Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA

Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA
Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA

Monday, June 4, 2018

UiTM, sentimen kaum dan hakikat sejarah

UiTM, sentimen kaum dan hakikat sejarah: ULASAN | Mereka yang mengkaji dasar afirmatif terhadap mana-mana kaum pasti belajar tentang penyalahgunaan dasar oleh golongan kaya kaum itu sendiri.



Mohd Nazim Ganti Shaari  | 
Diterbitkan  | 
Dikemaskini


   
ULASAN | Penasihat Undang-undang
UiTM Professor Madya Dr Haidar Dyizauddin telah menukilkan pandangan
bernas dalam isu mengenai UiTM baru-baru ini, bertajuk “UiTM untuk
bumiputera: Kenapa perlu dipolemikkan?”


Tokoh akademik ini berkata, “Kita memandang sejarah bukanlah untuk
melangkah ke belakang tetapi untuk menilai di mana kita berada sekarang
dan mencorak masa hadapan”.


Ini kenyataan terpuji untuk melihat hubung kait seseuatu perkara dengan sejarahnya pada masa lampau.


Oleh itu wajar untuk kita melihat sebab-sebab Perkara 153 dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.


Adakah Perkara 153 ini bertujuan untuk memberikan hak istimewa kepada
semua orang yang mengaku dan diakui berbangsa Melayu, atau adakah hak
istimewa di dalam Perkara 153 ini adalah hanya untuk orang Melayu yang
susah dan miskin?


Ramai yang beranggapan hak istimewa (atau "kedudukan istimewa”) orang
Melayu seperti yang dirujuk oleh Perkara 153 dijanjikan penjajah
British atas dasar Orang Melayu merupakan kaum pribumi di negara ini.


Dalam Laporan Jawatankuasa Kerja Cadangan Perlembagaan Bagi Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (Report of the Working Committee on the Constitutional Proposals for the Federation of Malaya Agreement 1948),
pernyataan “...adalah menjadi tanggungjawab Pesuruhjaya Tinggi British
untuk menjaga kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah
kaum-kaum lain” telah dirangka buat pertama kalinya dalam sejarah.


Maksud dan ruang lingkup peruntukan ini terkandung alam perenggan 143
yang menyatakan jawatankuasa kerja ini mengesyorkan negeri-negeri untuk
menawarkan dan menggalakkan pendidikan dan latihan kepada Orang Melayu,
bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam perkhidmatan kerajaan
dan kehidupan umum di negara ini.


Ramai yang merujuk perkara ini dan juga kepada pernyataan-pernyataan
yang dikeluarkan oleh pegawai kanan British pada zaman penjajahan
bertujuan untuk melindungi kepentingan orang Melayu.


Ia telah dijadikan alasan untuk mengatakan peruntukan “kedudukan
istimewa Orang Melayu” ini adalah satu warisan keistimewaan untuk orang
Melayu sedari zaman penjajahan British.


Tetapi sejarah juga menunjukkan apa yang dilindungi penjajah British
hanyalah kepentingan mereka sendiri dan kepentingan kaum pemodal atau
peniaga kapitalis Barat, dan kaum pemodal lain-lain di Malaya dan juga
kepentingan bangsawan Melayu.


Dalam perjanjian-perjanjian yang ditandatangani antara penjajah dan
Istana, tiada langsung tercatat apa-apa pun mengenai keperluan penjajah
untuk menjaga “kedudukan istimewa Orang Melayu”.


Ada juga yang menyalahkan Raja-raja Melayu di zaman tersebut ekoran
perkara ini, tetapi perlu diingat mustahil bagi Raja-raja Melayu untuk
bertindak di dalam zaman tersebut tanpa persetujuan pembesar-pembesar
Istana. Perkara ini dihuraikan dalam buku Palace, Political Party and Power: A Story of the Socio Political Development of Malay Kingship oleh Dr Kobkua Suwannathat-Pian, yang pernah menjadi penyarah tamu di Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Semasa zaman penjajahan British, orang Melayu terbanyak langsung
tidak dipedulikan asalkan mereka dapat diperah dan dipergunakan bagi
kepentingan ekonomi penjajah.


Bukan sahaja British memaksa orang Melayu untuk tinggal di kampung
untuk bertanam padi, malah ada juga bangsawan Melayu yang menyokong
sikap Penjajah British, contohnya ada yang tidak mahu orang Melayu
terlibat dalam penanaman pokok getah atas alasan orang Melayu perlu
menjaga identiti dan adat resam sebagai penanam padi.


Sistem pendidikan orang Melayu pula hanyalah untuk melahirkan para
petani dan nelayan yang lebih baik daripada orang tua mereka, bukan
wadah pendidikan yang sebenar-benarnya seperti sistem di sekolah-sekolah
Inggeris.


Mereka yang mengkaji sejarah sistem Pendidikan negara dan sejarah
ekonomi bangsa Melayu tidak dapat sekali-kali menafikan perkara ini.


Dasar afirmatif bukan untuk perkauman


Agak menarik apabila kita merujuk pula kepada Laporan Suruhanjaya
Reid 1957 kerana perenggan 163 menyatakan terdapat kesulitan di dalam
memberikan taraf istimewa hanya kepada satu kaum sahaja dan perkara ini
juga diakui oleh wakil parti-parti Perikatan seperti yang terkandung di
dalam perenggan yang sama.


Seterusnya, apabila kita merujuk kepada Kertas Putih Kerajaan
Malaysia bertajuk “Ka Arah Negara Harmoni” yang diterbitkan pada tahun
1971, perenggan 13 menegaskan bahawa tujuan Perkara 153 adalah untuk
memberikan kekuatan atau lonjakan kepada orang Melayu untuk maju dengan
lebih cepat - kerana diakui kemajuan orang Melayu tidak berkadar dengan
kaum yang lain.


Perenggan ini juga menyatakan kerajaan telah mangambil jalan itu
untuk mempercepat rentak kemajuan orang Melayu agar mereka dapat
bersaing pada tahap yang sama dengan kaum lain.


Bagaimanapun Kertas Putih itu langsung tidak memberi ruang kepada
sentimen perkauman. Jelas bahawa peruntukan “kedudukan istimewa” Orang
Melayu" dalam perlembagaan adalah untuk membantu mencapai keseimbangan
ekonomi, bukannya atas dasar warisan keistimewaan bangsa.


Professor Madya Dr Haidar yang bernas ini seterusnya menulis, “Agak
malang jika ada individu berhujah melihat peruntukan undang-undang
mengenai perkara ini secara tekstual tanpa mengambil kira keseluruhan
aspek secara pandangan prismatik”.


Pendapat ini penting dalam menegaskan kita tidak boleh
sewenang-wenangnya mengatakan Perkara 153 adalah untuk orang Melayu
sahaja, kerana kita juga perlu melihat perkara-perkara lain berhubung
dengan Perlembagaan.


Berkenaan dengan “kedudukan istimewa Orang Melayu”, pelajar berakal
sempurna yang mengkaji sistem sosial dan ekonomi sesuatu kaum yang
berkait rapat dengan keistimewaan yang diberikan kepada kaum itu (dasar
afirmatif) tidak akan dapat lari daripada mengkaji penyalahgunaan
keistimewaan oleh golongan kaya kaum itu sendiri.


Dalam soal ini, banyak buku-buku ilmiah bertaraf dunia contohnya The Wretched of the Earth, Mitos Pribumi Malas dan Konsep Hero Dalam Masyarakat Melayu
merekodkan masyarakat perlu sentiasa memantau “keistimewaan” yang
diberikan kepada kaum yang terpilih kerana ia mungkin disalah guna dan
dibolot oleh golongan kaya dan berpengaruh dari kaum itu sendiri.


Justeru Perenggan 16 dalam Kertas Putih itu jelas menyatakan niat
kerajaan hanya untuk membantu orang Melayu yang layak dari keluarga yang
kurang berkemampuan sahaja.


UiTM diwujudkan melalui akta di Parlimen Malaysia dan ia telah
diselenggarakan dengan menggunakan wang pembayar cukai di Malaysia.
Kemajuan dan kecemerlangan UiTM juga hasil daripada biaya mereka.


Akta UiTM ini juga tidak dapat lari daripada kekangan bawah
Perlembagaan Persekutuan kerana perkara yang bercanggah dengan
Perlembagaan adalah terbatal dan tidak sah.


Justeru dasar untuk kemasukan bumiputera di dalam institusi itu perlu
dilakukan dalam perkadaran yang munasabah - tanpa mengira dalam bentuk
apa dasar itu dirangka dan apa pun tafsirannya.


Banteras sentimen segera


Kuota ini pula perlu dipastikan hanya untuk mereka yang layak
berdasarkan faktor ekonomi. Malang jika anak pembesar negara yang kaya
dibenarkan belajar di UiTM.


Sentimen kaum juga dapat dilihat dari segi keterlibatan kakitangan
universiti dalam politik. Selama ini terdapat undang-undang yang
melarang pensyarah dan pentadbiran tertinggi universiti untuk terlibat
aktif di dalam politik.


Akan tetapi undang-undang ini tidak dipedulikan apabila mereka
terlibat aktif dalam Umno atas alasan “demi perpaduan bangsa Melayu”.


“Kesetiaan kepada kerajaan” telah sewenang-wenangnya disalah tafsir untuk menghalalkan “kesetiaan kepada Umno”.


Terdapat kakitangan universiti yang bertanding memegang jawatan serta
berkempen di dalam dan di luar universiti untuk parti itu. Mereka yang
dilihat menyokong pembangkang pula dizalimi dan dilayan secara tidak
adil.


Ada juga pensyarah yang diminta untuk berjanji tidak akan melawan
mana-mana kakitangan universiti yang aktif dalam Umno. Mereka yang
bergiat aktif dalam politik ini telah diberi pangkat dan keistimewaan
walaupun ia bersalahan dengan undang-undang.


Inilah bahayanya jika sentimen dibiarkan berakar umbi apatah lagi dalam universiti awam.


Saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini agar
pegawai kerajaan tulus dan ikhlas bekerja dalam menyokong kerajaan perlu
dilihat secara serius.


Di universiti awam, sudah tiba masa untuk membanteras sentimen ini dan mengenakan tindakan kepada mereka yang terlibat.


Kita tidak mahu lagui mendengar ada professor beralasan “saya tidak
boleh menolong anda kerana parti pemerintah sedang menekan saya. Saya
juga tidak dapat menolong kerana anda tidak menyokong Agenda Perpaduan
Melayu”.



MOHD NAZIM GANTI SHAARI adalah pensyarah undang-undang UiTM.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...