April 2011.
Setelah dilihat oleh Maira, cincin tersebut dipulangkan dan keluar dari
Malaysia melalui pelabuhan Singapura pada 20 April 2011. Ia diuruskan
oleh Malca Amit Malaysia dan Singapura. Ia telah dikembalikan ke ibu
pejabat Jacob & Co. di New York pada 13 Mei 2011
Ketiga: Berjoli di luar negara
Kebanyakan lawatan saya ke luar negara kerana mengiringi suami
menjalankan tugas. Selain itu, saya juga menerima jemputan untuk
menyampaikan ucapan oleh negara yang berminat untuk berkongsi apa yang
Malaysia lakukan.
Memang kebanyakan negara yang saya dekati ialah negara Dunia Ketiga dan
Timur Tengah. Ini kerana negara-negara inilah yang memerlukan pendekatan
yang saya katakan tadi. Negara-negara lain seperti Amerika Syarikat,
Britain, Perancis, Jepun dan Korea sudah maju dan kaya. Jika mahu
berbakti, sudah tentu kita mendekati masyarakat atau negara yang
memerlukan idea kita. Kita mahu buat kerja, bukan glamour.
Saya pernah dijemput memberi ucaptama pada Persidangan Antarabangsa
Pertama Mengenai Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) Dalam Pendidikan
Ke12 di Riyadh tahun 2011. Saya juga menyaksikan Memorandum Persefahaman
(MoU) Antara Akademi Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia
(USIM) dan Saudi Arabian Islamic Foundation for Giftedness and
Creativity (Mawhiba).
Bagi saya ini adalah pengiktirafan terhadap wanita Islam yang mempunyai
pandangan sederhana tetapi moden dan pada masa yang sama tidak melanggar
adab kesopanan wanita Timur. Untuk seorang wanita diterima di kalangan
pemimpin-pemimpin dunia lelaki terutamnya di Timur Tengah bukanlah
sesuatu yang mudah. Apatah lagi mereka sering memandang rendah kepada
wanita.
Apabila wanita Islam mempunyai buah fikiran yang boleh dikongsi bersama
dan buah fikiran itu sememangnya untuk manfaat rakyat maka mereka
memberi penghargaan dengan cara menjemput kita ke negara mereka untuk
menyampaikan ucapan. Masakan saya sempat untuk berjoli? Lagipun, saya
tidak minat berjoli.
Keempat: Pembaziran Projek Permata
Sejarah membuktikan bangsa yang tiada pendidikan akan terus ditindas.
Saya percaya orang yang mempunyai pendidikan akan lebih berjaya. Sebagai
anak bekas guru, saya faham tentang bagaimana pendidikan berfungsi
untuk membentuk keperibadian manusia. Pendidikan harus bermula daripada
awal. Justeru, saya mencadangkan penubuhan Permata.
Ini idea baru. Tidak apalah, kalau idea baru memang agak sukar diterima
oleh semua orang kerana mereka tidak memahami apa sebernarnya yang ingin
kita sampaikan.
Satu lagi masalah ialah sikap penyokong politik yang taksub, kita yang
tidak dapat membezakan kerja kemasyarakatan dengan politik. Semuanya
mereka satukan. Agak malang apabila kerja-kerja kemasyarakatan seperti
Permata dijadikan motif politik.
Saya tidak faham mengapa orang mempertikaikan tentang Permata sedangkan
program tersebut adalah untuk kebaikan generasi akan datang. Ada yang
marah-marah apabila kerajaan mengumumkan bajet yang besar untuk Permata
sedangkan tidak ada satu sen pun duit itu masuk ke poket saya.
Kelima: Bergaya dengan perhiasan mewah
Seperti kebanyakan isteri pemimpin, saya juga mengiringi suami ke
beberapa negara kerana urusan negara. Ada juga yang menjemput saya atas
kapasiti sebagai isteri Perdana Menteri. Mereka mahu saya memberi
ucaptama tentang pengalaman masyarakat Malaysia terutama yang berkaitan
wanita dan pendidikan awal kanak-kanak.
Apabila saya ke negara tersebut, mereka menyambut kami dengan mesra
sebagaimana kita melayan mereka apabila mereka ke negara kita. Itulah
adab sopan melayan tetamu. Sebagai meraikan kehadiran tetamu,
kebiasaannya mereka memberikan cenderamata sebagai kenang-kenangan.
Antara cenderamata tersebut termasuklah cincin, jam, perhiasan diri dan
sebagainya. Ada yang diberi itu mahal harganya dan ditempah khas.
Apabila orang memberi kita sesuatu, sudah tentu tidak manis untuk
menolaknya. Kita mesti menjaga hati mereka apatah lagi kita adalah
tetamu. Bagaimana perasaan kita apabila pemberian kita ditolak orang
lain? Tentu kita akan tertanya-tanya dengan pelbagai soalan dan merasa
kecil hati. Dan, apabila telah diberi, saya pun memakainya. Tak kan nak
simpan saja dalam peti besi sedangkan barang-barang yang diberikan itu
dengan ikhlas, cantik dan sesuai untuk digunakan. Adalah satu pembaziran
jika ia di simpan 'kaku' dalam kotak simpanan.
Saya sedar ramai mata yang memerhati setiap apa yang saya lakukan dan
setiap apa yang saya pakai. Itu hak mereka. Saya tidak boleh menghalang.
Tetapi, malangnya mereka ini bukan saja memerhati malah memfitnah saya
dengan perkara-perkara yang tidak masuk akal.
Pendek kata, saya tidak mampu memuaskan hati setiap orang. Yang penting, saya percaya pada apa yang saya lakukan
Keenam: Isu 'First Lady'
Bagi saya gelaran First Lady tidak menimbulkan sebarang masalah.
Misalnya dalam penganjuran Sidang Kemuncak Wanita Pertama, peserta yang
dijemput adalah isteri-isteri kepada Presiden, Perdana Menteri atau apa
saja gelaran yang diberi kepada pemimpin tertinggi (yang menguruskan
pentadbiran negara).
Mereka adalah First Lady atau Wanita Pertama dalam konteks suami yang
diberi tanggungjawab serta dipilih rakyat untuk mentadbir Negara. Saya
tidak fikir ia sesuatu yang perlu dipertikaikan.
Kita di Malaysia ada institusi Diraja sebagai ketua negara iaitu yang
di-Pertuan Agong manakala ketua kerajaan ialah Perdana Menteri. Mirip
British yang mana Queen adalah ketua negara manakala Perdana Menteri
adalah ketua kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya.
Bagi sesetengah negara seperti Amerika dan Perancis, ketua kerajaan dan
negara adalah Presiden, maka isteri Presiden adalah Wanita Pertama.
Sekiranya kita menggelar Permaisuri Agong sebagai First Lady atau Wanita
Pertama bererti kita telah 'downgrade' status baginda. Kedudukan
baginda permaisuri adalah yang kedua selepas Yang Dipertuan Agong. Ini
satu kedudukan khas yang diiktiraf dalam perlembagaan kita.
Saya rasa dalam soal ini ramai yang faham. Cuma mungkin ada sesetengah
yang sengaja mempertikaikan dan cuba menjadikan ia sebagai isu.
Ketujuh: Isu menjadi Perdana Menteri Keenam
Mana mungkin? Saya hanya mahu menjadi isteri kepada Najib Tun Razak.
Kalau dia orang biasa pun, saya akan bersama dia. Kalau dia jadi Perdana
Menteri itu adalah tanggungjawab dan rezeki yang telah tertulis di Loh
Mahfuz. Saya tetap akan berada di sisi dia selagi Allah memanjangkan
jodoh antara kami.
Saya rasa pandangan salah ini muncul disebabkan serangan politik. Sudah
pasti mereka mempunyai agenda politik tersendiri. Oleh kerana saya
paling dekat kepada Datuk Seri Najib, maka saya menjadi sasaran. Oleh
kerana saya sentiasa bersama Datuk Seri Najib di mana saja, maka saya
dianggap sebagai orang yang menentukan semua polisi negara sama seperti
kuasa Perdana Menteri.
Datuk Seri Najib kata, sebenarnya mereka itu mahu mengenakan beliau
tetapi sasaran yang paling tepat adalah mengenakan saya dulu. Mereka tak
dapat suami, mereka pergi kepada isteri sebab saya tak boleh nak
mempertahankan diri.
Orang yang memfitnah saya dan Datuk Seri Najib ada agenda. Mereka mahu
tempat Datuk Seri Najib. Bagi saya senang, tak salah setiap orang ada
cita-cita. Tapi, caranya kena betul. Jangan sampai menganiaya dan
memfitnah orang. Itu salah dan tidak ada etika. Agama juga membenci
perbuatan itu.
Pembaca yang amat dikasihi;
Saya tidak pandai menyusun ayat indah untuk menjawab semua fitnah ini.
Apa yang lahir, adalah terlintas dari rasa sanubari seorang insan yang
dianiaya oleh pihak tertentu.
Saya serahkan kepada Allah. Kalau mereka insaf, syukur Alhamdulillah.
Saya sentiasa memaafkan. Tak apalah mereka memfitnah saya, Tuhan akan
beri yang baik kepada saya. Ingat zaman nabi dulu, bila orang kutuk
baginda, baginda beri pisang kepada orang itu.
Semoga Allah memberkati para pembaca semua.
Sekian daripada saya,
Rosmah Mansor
No comments:
Post a Comment