[Pakatan Sosialis] PKR TOLAK keputusan Majlis Syura Ulama PAS (Subhanallah)
Antarapos.com - Timbalan
Presiden PKR, Azmin Ali hari ini menolak keputusan Majlis Syura Ulama
PAS dan menegaskan PKR berpegang pada pendirian Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang 8 Januari lalu yang membenarkan orang bukan Islam
menggunakan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu.
Azmin juga menegaskan, pimpinan
tertinggi Pakatan Rakyat telah sebulat suara menerima pendirian Abdul
Hadi yang membenarkan semua agama menggunakan kalimah suci itu tanpa
menterjemahkannya ke bahasa lain dan tidak boleh disalahgunakan.
"Pendirian ini tuntas dengan pendirian Pas pada 2010, tidak berganjak
walaupun perkara ini dibincangkan semula oleh kerana beberapa kenyataan,
tetapi pendirian Pas dan PR tidak berubah. Kita tidak boleh tukar
pendirian setiap hari," kata beliau kepada pemberita di ibu pejabat PKR,
di sini hari ini.
Azmin juga menjelaskan keputusan itu dicapai berdasarkan persetujuan
bersama secara kolektif dalam Mesyuarat Majlis Presiden PR pada 8
Januari lalu dalam banyak perkara dengan mengambil kira kepentingan
bersama.
"Oleh kerana kita terikat dengan dasar-dasar yang telah dipersetujui
secara kolektif dalam majlis presiden PR, maka kita berpegang kepada
keputusan itu," katanya.
Azmin kemudiannya berkata Majlis Syura Ulama PAS hanya sebahagian
daripada struktur organisasi PAS dan kedudukan itu tidak langsung
mempengaruhi pegangan PKR berhubung isu itu.
"Majlis Syura terikat
dengan ahli-ahli Pas, tetapi kita Keadilan (PKR), DAP dan Pas, kita
terikat dengan dasar bersama yang telah dipertimbang, dibincang, dilulus
dan disahkan dalam Majlis Presiden PR," jelasnya.
Bagaimanapun Azmin tidak menolak pandangan yang dilontarkan Majlis Syura
sebagai menghormati hak berdemokrasi dan hak bersuara mana-mana pihak.
"Pandangan Majlis Syura harus kita hormati, kita tak boleh halang orang daripada bercakap," katanya.
Ahad lalu, mesyuarat Majlis Syura Pas memutuskan supaya kalimah ALLAH
tidak boleh digunakan dalam Bible versi nahasa Melayu selepas isu
berkenaan dibantah pelbagai pihak.
Mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat menyatakan perkataan 'God' atau 'Lord' dari mana-mana kitab agama
bukan Islam adalah salah dari segi makna, tidak menepati kehendak
sebenar dan perlu dicegah kerana membawa kekeliruan yang nyata.
No comments:
Post a Comment