Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA

Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA
Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA

Thursday, November 29, 2018

Apa sebenarnya berlaku isu kuil? Ikuti penjelasan menteri


  
Diterbitkan  | 
Dikemaskini


   
Berikut ucapan penuh Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berhubung
insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, USJ, Selangor kepada
Dewan Rakyat.

Tuan Yang Di-Pertua,

1. Saya ingin memberi
penerangan kepada Dewan Yang Mulia ini tentang satu isu penting yang
menarik perhatian rakyat pada masa ini, iaitu insiden pergaduhan dan
rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Siefield, Subang Jaya, Selangor pada
26 dan 27 November 2018.Terlebih dahulu saya ingin menjelaskan
kronologi insiden ini.

Kronologi insiden

2.
Pada 26 November 2018 sekitar jam 2.40 pagi, Bilik Gerakan Ibu Pejabat
Polis Daerah Subang Jaya telah menerima panggilan daripada orang awam
mengenai insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield. Sejurus
selepas menerima laporan, Ketua Polis Daerah Subang Jaya telah
mengarahkan semua unit yang berada di lapangan menuju ke tempat
kejadian.

3. Pada jam 2.50 pagi, 4 buah MPV polis tiba di tempat
kejadian tetapi telah dihalang masuk oleh sekumpulan lelaki India.
Cermin belakang sebuah MPV telah dipecahkan di samping terdapat sebuah
lori treler tangki diletak melintang menghalang jalan menghala ke kuil.

4.
Pada jam 3.30 pagi, Ketua Polis Daerah Subang Jaya telah menghubungi
pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Ibupejabat Polis Daerah
Serdang untuk mendapatkan bantuan tambahan anggota. Bantuan IPD Serdang
dengan kekuatan seorang pegawai dan 99 anggota tiba di tempat kejadian
pada jam 4.00 pagi.

5. Pada ketika itu telah berlaku pergaduhan di
dalam kuil di antara kumpulan penganut agama Hindu dan kumpulan lelaki
Melayu yang menceroboh kawasan kuil. Setelah tercetus pergaduhan,
sebahagian daripada kumpulan lelaki Melayu ini telah melarikan diri dari
kawasan kuil.

6. Sejurus selepas itu, kumpulan penganut agama
Hindu telah bertindak membakar beberapa buah kenderaan yang dipercayai
milik kumpulan lelaki yang mencereboh kawasan kuil. Pasukan bomba telah
menerima panggilan bantuan kebakaran pada jam 4.38 pagi dan tiba di
tempat kejadian 25 minit kemudian untuk mengawal kebakaran.

7.
Pasukan FRU pula telah tiba di tempat kejadian pada jam 5.30 pagi
dengan kekuatan 2 orang pegawai dan 201 orang anggota. Menjelang pagi 26
November 2018, keadaan di sekitar kuil telah berjaya dikawal oleh
anggota polis dan keadaan kembali tenang.

8. Ekoran daripada
kejadian pergaduhan ini, 3 orang lelaki Melayu dan 3 orang lelaki India
telah tercedera. Seorang anggota polis turut mengalami kecederaan.

9.
Keesokannya, iaitu pada awal pagi 27 November 2018, dianggarkan
sejumlah 10,000 orang kaum India berkumpul di kawasan sekitar kuil.
Selain merusuh beberapa buah kenderaan turut dibakar oleh kumpulan ini.

10.
Anggota bomba yang berada berhampiran kawasan kuil cuba untuk memadam
kebakaran ekoran rusuhan terhadap kenderaan milik bomba. Dalam kejadian
tersebut, seorang anggota bomba Mohammad Adip bin Kassim telah
dicederakan oleh sekumpulan individu yang tidak dikenali. Beliau
mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke Subang Jaya Medical
Centre (SJMC) oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.

11.
Kumpulan perusuh ini juga bergerak ke pejabat One City Development Sdn
Bhd. Mereka bertindak memecahkan dinding cermin bangunan, merosakkan
peralatan di dalam bilik pameran dan membakar beberapa buah kenderaan.

Siasatan kes

12.
Ekoran insiden ini, pihak polis telah mengambil langkah-langkah perlu
untuk mengawal keadaan. Memandangkan insiden ini mempunyai unsur
jenayah, siasatan telah dimulakan serta-merta untuk mengenalpasti
pelaku-pelaku jenayah dan membawa mereka ke muka pengadilan.

13.
Oleh kerana siasatan kes ini agak rumit dan memerlukan tenaga kerja yang
ramai, saya ingin memaklumkan Dewan Yang Mulia ini bahawa sebuah
pasukan petugas khas (task force) untuk siasatan telah ditubuhkan.
Pasukan ini yang diketuai oleh Yang Dihormati Dato’ Sri Wan Ahmad
Najmuddin bin Mohd, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM,
menggabungkan personel daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,
Kontinjen Selangor, dan beberapa daerah di Kontinjen Selangor. Operasi
ini dikenali sebagai ‘Ops Seafield’.

14.
Sehingga kini sebanyak 34 orang telah dirakamkan percakapan. Sejumlah
besar keterangan fizikal juga telah berjaya dirampas di tempat kejadian
iaitu:

(i) 21 buah kereta dan 6 buah motosikal yang dibakar;

(ii) 1 bilah pisau dan 2 bilah parang; dan

(iii) 7 pasang kasut, dan 3 vest;

15.
Pihak polis juga telah menangkap 30 individu yang terdiri daripada 24
orang Melayu, 2 orang India Muslim, 3 orang India dan seorang Cina.
Semua mereka telah direman dengan tempoh reman yang berlainan, sementara
5 orang individu yang baru ditangkap semalam direman pada hari ini.

16.
Siasatan polis menjurus kepada isu perpindahan kuil yang menjadi punca
rusuhan. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pihak pemaju telah pun
mendapat perintah mahkamah untuk mengambil alih pemilikan tanah sejak
tahun 2014. Terdapat beberapa kali percubaan oleh pihak pemaju untuk
mengambilalih tanah tersebut tetapi gagal kerana terdapat bantahan
daripada kumpulan penganut agama Hindu.

17. Siasatan polis
mendapati pada hari kejadian, sekumpulan lelaki Melayu yang menceroboh
masuk ke dalam kawasan kuil bertindak atas arahan beberapa individu yang
bekerja dengan One City Development Sdn. Bhd. Kumpulan ini telah
menerima bayaran tertentu untuk tugas mengosongkan kawasan kuil bagi
membolehkan kerja-kerja pengambilalihan dilaksanakan pada pagi tersebut.

18.
Siasatan polis juga mendapati sejumlah RM150,000 telah dibayar kepada
individu tertentu untuk melaksanakan kerja pengosongan kuil. Kumpulan
lelaki Melayu berjumlah 50 orang yang menceroboh kuil pada malam
kejadian didapati menerima bayaran antara RM150 dan RM300 seorang.

19.
Pihak polis telah mengenalpasti beberapa individu yang memainkan
peranan dalam kejadian ini dan mereka akan dipanggil untuk menjalani
proses siasatan selanjutnya. Motif kejadian ini telah pun dikenalpasti
dan kertas siasatan masih dalam proses untuk dilengkapkan sepenuhnya.

20.
Siasatan ke atas kes pegawai bomba yang diserang pada malam 27 November
2018 juga telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu atas
kesalahan cubaan membunuh. Beberapa rakaman video telah diperolehi dan
sedang dianalisa bagi mengenalpasti individu-individu yang terlibat
dalam kejadian tersebut. Pihak polis juga telah mengenalpasti
anggota-anggota bomba yang berada di tempat kejadian untuk dirakamkan
percakapan mereka.

21. Selain itu, beberapa kertas siasatan lain telah dibuka. Antara kesalahan-kesalahan yang sedang disiasat ialah:

(i) Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api;

(ii) Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rusuhan bersenjata;

(iii) Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata;

(iv) Seksyen 447 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan kawasan;

(v) Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 iaitu memiliki senjata berbahaya;

(vi) Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan khianat; dan

(vii) Seksyen 124G Kanun Keseksaan iaitu membuat kenyataan yang boleh menimbulkan apa-apa perlanggaran keamanan.

22.
Pihak polis sedang menjalankan siasatan secara profesional dengan
menggunakan kaedah siasatan forensik dan saintifik sepenuhnya. Untuk
tujuan ini, satu pasukan khas dari Makmal Forensik Bukit Aman telah
ditempatkan di Kontinjen Selangor bagi membantu siasatan.

23.
Pihak polis juga amat mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai
untuk terus menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan. Siasatan juga
dibuat ke atas berita-berita viral bagi membantu siasatan kes di samping
membuat pengesahan ke atas fakta yang dikemukakan.

Insiden jenayah, bukan perkauman

Tuan Yang Di-Pertua,

24.
Saya ingin memaklumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa insiden
pergaduhan dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Siefield, tiada
kaitan langsung dengan isu perkauman. Ia adalah satu kejadian jenayah
yang berpunca daripada pertikaian di antara syarikat pemaju One City
Development Sdn Bhd dan Jawatankuasa Kuil berhubung status pemilikan
tanah tapak kuil.

25. Agak malang kerana tindakan pihak tertentu
yang mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk mencereboh dan mengosongkan
kuil pada malam kejadian telah menimbulkan kemarahan penganut agama
Hindu. Kerana angkara tindakan tidak bertanggungjawab dan menyalahi
undang-undang inilah wujudnya keresahan dan prasangka dalam kalangan
masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita. Di samping itu,
kenyataan-kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh pihak-pihak
tertentu juga telah mengeruhkan keadaan.

26.
Saya menyeru semua pihak supaya berfikir dan bertindak secara rasional
dalam menangani isu ini. Rakyat Malaysia telah mengecapi kehidupan yang
aman dan harmoni sejak sekian lama. Janganlah kerana insiden jenayah
yang terpencil ini kita sanggup merosakkan perpaduan dan keharmonian
rakyat berbilang kaum dan agama. Janganlah kerana nila setitik, rosak
susu sebelanga.

27. Bagi pihak Kementerian Dalam Negeri, saya
ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana
pihak yang sengaja mengganggu-gugat keamanan dan ketenteraman awam,
terutamanya dengan mengapi-apikan sentimen perkauman. Tindakan tegas
berlandaskan undang-undang akan diambil oleh pihak berkuasa demi
mempertahankan perpaduan kaum, keselamatan negara dan kesejahteraan
rakyat.

Terima kasih, Tuan Yang Di-Pertua.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...