|
Dr.
Zuhdi cadang Konsensus Nasional antara TSKI, PAS dan UMNO
|
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan
PAS Dr Zuhdi Marzuki mencadangkan kerajaan konsensus nasional dibentuk di
Selangor bagi menyelesaikan kemelut yang melanda.
"Melihat kepada
kemelut politik negeri Selangor yang berlarutan lebih setahun sejak Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, saya secara peribadi mencadangkan sebuah kerajaan
berkonsepkan Konsensus Nasional dibentuk di Selangor," kata Zuhdi melalui akaun Facebooknya.
Sebelum ini, nama Zuhdi terkenal
apabila perbincangan dalam aplikasi Whatsapp kumpulan ahli jawatankuasa PAS
Pusat bocor.
Dalam jangkaan senario itu, Zuhdi
membayangkan wujud gabungan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS dan
Barisan Nasional (BN) bagi menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai
menteri besar Selangor.
Kali ini Zuhdi secara terbuka
mencadangkan konsensus nasional dengan BN untuk penyelesaian isu di Selangor.
Zuhdi berkata, bagi menjayakan
'Konsensus Nasional' peringkat Selangor, pembangkang BN boleh diberi
tanggungjawab bersama dalam pentadbiran negeri khususnya menjadi kuasa semak
dan imbang yang diiktiraf, sebagai contoh seorang Adun BN dilantik mengetuai
jawatankuasa Selcat.
"Konsensus ini diperkukuh
dengan pembentukan Majlis Pemuafakatan Selangor yang melibatkan parti daripada
PR, BN dan Adun bebas.
"Dalam konteks ini Datuk Seri
Anwar Ibrahim boleh dilantik sebagai pengerusi atau penasihat sebagai
pengiktirafan kepada usaha Konsensus Nasional yang diusahakannya sebelum
ini," katanya.
Beliau berkata, konsep pembentukan
kerajaan berasaskan Konsensus Nasional pernah diwar-warkan oleh Anwar, malah
pernah juga disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan istilah
Rekonsilasi Nasional.
Katanya, perkara itu juga menjadi
intipati penting kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang memutuskan untuk
mengekalkan Khalid, atas asas kepentingan rakyat perlu didahulukan daripada
kepentingan individu dan parti.
"Secara peribadi, saya melihat
inilah penyelesaian terbaik kepada kemelut politik Selangor yang memuaskan hati
semua pihak," katanya.
Beliau berkata, penyelesaian ini
juga dapat mengelak daripada pilihan raya negeri diadakan yang akan
mengorbankan sejumlah dana awam, menangani ketidakstabilan politik disebabkan
kekaburan siapa mendapat sokongan majoriti, memberi ruang kepada semua pihak
berkaitan seperti pihak kerajaan tempatan, kakitangan kerajaan, pimpinan
komuniti melaksanakan tugas mereka dan yang lebih utama kepentingan rakyat
terpelihara.
Zuhdi berkata, semangat Konsensus
Nasional perlu dihidupkan semula demi mengelak kemelut politik Selangor yang
berpanjangan sehingga boleh menjejaskan rakyat Selangor dan Malaysia secara
keseluruhannya.
Katanya, kemelut politik di Selangor
sepatutnya tidak timbul jika pimpinan mengambil sikap mendulukan kepentingan
rakyat seperti penyelesaian krisis air, pembasmian salah guna kuasa, penurunan
kos hidup rakyat, penyediaan rumah mampu milik, penambahbaikan infrastruktur,
memerangi jenayah dan pencegahan demam denggi.
"Malangnya terdapat segelintir
pimpinan politik lebih suka berpolemik dan berpolitik demi mengutamakan
kepentingan individu dan parti," katanya.
Katanya, kemelut politik ini
menyebabkan sebahagian besar rakyat Selangor mulai bosan, malah meluat dengan
karenah pimpinan politik.
Zuhdi berkata, sepatutnya kerajaan
yang diberi mandat rakyat dan kemudian diperkenankan Sultan Selangor, diberi
peluang saksama untuk menjalankan tanggungjawab mereka demi menjaga kepentingan
rakyat seluruhnya. – 12 Ogos, 2014.
- See more at:
http://thekl-chronicle.blogspot.com/2014/08/akhirnya-pemimpin-PAS-cadang-bentuk-kerajaan-dengan-BN.html#sthash.qyjjfUw5.Wk0gq7wn.dpuf
No comments:
Post a Comment