Kompleks Al Barakah untuk dijual?
Kepada dermawan UMNO yg sanggup mengeluarkan wang dan emas untuk wang
jamin DS Najib. Jika benar UMNO memperjuangan Agama Islam , jom kita
bantu pula Ustaz Kazim dan keluarga untuk membantu Kompleks Darul
Barakah daripada dijual. Di situ kan semua anak-anak org Islam bernaung
dan menuntut ilmu. Ayuh, dermawan2 UMNO kita bantu pula Ustaz Kazim.
IPOH - Keputusan tokoh pendakwah terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias
menjual sebahagian Kompleks Al Barakah atas masalah kewangan adalah
sesuatu perkara amat menyedihkan untuk masa hadapan umat Islam.
Pandangan itu diutarakan abang kepada tokoh penceramah agama itu, Datuk
Mohd Najmuddin Elias susulan mendapat tahu hasrat adiknya itu melalui
laman Facebook peribadi baru-baru ini.
Menurutnya, Mohd Kazim atau lebih dikenali Ustaz Kazim belum lagi
memaklumkan cadangan menjual sebahagian Kompleks Al Barakah atau
dikenali sebagai Bangunan Tahfiz Darul Barakah di Manjoi, Ipoh kepadanya
secara peribadi sehingga kini.
“Cuma, saya cuma dapat tahu mengenai perkara itu melalui laman Facebook
beliau. Saya cuba hubungi beliau (Ustaz Kazim) tetapi tidak dapat.
“Sekiranya berita ini sahih, saya menganggap keputusan beliau adalah
sesuatu perkara amat menyedihkan untuk masa hadapan umat Islam di
Perak,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Mohd Najmuddin yang juga bekas Adun Batu Kurau berkata, sebelum ini,
Ustaz Kazim ada memaklumkan kepadanya mengenai masalah kewangan
dihadapinya bagi menguruskan Kompleks Al Barakah.
Menurutnya, masalah itu dihadapi Ustaz Kazim susulan kurang menerima
jemputan berceramah agama oleh pihak masjid dan surau di seluruh negara
sejak berakhirnya PRU14.
“Masalah itu semakin kritikal selepas perayaan Aidilfitri dan saya
tidak menolak kemungkinan faktor beliau kurang dijemput berceramah
disebabkan perbezaan politik,” katanya.
Mohd Najmuddin berkata, selaku individu pernah terlibat dalam
pengurusan Kompleks Al Barakah sebelum ini, beliau menegaskan sejumlah
peruntukan RM180,000 sebulan diperlukan Ustaz Kazim bagi membiayai kos
pengurusan Pusat Tahfiz Darul Barakah itu.
Menurutnya, pusat tahfiz yang beroperasi sejak enam tahun lalu kini
menempatkan sejumlah 130 pelajar di mana sebahagian besar yuran
pengajian mereka ditanggung Ustaz Kazim sendiri.
“Daripada jumlah itu, sebahagian besar mereka berasal dari keluarga
miskin dan meskipun terdapat yuran pengajian dikenakan, hanya sebahagian
kecil yang mampu sahaja membayarnya.
“Saya teramat sedih melihat senario ini dan berharap kerajaan negeri
Perak baharu dapat mengenepikan perbezaan politik seterusnya mengambil
perhatian nasib Kompleks Al Barakah yang diusahakan Ustaz Kazim bagi
tujuan murni,” katanya.
Mohd Najmuddin sekali lagi menegaskan objektif Ustaz Kazim menubuhkan
Kompleks Al Barakah hanya semata-mata bagi melahirkan generasi al-Quran
pada masa hadapan dan bukan atas kepentingan peribadi serta politik.
Menurutnya, bagi menyahut seruan ‘Malaysia Baharu’, seharusnya sebarang
perbezaan fahaman politik diketepikan, sebaliknya usaha kesinambungan
dakwah Islam dalam kalangan umat di negara ini perlu disokong semua
pihak.
“ Saya menggesa kerajaan baharu Harapan tidak mengenakan sebarang
tekanan politik dengan tindakan ‘gam’ kepada mana-mana tokoh agama untuk
menyampaikan dakwah meskipun berlainan fahaman politik.
“Kalau dakwah disekat, saya bimbang kejahilan akan terus berleluasa,
seterusnya keberkatan diterima pentadbir dan rakyat di negara ini akan
berkurangan,” katanya.
Mohd Najmuddin tidak menolak kemungkinan akan mengadakan pertemuan
dengan Ustaz Kazim dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan
terperinci tokoh agama terkemuka negara itu.
Sementara itu, seorang lagi abang kepada Ustaz Kazim, Ahmad Hasbullah
Elias sewaktu dihubungi mengakui ada dimaklumkan mengenai berita
penjualan sebahagian Kompleks Al Barakah oleh tokoh agama itu melalui
kiriman media sosial.
“Saya tidak tahu perkara lanjut, cuma saya mengesahkan Ustaz Kazim kini
berdepan kekangan kewangan sehingga menyebabkan keputusan berat itu
terpaksa dibuat,” katanya.
No comments:
Post a Comment