Oleh Dr Muhamad Razak Idris
Tahap perhubungan antara masyarakat beragama Islam dan bukan Islam di negara kita dalam keadaan muram sejak beberapa waktu terakhir ini. Ia berpunca dari beberapa isu keagamaan yang timbul dan dibincangkan secara terbuka terutama berkaitan tentang persoalan pertukaran agama, tuntutan hak apabila berlaku perceraian dan kematian dan penggunaan kalimah suci agama tertentu oleh agama yang lain.
Inilah antara beberapa persoalan yang sentiasa mengundang kepada kemuraman perhubungan antara penganut agama di dalam masyarakat kita. Persoalan penting yang sering ditanyakan ialah apakah kepelbagaian agama akan membawa kepada ketidakharmonian dalam sesebuah masyarakat? Pada saya, jawapannya ialah tidak. Ini kerana, disebalik pelbagai kisah pahit tentang permusuhan antara agama yang wujud, sebenarnya kedapatan kisah yang positif dan manis.
Dalam sejarah peradaban Islam, pengalaman kerukunan hidup yang harmonis dan muhibbah antara penganut agama terutama antara masyarakat Islam dan Kristian telah pun berlaku. Pengalaman ini dapat dikesan sejak abad ke 7 lagi apabila peradaban Islam mula menampakkan kehadiran pertamanya di tengah persekitaran masyarakat Eropah. Kehadiran masyarakat Islam ini menerusi proses perluasan peradabannya mendapat reaksi pelbagai.
Reaksi yang harmonis dapat dilihat di dalam catatan iaitu apabila perhubungan yang bercorak sivil mula terjadi secara rasmi antara kedua penganut agama. Ia tergambar menerusi perhubungan yang amat mesra antara Charles iaitu pemerintah Perancis dan German dengan Harun al-Rashid iaitu pemimpin dari kerajaan Islam Abasiyyah. Mereka berdua sering bertukar-tukar hadiah berharga antara satu sama lain sebagai tanda penghargaan dan penghormatan.
Pengalaman harmonis antara masyarakat Islam dan Kristian juga dapat ditelusuri menerusi perhubungan Friedrich II iaitu pemimpin Empayar Roman dengan kerajaan Islam. Sikap Friedrich II amat terpuji terutama sikapnya terhadap bahasa Arab iaitu bahasa utama masyarakat Islam pada waktu itu. Beliau sendiri dikatakan menguasai bahasa Arab dan telah melantik gabenor dari kalangan orang Islam dan membina masjid untuk kegunaan mereka.
Sebagai tindakbalas harmonis, kerajaan Islam yang tumbuh dan berkembang di beberapa pusat pemerintahan seperti di Cordova, Palermo, Nishapur, Cairo, Baghdad, Damascus dan Bukhara membuka pusat-pusat keilmuan yang dibangunkan kepada seluruh masyarakat termasuk dari kalangan bukan Islam.
Perhubungan yang harmonis ini dicatatkan oleh John L. Esposito dan Bernard Lewis, dua sarjana yang banyak mengkaji berkenaan masyarakat Islam di mana mereka mengatakan, pusat-pusat keilmuan ini boleh diibaratkan seperti lebuh kebudayaan yang telah membawa ramai dari kalangan masyarakat Eropah pada waktu itu ke dunia Islam bagi mempelajari ilmu matematik, perubatan dan sains. Pada waktu ini, terutama di Sepanyol dan di Sicily, agama Islam dan kebudayaan Arab bukan menjadi suatu yang asing bagi masyarakat Kristian. Malah sebahagian besar mereka menguasai bahasa Arab dengan fasih.
Perhubungan kebudayaan ini terutama di bidang keilmuan masyarakat Islam telah menyumbang secara langsung kepada revolusi kebudayaan di Eropah di abad pertengahan sehingga mendorong kepada kemunculan era kebangkitan, pencerahan dan pemodenan dalam sejarah perabadan masyarakat Barat.
Terdapat beberapa pengajaran penting yang dapat kita perolehi menerusi catatan kisah perhubungan antara penganut agama dua peradaban ini. Pertama, jelas di dalam catatan sejarah ini wujud suatu suasana hidup yang amat harmonis dan proaktif antara keduanya. Dalam kata lain, kepelbagaian agama tidak selamanya membawa kepada permusuhan dan ketidaktenteraman. Oleh itu, ia bukan suatu yang mustahil sekiranya terdapat usaha bagi merealisasikan pengalaman harmonis ini di dalam konteks masyarakat Malaysia semasa.
Pengalaman sejarah ini harus dijadikan simbol dan landasan di dalam kita menjayakan model perhubungan antara penganut agama di negara ini. Kedua, perhubungan yang harmonis dan positif antara penganut agama akan menghasilkan suatu kesan kebudayaan yang besar terhadap pencapaian ketamadunan manusia. Ternyata sekali, kesalingan hubungan yang produktif menatijahkan impak besar kepada keutuhan peradaban manusia seluruhnya. Ini tergambar di dalam pengalaman bagaimana sumbangan peradaban Islam masa lalu di dalam menggerakkan proses pencerahan masyarakat Eropah di abad pertengahan yang berada pada era yang sering dirujuk sebagai ‘kegelapan’ atau ‘Dark Ages”.
Pengajaran-pengajaran ini memberikan kita petunjuk iaitu pertama, permulaan bagi sebuah perhubungan yang harmonis harus bermula dengan satu keyakinan terhadap ideal yang dirangka. Dalam kata lain, cita-cita membina perhubungan muhibbah dan harmonis antara penganut agama bukan diluar jangkauan keupayaan kita. Kedua, perhubungan yang harmonis hanya terjelma apabila seluruh penganut agama menghayati wawasan besar bersama.
Dalam konteks ini, wawasan seluruh penganut agama ialah bersandarkan wawasan bagi membina sebuah peradaban manusia yang utuh berteraskan prinsip ilmu dan nilai sejagat yang dimiliki oleh setiap agama. Di negara kita hari ini, jalan menuju perkongsian wawasan peradaban kemanusian menerusi kesalingan hubungan harmonis antara agama nampaknya masih berdepan dengan banyak ranjau dan hambatan. Antara hambatan yang besar sekali ialah sikap manusia itu sendiri. Sebahagian pemimpin agama berada di dalam keadaan minda tertawan akibat dari sejarah pengalaman pahit lampau.
Dalam suasana minda sebegini, kekeliruan dan perselisihan antara agama mudah ditafsir sebagai satu bentuk ancaman besar. Keadaan ini mengakibatkan berkembangnya sikap prejudis yang menebal antara penganut agama. Sesetengah kumpulan agama pula lebih gemar menggunakan saluran popular dan kehakiman untuk menyelesaikan pertikaian. Sikap ini tentu mengundang provokasi balas tanpa kesudahan. Di dalam keadaan sebegini, saluran dialog yang seharusnya menjadi instrumen komunikasi bercorak sivil tidak akan mampu berfungsi dan ia bukan lagi sebuah wahana peradaban yang menjadi pilihan dan dihormati.
Penulis adalah Presiden ABIM (2009-2011). Beliau kini merupakan pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
No comments:
Post a Comment