Hassan Ali mengamuk lagi dengan pendedahan semasa ceramahnya di Jalan Kebun semalam.Bukan sehari dua Dr Hasan dengan BTN, lebih 20 tahun, terlibat dengan kursus-kursus yang membabitkan kakitangan awam seluruh negara.
Juga golongan muda, bekas-bekas anak didik beliau dalam ‘summer camp’ yang mana beliau kelolakan bersama isterinya, selama 38 tahun dan cukup terkenal satu masa dulu.
“Tindakan PAS pecat Dr Hasan Ali pada waktu-waktu hampir dengan pilihanraya seperti ini merupakan rahmat kepada UMNO Selangor, ‘bola tanggung’ kepada kita,” kata Naib Ketua Pemuda UMNO Sepang Anuar Basiran.
Sungguhpun, UMNO Selangor tidak bergantung kepada pengaruh Hasan untuk membuat penerangan mengenai isu-isu semasa di Selangor, tetapi tempias dari pemecatan itu menguntungkan UMNO.
“Sekarang orang Melayu Selangor yang sebelum ini rapat dengan pembangkang ‘tersentap’ dengan segala macam masalah PR, mereka sedar bahawa PR bukan kerajaan yang boleh diharap,” katanya.
Dr Hasan, kata Anuar, merupakan ‘penyapu baru’ untuk mencuci kerajaan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang.
“Saya rasa UMNO sudah pasti akan ambil kesempatan semaksimum mungkin atas kucar-kacir dalam PR ini. Kita orang politik, benda ni macam bola tanggung, kita tak smash rugi besar lah…” katanya yang turut serta di Bangi.
“Dari pemerhatian saya, yang datang pada ceramah Dr Hasan adalah orang PAS yang keliru, mereka hendak dengar sendiri penjelasan daripada beliau, kedua pengundi atas pagar, Melayu bandar, kakitangan kerajaan, golongan pertengahan, mereka ini bukan jenis terima segala kata-kata dari pemimpin PAS.
“Ketiga penyokong NGO HIMPUN yang Dr Hasan merupakan orang kuatnya, serta penyokong dan keempat penyokong UMNO, yang rasa boleh ambil kesempatan ‘bola tanggung’ ini,” kata Anuar.
Dr Hasan sendiri selesa dengan membangkitkan tiga perkara dalam siri jelajahnya, IMR - Islam, Melayu dan Institusi Raja, yang kalau kita teliti tidak berbeza langsung dengan perjuangan UMNO selama ini.
Selain IMR, beliau yang juga merupakan bekas exco kerajaan negeri menceritakan pengalaman-pengalaman peribadinya, sepanjang menjawat jawatan tersebut.
Modal Dr Hasan adalah kisah benar bagaimana PAS menghalang usahanya memerangi penjualan arak di Selangor pada tahun 2008.
Katanya, jika parti komponen lain seperti DAP atau PKR yang menghalang usahanya itu, beliau tidak kisah.
"Saya berasa hairan. Tuan-tuan tahukan macam mana saya memerangi arak? Jadi, siapa yang halang saya? Kalau DAP atau PKR yang nak halang saya, saya boleh faham. Tetapi bekas parti saya sendiri yang halang. Saya tak boleh terima," katanya.
Beliau turut menceritakan kunjungan seorang wakil PAS Pusat bertemu dengannya sebagai langkah untuk ‘tone down’ beliau yang aktif mencegah mungkar di Selangor.
Katanya, wakil yang tidak dinamakannya itu telah memberitahunya untuk mengurangkan penguatkuasaan dan serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor yang diketuainya sebelum ini.
"Yang penting kita nak tawan Putrajaya dulu," kata wakil PAS Pusat tersebut cerita Dr Hasan yang tidak boleh menerima saranan tersebut.
"Biar tak sembahyang, zina, minum arak dulu asalkan pergi Putrajaya?," soal Dr Hasan.
Hadirin yang berdiri dan duduk terpukau dengan kepetahan bekas pakar motivasi nombor satu negara ini dulu. Di Shah Alam misalnya, hadirin menangis bersama dengannya ketika membaca zikir dan doa.
Beliau tahu cara untuk bermain dengan ‘emosi’ orang ramai yang hadir. Sebab itu, ada yang berani bertaruh, jika Dr Hasan pusing Selangor sehingga hujung Febuari ini, PAS dan PR terpaksa buat macam-macam ‘damage control’.
Dr Hasan, macam kata orang kuat UMNO Sepang, Anuar Basiran, jadi ‘penyapu baru’ mencuci kekotoran PR supaya orang Melayu Selangor dapat melihat dengan lebih jelas lagi.
No comments:
Post a Comment