-Ahmad Fadhli bin Shaari, 18 Disember 2012.
Amanat Haji Hadi : Amanat Mahathir Bagaimana?
Saya tertarik apabila
membaca desakan beberapa orang ulama UMNO yang mahu agar Presiden PAS,
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menarik balik apa yang disebut
sebagai Amanat Haji Hadi yang didakwa disampaikan oleh beliau pada 7
April 1981 iaitu lebih kurang 31 tahun lepas. Ini termasuklah Pengerusi
ILMU sendiri, Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya di muka hadapan Sinar Harian
dan Utusan Malaysia hari ini 18 Disember 2012 yang mendesak agar Amanat
ini ditarik balik. Dengan tidak menafikan hormat saya kepada ilmu yang
dimiliki oleh beliau, saya mengira bahawa desakan ini tidak lain
hanyalah merupakan salah satu helah dari pihak UMNO untuk mencalarkan
imej Presiden PAS ditambah dengan suasana yang sedang menghampiri PRU13
ini.
Apa yang disebut sebagai Amanat Haji Hadi ialah ucapan biasa beliau
di sebuah majlis ceramah pada tahun 1981 (ada versi yang menyebut 1979)
di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu. Ia kemudiannya dicetak
oleh individu perseorangan yang disebut sebagai amanat dan didakwa
kemudiannya sebagai punca pemecahbelah umat Islam dan penyebab
berlakunya solat dua imam di beberapa lokasi khususnya di Terengganu.
Padahal sehingga sekarang tidak ada sebarang kajian terperinci yang
dapat mengesahkan dakwaan ini.
Perlu diingatkan bahawa isu ini telah berkali-kali dibangkitkan
khususnya menjelang pilihanraya umum. Padahal jika disoroti sejarah,
Abdul Hadi sendiri pernah bersedia untuk bermuzakarah dengan Majlis
Fatwa Kebangsaan pada tahun 2001 tentang isu amanat ini. Pada masa itu
barangkali Pengerusi Ulama Muda UMNO masih belum terlibat dengan politik
atau sedang sibuk berprogram bersama-sama ahli PAS di Madinah. Sekitar
bulan April tahun 2001 menyaksikan bagaimana isu ‘Amanat’ ini dimainkan
secara besar-besaran dengan tujuan untuk menjatuhkan imej Tuan Guru
Abdul Hadi (pada masa itu Menteri Besar Terengganu) di kalangan pengundi
Melayu. Akhirnya, apabila isu ini diperbesar-besarkan sekian lama dan
Majlis Fatwa Kebangsaan dikatakan telah bersetuju untuk bermuzarah,
tiba-tiba pada 2 Mei 2001, Dr Ismail Ibrahim (pada masa itu sebagai
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan) muncul di kaca televisyen membuat
kenyataan bahawa muzakarah tersebut dibatalkan ekoran ia telah
dipolitikkan oleh golongan-golongan tertentu. Soalnya, siapakah yang
mempolitikkan isu ini?
Saya melihat bahawa usaha Ulama Muda UMNO ini lebih kepada mengalih
isu yang sedang berlegar di kalangan mereka yang hakikatnya sedang
diperhatikan satu persatu oleh rakyat. Adapun apabila ia disokong oleh
beberapa orang mufti yang sudah dikenali sebagai pro-UMNO, ia langsung
tidak menjadi satu perkembangan yang menakjubkan. Mufti Perak sendiri
yang masih belum hilang wangi di tangannya setelah menerima sendiri
Anugerah PERKASA dari Datuk Ibrahim Ali tentu tidak akan melepaskan
peluang ini untuk menghentam PAS habis-habisan.
Adapun pihak Ulama Muda UMNO, saya kira lebih baik mereka menjawab
isu TIADA JIHAD DI PALESTIN yang telah dinyatakan oleh seorang ustaz
mereka di dalam salah kuliahnya. Ia tersebar di dalam media Youtube
sehingga mengundang kritikan ramai pihak. Tidakkah ini lebih
mengelirukan daripada membangkitkan isu lama yang tidak relevan? Atau
lebih manis sekiranya tuduhan Doktor Sheikh Al-Qaradhawi yang dikatakan
khawarij itu diperjelaskan dengan lebih terperinci agar Tokoh Maal
Hijrah yang dinobatkan oleh kerajaan Malaysia itu sendiri tidak dicemari
dengan tuduhan liar ini. Atau adakah lebih tepat jika disebut bahawa
kerajaan Malaysia telah memberikan anugerah kepada Tokoh Khawarij?
Lebih menarik lagi pula ialah salah seorang daripada Ahli Majlis
Syura ILMU ialah Ustaz Rasul Dahri (rujuk : http://ilmuanmalaysia.com/tentang-kami/)
yang mana buku-buku karangannya ada yang diharamkan kerana didapati
menyebarkan mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran yang bercanggah
dengan Mazhab Ali Sunnah Wal Jamaah (rujuk : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/pengharaman-buku-buku-tulisan-saudara-rasul-dahri-yang-telah-diperakui-haram-0).
Dalam keadaan ILMU terpalit dengan individu seperti ini, saya kira
lebih baik Fathul Bari menumpukan perhatian kepada membersihkan
tanggapan masyarakat terhadap ILMU terlebih dahulu.
Jika ucapan Abdul Hadi 30 tahun lepas yang disebut sebagai ‘amanat’
ini ingin ditarik balik, bagaimana pula dengan amanat Mahathir tentang
hukum hudud yang mencetuskan kontroversi sedari dulu lagi. Tidakkah
Mahathir pernah mengatakan pada 14 Julai 1992 bahawa ‘apabila hukum
rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri,
nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan?” Tidakkah
Mahathir juga yang menyebut pada 3 Mac 1994 bahawa ‘hukum rejam kepada
penzina adalah primitif?’ Banyak kalgi koleksi ucapan ini jika ingin
dijadikan sebagai amanat. Ini belum mengambil kira kenyataan-kenyataan
terbaru beliau bahawa hudud tiada di dalam Al-Quran dan isu ‘syaitan
yang dikenali’. Jika semua ucapan ini disebut sebagai amanat, maka tidak
bahayakah Amanat Mahathir kepada umat Islam?
Saya kira Amanat Mahathir yang baru saja menyambut ulang tahun
kelahirannya ini agak menarik untuk kita bincangkan…
-Ahmad Fadhli bin Shaari, 18 Disember 2012.
Kesian pd diri anda... Pok nik x nak komen ke. x bahaya ker... mcm yg di merapunye x nak komen... dalami ilmu anda lagi... jgn nak komen sebelah pihak... kalau jantan komen semuanya...
ReplyDelete