Bagi mengukuhkan dakwaan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi mendedahkan 10 bukti yang mengaitkan 'orang nombor dua' Pas itu terbabit ajaran Syiah.

Tidak perlu berteka-teki kerana 'orang nombor dua' Pas sekarang ialah Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, yang menjawat jawatan timbalan presiden.

Justeru, Wartawan Sinar Harian, Robiatuladawiyah Abd Rashad, Jamilah Hamzah dan Muhamad Adzhar Tajuddin bersama jurukamera Md Nidzam Osman dan jurufoto Azmi Aryanto mendapatkan penjelasan daripada Mat Sabu sendiri mengenai isu tersebut.


SINAR HARIAN: Sekali lagi dipilih sebagai Timbalan Presiden Pas, bagaimana Tuan menerima pelantikan pada kali ini?

MAT SABU: Saya menerima pelantikan itu dengan penuh rasa tanggungjawab dan mengakui dengan kekurangan yang ada.

Walaupun begitu, dalam Pas, kita bertindak selaku satu unit, kelebihan atau kekurangan seseorang itu akan ditampung sekali gus menjadi satu keputusan yang lebih jitu dan kuat.

Maksudnya, hala tuju parti bukan bergantung pada individu tetapi lebih terarah kepada kumpulan atau jemaah itu. 


SINAR HARIAN: Sejak pembabitan Tuan dalam arena politik, semestinya ada dugaan dan halangan yang terpaksa ditempuhi, apakah dugaan terbesar sepanjang bergelar ahli politik?

MAT SABU:  Media dilihat masih lagi tidak adil. Kebebasan media terutama sekali media yang dimiliki kerajaan atau ada saham kerajaan.

Kita terpaksa berjuang dengan serba kekurangan untuk mendapatkan demokrasi yang adil serta pilihan raya yang adil. Di bawah Akta Polis misalnya, kita tidak dibenarkan berhimpun lebih daripada 5 orang.

Selain itu, jika hendak mengadakan ceramah, kita juga diwajibkan mendapat kebenaran daripada polis.

Kebiasaannya, di bawah akta ini kita dapat melihat dengan jelas pemerintah menggunakan kuasa untuk melarang ceramah atau himpunan yang selalu disuraikan dengan gas pemedih mata.

Perkara seperti itu pernah berlaku pada ceramah di Markas Pas, Kuala Kedah. Di situ, dua kali saya ‘ditembak’ dengan gas pemedih mata oleh polis.

Begitu juga ketika mengadakan himpunan aman, ada kalanya saya dibelasah, dipukul, ditangkap dan didakwa di mahkamah. Agak menyedihkan apabila perjuangan dengan tangan kosong diibaratkan sebagai ancaman besar.

Sepatutnya, perjuangan dengan tangan kosong dan mengikut lunas Perlembagaan patut dirai golongan pemerintah tetapi di Malaysia ianya tidak berlaku.

Saya pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1984 hingga 1986 dan dibuang daerah di Kuala Pilah dari 1987 hingga 1989. Walaupun agak perit, namun itu bukan penghalang untuk saya terus berjuang untuk mendapatkan keadilan dan demokrasi. Itu antara dugaan dan cabaran yang pernah saya hadapi.


SINAR HARIAN: Adakah Tuan serik dengan halangan-halangan yang menimpa sedangkan perubahan yang datang adalah dalam kadar yang sedikit?

MAT SABU: Apabila menjadi pejuang, istilahnya kadang-kadang kita perlu menjadi seperti lilin, membakar diri untuk memberi cahaya kepada orang lain.

Semua pejuang tidak kira dari aliran mana pun, kita tidak akan dapat lari daripada pelbagai tindakan dan dugaan.

Jadi kesabaran serta keazaman perlu diletakkan pada paras yang paling tinggi dalam kehidupan. Selain itu, mengharapkan keredhaan daripada ALLAH SWT juga penting bagi menguatkan semangat kita untuk terus berjuang demi kesejahteraan rakyat khasnya.


SINAR HARIAN: Dihimpit dengan pelbagai tekanan dan kontroversi dari dulu hingga sekarang, adakah usaha itu seakan-akan dilihat untuk menjatuhkan karier politik Tuan?

MAT SABU: Perkara itu biasalah. Suka atau tidak kita terpaksa menghadapinya. Paling  penting, arah tuju perjuangan, perbuatan dan sebarang tindak-tanduk kita perlu berlandaskan perkara yang baik dan tidak sesekali  dimurkai oleh ALLAH.


SINAR HARIAN: Perjuangan Tuan sudah lama, banyak usaha dilakukan seperti beberapa siri perhimpunan dan ceramah dijalankan bagi membawa mesej tersebut, pernah tak Tuan rasa putus asa atau jemu dalam perjuangan yang dilakukan?

MAT SABU: Kita manusia, bukan plastik. Pernah (juga) terlintas. Apabila kita berusaha bersyarah kepada segenap masyarakat sejak berpuluh tahun, timbul juga perasaan jemu itu. Tetapi kita berpandukan pada sirah dan perjuangan nabi serta rasul, atau bukan Islam seperti Mahatma Ghandi yang mahu ubah fikiran umat, maka saya saya kembali tenang dan kuat kerana ada sumber rujukan kekuatan saya.

Saya berpegang kuat dalam perjuangan Islam terdahulu, kalau tiada rujukan itu mungkin semangat saya juga akan lemah.


SINAR HARIAN: Ramai yang meletakkan persepsi apabila Tuan memilih mengagumi pemimpin yang berfahaman Syiah itu, bahawa Tuan juga sealiran dengan mereka. Adakah tuan rasa tercalar dengan dakwaan itu?

MAT SABU: Saya tidak kisah orang mahu burukkan nama saya. Tetapi hari ini apabila saya berdepan orang ramai, saya tidak nampak semakin buruk sebaliknya semakin ‘harum’.

Jika dahulu hanya segelintir sahaja yang datang bersalam dengan saya, tetapi hari ini ramai datang bersalam tidak kira Melayu, Cina, India, orang tua, muda budak kecil juga datang kepada saya. Saya berharap perjuangan untuk membawa Islam untuk semua yang cuba dibawakan akan berjaya. Sejauh mana berjaya atau tidak, saya cuba.


SINAR HARIAN: Siapakah pemimpin terdahulu menjadi rujukan untuk meneruskan perjuangan dalam karier dan menjadi inspirasi tuan?

MAT SABU: Antara yang saya kagumi ialah Sayid Qutb, Ayatollah Khomeini, Sheikh Hassan Nasrallah dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ini antara pemimpin yang 'dia cakap dia buat'. Contoh Sheikh Hassan Nasrallah, saya tidak pasti berapa jumlah pengikutnya, mungkin belas ribu sahaja, tetapi buat demonstrasi setengah juta yang hadir. Turut sama itu termasuk orang Islam, Kristian, dari semua peringkat.

Kenapa jadi begitu? Kerana beliau seorang pemimpin berwibawa, bila bercakap soal pengorbanan, rumah, anak dia hancur diserang Israel.

Begitu juga Tok Guru (Nik Aziz) beliau bercakap tentang kesederhanaan, beliau terjemahkan dalam hidup beliau. Saya bukan soal mereka itu aliran apa, saya memilih menyokong pemimpin-pemimpin ini kerana perjuangan mereka. Jadi pemimpin begini Islam atau tidak saya hormati.


SINAR HARIAN: Boleh disimpulkan, bahawa mengagumi seseorang itu tidak semestinya terikut aliran yang dibawa pemimpin berkenaan, boleh tuan sahkan yang tuan berpegang teguh dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah?

MAT SABU: Ya, ya... ya saya Ahlul Sunnah.


SINAR HARIAN: Terlalu banyak kontroversi dalam perjuangan Tuan sehingga dilihat sebagai sasaran, adakah Tuan berasa penat dengan keadaan itu?

MAT SABU: Saya tidak boleh takbur, kita manusia, adakala, kita meratap juga apa yang berlaku. Tetapi apabila kita ada habuan di akhirat dan petunjuk orang terdahulu yang telah pergi, jadi saya tenang dengan perjuangan yang dilakukan. Kalau ikut keredhaan manusia memang kita rasa letih, saya berpegang kepada keredhaan ALLAH SWT.


SINAR HARIAN: Tuan berdepan dengan kontroversi besar seperti isu khalwat, komunis dan terbaru Syiah. Yang mana satu Tuan rasa benar-benar memberi dugaan besar dan menguji kredibiliti?

MAT SABU: Saya rasa isu komunis memberi tekanan hebat kerana ada 1,100 laporan polis terhadap saya hingga keluarga saya menerima ancaman ugutan melalui SMS. Rumah saya cuba dibakar. Mujur hanya pintu pagar sahaja yang terbakar. Isu lain seperti Syiah, saya rasa tidak akan berlanjutan, dan akan berlalu tidak lama lagi.


SINAR HARIAN: Adakah tuan berpandangan segala kontroversi ini sebagai usaha untuk menjatuhkan Tuan?

MAT SABU: Tentu sekali. Ini isu dalam lawan politik, saya tidak boleh sedapkan hati saya. Saya percaya wartawan lebih faham.


SINAR HARIAN: Bagaimana ahli keluarga berhadapan dengan kontroversi ini termasuk yang terbaru, isu Syiah?

MAT SABU: Apabila timbul isu Syiah, media elektronik hentam saya di dalam berita mereka. Pada malam kejadian (7 Disember lalu) saya hubungi isteri saya kira-kira jam 11 malam. Dia sudah tidur.

Maknanya isteri saya tidak ambil kisah pun dan menganggap cerita yang berlaku pada suaminya sebagai siaran ulangan dan tidak susah hati dengan kontroversi itu.


SINAR HARIAN: Apa komen Tuan, apabila ada pihak mempersoalkan kelewatan Tuan mengambil tindakan terhadap tuduhan yang dilemparkan?

MAT SABU: Saya jenis orang yang 'cool', tidak mahu melatah. Saya perlu bincang dengan peguam terlebih dahulu. Saya tidak mahu sebut lagi isu ini, biar isu ini berbangkit di mahkamah sahaja.


SINAR HARIAN: Apa kata-kata akhir Tuan dan harapan dalam perjuangan politik di bawah tiket orang nombor dua parti?

MAT SABU: Saya mengharapkan berlaku satu pilihan raya yang bebas di Malaysia, kerana saya yakin PR mampu mengambil alih Putrajaya.

Perubahan itu bukan hanya kelebihan kepada parti politik tetapi akan kembali kepada rakyat. Saya juga mahu buang persepsi yang dimainkan bahawa apabila PR memerintah Cina akan perintah, dalam masa empat tahun ini saya mahu buang fahaman itu.SH