Pakatan Harapan (HARAPAN) membuka lembaran baru bagi Malaysia apabila
diberi mandat untuk menjadi kerajaan pada tanggal 9 Mei lalu.
Sehari kemudian Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah selaku perdana menteri.
Kejayaan HARAPAN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 itu sekali gus menamatkan tempoh pemerintahan Umno-BN sejak lebih 60 tahun.
Menyusul selepas itu ialah pelantikan anggota kabinet dan timbalan
masing-masing. Di kalangan tokoh yang dilantik, ada antaranya kurang
dikenali.
Malaysiakini berpeluang mendekati salah seorang daripada
tokoh yang diberi kepercayaan menjadi sebahagian daripada anggota
kerajaan, iaitu Mohd Radzi Md Jidin.
Nama ahli politik dari Kelantan itu bukanlah lazim seperti tokoh
sedia ada. Namun Mohd Radzi diberi tugas yang besar, iaitu menjadi
timbalan menteri hal ehwal ekonomi, iaitu sebuah kementerian yang baru
diwujudkan.
Dalam temu bual di parlimen baru-baru ini, Mohd Radzi mengakui dia tidak dikenali ramai berbanding tokoh HARAPAN dari Kelantan.
Bahkan beliau langsung tidak berpengalaman dalam politik kerana
terlalu asyik dengan dunianya sendiri kerana menetap lebih 20 tahun di
Hobart, Australia.
Pulang ke Malaysia
Nikmat yang diperolehi daripada ketenangan serta pemandangan
gunung-ganang di Hobart membuat Mohd Radzi kurang memikirkan hasrat
kembali ke Malaysia.
Namun, ada satu perkara yang mencetuskan gejolak di hatinya dan
tiba-tiba terpanggil untuk pulang ke tanah air, iaitu apabila beliau
mendalami isu 1MDB.
Pada asalnya, Mohd Radzi, 41, hanya mahu membantu Umno menyelesaikan isu tersebut.
“Isu 1MDB yang buat saya masuk politik, sebab perkara itu bidang
saya, dan saya buat banyak penyelidikan, baca beribu-ribu muka surat
untuk memahaminya.
“Apabila timbul isu 1MDB, tidak ramai anggota Umno yang bercakap dan mempertahankannya.
"Sebagai orang yang tahu sedikit sebanyak bidang akaun dan audit,
saya kata kepada diri sendiri: saya kena belajar isu ini supaya saya
dapat pertahankan Umno," katanya.
Namun beliau tidak menyangka perkara yang sebaliknya berlaku apabila
banyak "kemungkaran" yang muncul. Dan ia berlaku tanpa dirancang
"Lebih banyak kita baca, lebih banyak kita nampak kemungkaran yang berlaku.
"Ianya mengambil masa yang lama dan isu 1MDB ini, orang masih tidak peduli,” kata Mohd Radzi.
Pensyarah dan pakar perunding di Universiti of Tasmania di Hobart itu
berkata beliau pernah membangkitkan isu 1MDB kepada pemimpin utama
Umno.
Namun katanya beliau kecewa kerana segala maklumat hasil penyelidikannya itu disia-siakan pemimpin Umno.
Mohd Radzi juga mendakwa beliau pernah menyarankan supaya Datuk Seri
Najib Razak melepaskan jawatannya sebagai pemimpin parti dan kerajaan.
Sebaliknya, kata pemegang ijazah doktor falsafah dari Australian National University itu dituduh tidak menghormati pemimpin.
“Umno kata 1MDB bukan isu, rakyat tak kena tempias... tapi hakikatnya hari ini kita nampak (apa kesannya).
"Saya sudah sebut banyak kali bahawa hutang ini akan mencengkam rakyat.
“Dari dulu saya tanya (kepada Umno), apa hasil daripada 1MDB? Ada hutang berpuluh bilion tapi apa hasilnya kepada negara?
"Nak siasat tak sukar, sebab ia berlaku dalam sistem perbankan. Kita
boleh jejak transaksi yang dilakukan dan kita boleh tahu masuk akaun
siapa,” kata Radzi yang juga bekas pemimpin kelab penyokong Umno luar
negara.
Pengalaman jadi timbalan menteri
Dalam temubual selama 30 minit itu, Radzi turut berkongsikan
pengalamannya sewaktu pertama kali memegang jawatan timbalan menteri.
Ujar anak jati Ketereh, Kelantan itu agak sukar bagi seorang
pensyarah yang banyak bermain dengan nombor dan kira-kira untuk memahami
selok-belok pentadbiran, namun, katanya berbidalan, alah bisa tegal
biasa.
Tanggungjawab yang diamanahkan akan ditunaikan sebaik mungkin demi menyelamatkan Malaysia.
“Tun Dr Mahathir buat panggilan kepada saya pada 4 Syawal. Itulah bermulanya satu lagi sejarah dalam hidup saya.
"Perdana Menteri telefon saya melalui pejabat beliau. Saya amat terkejut.
“Sebagai seorang yang baru dalam politik secara langsung dan dilantik
ke kementerian yang agak kanan dan banyak perkara yang perlu diambil
kira, adalah satu pembelajaran yang agak sukar bagi saya.
“Kena belajar banyak lagi dalam masa yang singkat. Saya dilantik
sebagai senator dan timbalan menteri hampir sebulan, dan nak selesaikan
urusan pejabat dan dilantik semasa parlimen bersidang, maka saya kena
kemas kini dengan isu dan soalan dalam masa yang singkat adalah satu
cabaran.
“Agak besar bagi saya bila bercakap tentang Felda, ekonomi negara, dan ia singkat untuk saya fahami segala itu.
"Tapi saya yakin dengan sokongan daripada semua pihak ia boleh dilaksanakan," katanya.
No comments:
Post a Comment