Manusia ni kalau pakai serban besaq bakul sekali pun belum tentu
menunjukan hatinya mulia dan bersih dari membuat dosa. Hanya Allah S.W.T
yang maha mengetahui niat dan perbuatan yang tersembunyi makhluk
ciptaannya.
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah saw.; "Sudah hampir
sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya,
dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka
tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat
makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan
kepada mereka fitnah ini akan kembali". (Riwayat Baihaqi).
Dinar Kelantan - penipuan Pas, Nik Aziz atau Husam?
Dinar KGT Didakwa Tiada Ciri Islam
KOTA BHARU -
Bekas Pengarah Eksekutif Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. (KGT), Nik
Mahani Mohamad mendakwa, mata wang syariah dinar dan dirham yang
dikeluarkan oleh syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK)
itu tidak mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki Islam.
Nik Mahani
mendakwa, sepanjang berada dalam syarikat tersebut sejak tahun 2008
sehingga awal tahun ini, beliau mendapati KGT lebih mementingkan
keuntungan berbanding untuk memperkenalkan sistem kewangan yang
menghapuskan riba secara keseluruhannya.
Malah, beliau
yang pernah membentangkan kertas di satu forum dinar emas peringkat
kebangsaan pada tahun 2006 mendakwa, fungsi dan peranan KGT dalam
menguruskan jual beli dinar tidak ubah seperti syarikat-syarikat yang
mengeluarkan syiling emas konvensional iaitu mementingkan keuntungan.
“Saya ingin
nyatakan di sini, jangan terpedaya dengan kenyataan bahawa KGT adalah
memperkenalkan mata wang syariah kerana sejak daripada awal mata wang
syariah perlu diletakkan di bawah sultan atau baitulmal.
”KGT sebenarnya
ditubuhkan oleh dua orang, kemudian saya dipanggil untuk membantu
sebelum saya ‘ditendang’ apabila mereka mendapati saya tidak berguna
lagi.
“Syarikat ini
ditubuhkan untuk mendapatkan keuntungan, kalau di bawah baitulmal mereka
tidak boleh mendapatkan keuntungan, jadi apa KGT buat ialah menjual
dinar dan dirham melalui ejen atau wakalah, sekiranya baitulmal yang
menempa dinar atau dirham maka rakyat boleh membelinya pada harga kos,
maka tidak ada elemen keuntungan,” dakwanya.
Beliau berkata
demikian kepada Utusan Malaysia di sini hari ini ketika diminta mengulas
mengenai dakwaan wujud skandal salah laku pegawai kanan KGT – syarikat
yang mengeluar dan mengedarkan dinar dan dirham Kelantan selepas
didedahkan oleh penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz.
Nik Mahani
mendakwa, KGT juga terpaksa membayar royalti antara satu sehingga dua
peratus ke atas setiap syiling yang dikeluarkan kepada sebuah pertubuhan
antarabangsa kerana menggunakan logo serta mengikut piawaian pertubuhan
itu.
Dakwanya lagi,
peneraju pertubuhan antarabangsa itu adalah individu yang sama menjadi
tulang belakang kepada KGT sebelum beliau dipecat dan dibawa masuk
semula untuk jawatan tertentu.
“Pada awal dulu
kami menerima cadangan yang diberikan oleh individu ini agar dinar yang
ditempa adalah di bawah piawaian pertubuhan tersebut kerana diberitahu
bahawa ia adalah penting untuk keseragaman syiling sebab bila kita
melangkah pada cara pembayaran elektronik akan lebih memudahkan kita
untuk membuat transaksi antarabanga.
“Tetapi saya
rasakan kenyataan ini meleset sebab yang dipiawaikan oleh Saidina Umar
al-Khattab ialah tentang keberatan dinar dan dirham dan sepanjang
kerajaan berkhalifah tidak ada satu syiling yang standard untuk sesuatu
khalifah dan tidak ada satu logo pun yang menjadi logo kepada kerajaan
berkhalifah semasa itu.
“Ini yang telah
dimanipulasikan oleh individu tertentu, saya rasakan sekiranya kita
mengambil pendekatan sedemikian kita akan mengambil kesempatan ke atas
orang ramai yang tidak faham cerita ini, ia semacam penjajah atas mata
wang Islam yang mahu kita bangunkan,” dakwanya yang mempunyai pengalaman
dan kepakaran dalam sistem kewangan Islam serta terlibat secara
langsung untuk penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad.
Dakwa Nik Mahani, atas sebab-sebab tersebut beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada awal tahun ini.
“Saya
berpendapat KGT telah ditubuhkan atas maksud yang diberikan arah tuju
oleh ‘dua orang yang berkenaan sahaja’ dan saya dipanggil untuk beri
jasa saya dan apabila keadaan bertukar saya tidak dikehendaki lagi untuk
menyumbang tenaga,” dakwanya.
Mengulas
mengenai laporan polis yang dibuatnya berhubung salah laku seorang
pegawai kanan KGT pada penghujung Januari lalu, Nik Mahani berkata, ia
diserahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan enggan
mengulas lanjut.- Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment