Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim terus giat merancang perhimpunan
Blackout 505 menentang keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13),
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula
menerima kekalahan pakatan pembangkang dan menyifatkannya sebagai takdir
Allah.
Malah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menerusi akaun Facebook miliknya hari
ini menyatakan tidak terkejut dengan keputusan pada 5 Mei lalu yang
menyaksikan Barisan Nasional (BN) kekal membentuk kerajaan sekali gus
menafikan impian Anwar bercita-cita menjadi Perdana Menteri.
“Keputusan yang diperolehi pada 5 haribulan (5 Mei lalu) adalah tidak
mengejutkan saya. Saya mudah menerima takdir Allah dalam PRU kali ini
berbanding kejutan takdir Allah dalam PRU 2004 yang begitu menggegar
bahtera perjuangan Pas.
“Keputusan PRU-13 adalah kemenangan buat BN dan kekalahan buat pakatan
pembangkang. Pas melalui Presidennya (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)
menyeru rakyat menerima kekalahan. Ia adalah takdir Allah," katanya.
Nik Abduh turut menyentuh prestasi pembangkang di Sabah dan Sarawak yang
kekalahan pembangkang di kedua-dua negeri itu membayangkan kelemahan
jentera Anwar.
Kekalahan pakatan pembangkang di Sabah dan Sarawak jelas beliau, telah
melenyapkan harapan pembangkang untuk memenangi Putrajaya seterusnya
membentuk kerajaan meskipun berjaya menambah kerusi Parlimen dan Dewan
Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung.
Dalam nada sinis, Nik Abduh turut menyifatkan janji-janji Anwar sekadar
janji manis sehingga mengakibatkan ramai penyokong pakatan pembangkang
menjadi mangsa ‘kencing manis akibat janji manis bergula’ Penasihat
Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
“Saya tidak faham politik janji manis dan harapan meranap gunung.
Sepanjang saya berguru dengan TGNA (Tuan Guru Nik Aziz), TGHH (Tuan Guru
Haji Hadi) dan guru politik dalam Pas, saya tidak pula diajar begitu
selain berkata benar dan tegas.
“Ya, DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bukan Pas dan beliau tidak perlu
mengguna pakai kaedah Pas. Tetapi, saya jadi keliru melihat sebahagian
mangsa adalah ahli dan pendukung Pas," katanya.
Beliau sehubungan itu menempelak ahli dan pendukung Pas yang sukar
memahami maksud ‘menerima takdir Allah’ yang dianjurkan Abdul Hadi
sehingga menganggap kekalahan pilihan raya lalu sebagai menyerah kepada
kezaliman BN yang didakwa mempergunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya sukar memahami sesetengah ahli Pas tidak memahami maksud beriman kepada takdir Ilahi.
“Sama ada saya menyalahkan DSAI atau menyalahkan ahli dan pendukung Pas
sendiri yang terlalu kemaruk janji manis DSAI, saya tangguhkan buat
sementara kerana mungkin juga kedua-duanya bersalah," katanya.
Nik Abduh turut mengakui Pas masih gagal memikat undi orang Melayu di
seluruh negara termasuk kegagalan parti itu membantu sekutunya PKR
mengekalkan tiga kerusi Parlimen di Kelantan yang mereka menangi pada
Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
Menurut beliau, Dewan Pemuda Pas sekitar tahun 2010 telah merumuskan
bahawa Pas mestilah menumpukan usaha memikat hati orang Melayu yang
didakwa masih liat untuk berubah.
Dalam rumusan tersebut katanya, Dewan Pemuda Pas juga mengingatkan semua
jentera parti agar menjaga hati orang Melayu agar Pas dilihat mampu
menggantikan UMNO.
“Pas perlu bertegas dengan isu orang Melayu sebagaimana UMNO dilihat
begitu. Bezanya Pas hanya perlu menampilkan penyelesaian cara Islam yang
adil dan bersifat memakmurkan hubungan antara kaum tanpa rasis UMNO.
Justeru ia akan menambah undi Melayu selain mengekalkan undi bukan
Melayu kepada Pas," katanya lagi merujuk kepada rumusan sayap Pas itu.
Nik Abduh turut menegaskan bagaimana Dewan Pemuda Pas telah berusaha
menjuarai isu-isu Melayu dan Islam serta yakin memperolehi hasil yang
agak positif.
Rujukan Sumber:
No comments:
Post a Comment