Perbincangan
mengenai Parti Komunis Malaya (PKM) hangat diperkatakan. Saya ingin
mencatatkan sedikit sejarah mengenainya dari ringkasan 15 buah buku yang
sempat dibelek. Semoga catatan ringkas ini memberi gambaran kepada kita
mengenai isu PKM yang sedang dibincangkan sekarang
Pembaca kenal lambang apakah itu? (Lokasi Perak) |
Fahaman Komunis dicetuskan oleh Karl Marx telah menjadi orde baru melangkau batas geografi. Di Asia, idelisme Komunis dipelopori oleh negara China.
Kesatuan Soviet yang ditubuhkan menginginkan kuasa Komunis melebarkan sayap hingga ke seluruh negara Asia.
Selepas
berlakunya Revolusi Bolshevik Rusia pada tahun 1917, satu biro telah
ditubuhkan. Biro Timur Laut Komitren ditubuhkan bagi mengawal selia
perjalanan parti-parti Komunis di rantau Asia.
Parti Komunis
Malaya (PKM) ditubuhkan pada 30 April 1930 di Singapura dengan dihadiri
oleh pemimpin Parti Komunis Vietnam, Ho Chi Minh. Ia sebagai
kesinambungan dari penubuhan Parti Komunis Nanyang yang ditubuhkan di
Singapura pada tahun 1922.
PKM diarahkan
melebarkan fahaman bukan sahaja kepada orang Cina malahan juga orang
Melayu bagi tujuan menubuhkan Republik Soviet Malaya
Akhirnya,
lahirlah tokoh Komunis dari kalangan orang Melayu seperti Abdullah CD,
Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh. Lahirlah satu rejimen yang diberi nama
rejimen ke 10 iaitu pasukan tentera Melayu di bawah pimpinan Abdullah
CD yang berpusat di Temerloh dan Mentakab dan mengandungi 500 anggota.
PKM menggunakan
taktik pemogokan pekerja, boikot, sabotaj, demontrasi dan akhirnya
pemberontakan bersenjata untuk mencapai matlamatnya. PKM menyusupkan
aggotanya ke dalam kesatuan-kesatuan sekerja.
Ketika Jepun
menjajah tanah Melayu, British telah memberi pelbagai kemudahan dan
bantuan seperti senjata, latihan ketenteraan, kemudahan logistik dan
perubatan. PKM bekerja sama dengan British melalui perjanjian di antara
John Davies dan Lai Tek serta Chin Peng.
PKM menubuhkan
pasukan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) dan membantu British
di dalam perang gerila bersama-sama Force 136.
Setelah
kekalahan Jepun, PKM telah diterima sebagai sebuah parti politik yang
sah di Tanah Melayu. Peluang itu digunakan oleh PKM untuk meluaskan lagi
pengaruhnya. PKM telah menguasai 75% kesatuan sekerja dan banyak
melakukan mogok bagi melemah dan menjatuhkan pengaruh British.
Bagi mengekang
kegiatan PKM, British telah memperkenalkan Ordinan Kesatuan Sekerja dan
serba sedikit telah menyekat pengaruh PKM dalam kesatuan sekerja.
Penubuhan
Persekutuan Tanah Melayu yang menggantikan Malayan Union dilihat sebagai
merosakkan peluang untuk PKM menubuhkan republik komunis. Keadaan ini
mendorong PKM mengubah dasarnya kepada dasar yang lebih agrasif. Pada
awal tahun 1948, PKM telah mengambil keputusan melancarkan perang secara
terbuka di atas nama pembebasan Nasional.
PKM
menyingkirkan pemimpin mereka Lai Teck dan digantikan dengan Chin Peng
yang lebih agresif. Pada 17-21 Mac 1948, Chin Peng dan ahli PKM telah
bersetuju untuk menjayakan matlamat menubuhkan Republik Soviet Komunis Tanah Melayu dengan cara kekerasan.
Sebagai
permulaan, ekonomi Tanah Melayu dan pengawasannya mesti dilemahkan. Oleh
itu PKM telah melancarkan serangan ke atas ladang-ladang dan kawasan
lombong, melakukan pembunuhan ke atas pengurus ladang dan lombong,
menyerang balai polis, pusat kawalan, pasukan keselamatan, mengugut,
menculik orang ramai dan merosakkan kemudahan awam. Ramai orang
Melayu, India dan Cina diancam dan dibunuh bagi memaksa mereka
meninggalkan pekerjaan mereka. Mereka juga menyerang sistem perhubungan
dan menawan pengkalan pasukan keselamatan di kampung-kampung dan pekan
kecil.
Maka pada 18
Jun 1948, Sir Edward Gent, Pesuruhjaya Tinggi British telah
mengisytiharkan darurat. Undang-undang darurat diperkenalkan secara
rasmi pada 32 Julai 1948 iaitu sesiapa yang disyaki terlibat dengan
kegiatan komunis akan dihukum.
Keadaan agak
reda menyebabkan darurat ditamatkan pada tahun 1960. Melihat keadaan
ini, PKM menyusun kembali anggotanya dan pada tahun 1968, mereka sekali
lagi melancarkan pemberontakan bersenjata kali kedua di Tanah Melayu.
Perkara ini
berterusan hinggalah kerajaan bersetuju mengadakan rundingan perdamaian
dengan pemberontak komunis bermula pada tahun 1988. Abdullah CD mewakili
Rejimen ke-10 dan Tun Ghaffar Bab mewakili negara. Akhirnya pada 2-3
Febuari 1989, perjanjian damai telah berjaya dipersetujui yang mana
pihak komunis bersetuju meletakkan senjata dan menamatkan pemberontakan
selama lebih kurang 41 tahun. Pada 2 Disember 1989, di Lee Gardens
Hotel, Hadnyai, uapacara menandatangani perdamaian dapat dilaksanakan.
Kerajaan
Thailand telah menyediakan penempatan bagi bekas-bekas ahli komunis di
satu kawasan dikenali sebagai Kampung Perdamaian Betong, Kampung
Perdamaian Banlang, Kampung Perdamaian Shkhirin dan Kampung Perdamaian
Yaha.
Sepanjang
peristiwa yang membabitkan PKM dari 16 Jun 1948 hingga 31 Julai 1960,
korban mencatatkan seramai 2947 Pasukan Polis Tanah Melayu, 1478 Pasukan
Keselamatan, 4668 orang awam, dan 10699 anggota PKM.
Di atas adalah bilangan yang mati, ini tidak masuk ribuan yang cedera, yang cacat, yang hilang upaya dan sebagainya.
Kita mungkin
boleh melupakannya begitu sahaja. Tetapi, apabila doktrin komunis mula
dilagang kembali, propaganda mengenainya telah mula wujud kembali, ia
menyentuh banyak pihak, bermula dari isu keselamatan hingglah imbauan
kisah silam keganasan mereka. Isu yang dibangkitkan bukanlah isu
pulangnya Chin Peng sangat, tetapi doktrin yang pernah menumpahkan
ribuan darah di Tanah Melayu ini cuba ditiupkan semula.
Jika sebelum pulang pun telah menimbulkan kontroversi, bagaimana agaknya jika ia berada di negara ini?
Apa pun, masih
banyak lagi perkara yang boleh kita usaha dan bangunkan bersama. Isu
sosial masyarakat, kemiskinan dan sebagainya.
Kita cuma bimbangkan, ada orang yang cuba menangkuk di air yang keruh, di dalam membahaskan isu ini.
Sama-samalah
kita berdoa, agar Allah terus memberi kebaikan pada kita di negara ini.
Semoga, Islam akan terus berkembang dan dihayati ditanah air ini. amin..
"Sirah, Perjalanan Mencipta Sejarah"
Al-Fakir Ila Rabbihi
No comments:
Post a Comment