Saya akan dianggap murtad kalau saya tidak menulis tentang Anwar
Ibrahim dalam siri merakam sejarah ini. Para REFORMIS akan memurtadkan
saya kerana tidak memperlihatkan dan berlabun tentang peranan Anwar.
Hakikatnya dari fakta sejarah dalam kempen PRU14 peranan Anwar amat
minimum - amat sedikit. Malah kadang kala mengganggu perjalanan siratul mustakim Pakatan Harapan.
Ini terjadi kerana ketika PRU14 dirancang dan berjalan Anwar ini
sedang dipenjara oleh Najib. Anwar dipenjara atas tuduhan meliwat Saiful
Bukhari. Ini fakta sejarah.
Tetapi yakinlah peranan Anwar Ibrahim ini besar. Untuk memahami
rakaman sejarah biar saya butirkan beberapa fakta latar untuk
pengetahuan umum.
Mungkin ada pembaca kurang arif tidak mengetahui beberapa fakta latar
belakang tentang Anwar Ibrahim. Wajib diberitahu bahawa Anwar Ibrahim
ini sebelum memakai jubah Islam telah memakai songkok Melayu.
Kampus Universiti Malaya - pasca Mei13 1969 - Anwar telah menonjolkan
diri sebagai pemimpin pelajar. Tapi bukan memimpin Persatuan Mahasiswa
Universiti Malaya - PMUM. Bukan. Bukan. Bukan.
PMUM adalah persatuan pelajar untuk anak semua bangsa-bangsa semua
agama. Dari segi fakta sejarah pucuk pimpinan PMUM sering kali diterajui
oleh kumpulan liberal sekular atau pelajar kiri dari Kelab Sosialis.
Anwar memimpin Persatuan Bahasa Melayu Universiri Malaya (PBMUM ).
PBMUM tidak berjanji memayungi anak semua bangsa. Justeru Anwar tidak
pernah bertanding untuk merebut kerusi PMUM. Jika bertanding dalam
pilihan raya umum PMUM pada tahun 1970, Anwar akan kalah. Hakikatnya
amat jarang aktivis dan pemimpin PBMUM berani bertanding untuk memimpin
PMUM.
Dari fakta sejarah, pernah pada tahun 1973 bekas presiden PBMUM -
Zulkifli Ahmad cuba bertanding dalam pilihanraya PMUM. Tapi gagal.
Ketika saya di UM, warga mahasiswa menggambarkan demografi Malaysia.
Justeru garis Melayu atau garis Islam tidak ada keupayaan untuk mewakili
anak semua bangsa - bangsa semua agama dalam kampus UM.
Pasca Mei13 dalam tahun 1970 Anwar melancarkan kempen menobatkan
penggunaan Bahasa Melayu dalam Universiti Malaya. Dari sini Anwar
mencipta nama.
Kemudian Anwar menukar songkok Melayu PBMUM untuk memakai jubah
Islam. Fakta - jubah Islam - ini sering ditimbulkan. Ada yang
menimbulkan ‘ jubah hijau’ ini untuk membuktikan bahawa pada satu ketika
dulu Anwar ini seorang fundamentalis Islam. Berita dan labun seperti
ini biasanya datang dari musuh politik Anwar.
Lebih licik
Sebenarnya Anwar Ibrahim ini lebih licik dari itu. Anwar memiliki
keupayaan untuk menukar songkok, baju, jubah, tali leher dan jaket
berkali-kali. Semua dilakukan dalam usaha membantu memperkukuh kerja
politik dirinya.
Semua yang saya tulis ini adalah latar awal ketika Anwar di UM.
Jangan silap fakta saya bukan satu angkatan dengan Anwar Ibrahim. Kami
pergi ke sekolah yang sama. Kami masuk ke universiti yang sama - fakulti
yang sama tapi BUKAN jabatan yang sama. Hakikatnya Anwar Ibrahim lebih
senior dari saya.
Bila saya masuk ke UM tahun 1971 saya sempat melihat cakaran di
dinding papan tanda. Cakaran ini bertujuan memadamkam maklumat dalam
Bahasa Inggeris. Ini kerja kempen Anwar Ibrahim dan PBMUM. Inilah yang
saya takrifkan sebagai ‘songkok’ Melayu dari Anwar Ibrahim.
Pada 3 Disember 1974 anak mahasiwa pelajar dari pelbagai kampus turun
berdemo di Dataran Merdeka untuk menyokong perjuangan kaum tani yang
kelaparan di Baling, Kedah. Dari Dataran Merdeka para demonstran masuk
ke Masjid Negara.
Pada Rabu 4 Disember 1974 Anwar ditahan bawah ISA. Pada 8 Disember
1974 saya hilang ke bawah tanah dari Kolej Ketujuh Universiti Malaya.
Saya berkelana selama 20 tahun. Anwar menjadi ahli United Malays
National Organisation dan menjawat jawatan dalam parti dan kerajaan.
Pada 2 September 1998 Anwar Ibrahim Timbalan Perdana Menteri Malaysia
dibuang dari kerajaan atas tuduhan meliwat. Pada 20 September 1998 satu
tunjuk perasaan telah diadakan. Demonstrasi bermula di Masjid Negara
kemudian para demonstran telah masuk ke Dataran Merdeka.
Untuk saya ini pengulangan sejarah. Ini permulaan gerakan politik
jalan raya. Sejarah demonstrasi Disember 1974 berulang sekali lagi pada
September 1998.
Pada petang 20 September ini saya hadir di Masjid Negara dan menyebar kertas pelekat dari Kumpulan APA - Artist Pro-Active.
Pada sebelah malam 20 September Anwar ditahan. Dari sini bermula
gerakan REFORMASI. Manifestasi reformasi ialah politik jalan raya. Saya
cukup senang hati kerana politik jalan raya kembali menyemarakkan garis
politik Malaysia.
Sebaik sahaja Anwar ditahan seluruh negara mengelodak. Anak-anak muda
mula turun ke jalan raya. Semua ini spontan tanpa disusun atau diatur.
Ini tanda sokongan hangat anak anak muda - pelajar dan mahasiswa - kakak
, ibu, abang dan ayah - terhadap Anwar Ibrahim. Si Anwar dianggap
sebagai harapan masa depan mereka.
Sejarah merakamkan bahawa manifestasi gerakan reformasi 1998 ialah
demonstrasi. Manakala ikon reformasi ialah Anwar Ibrahim. Sosok yang
dipanggil Anwar Ibrahim ini menjadi simbol yang paling ampuh. Ikon dan
wajah Anwar Ibrahim telah berjaya membawa orang ramai ke jalan raya.
Kepada penyokong dan simpatisan Reformasi - pemenjaraan Anwar memberi
makna masa depan mereka telah punah ranah - hancur berderai. Mereka
meletakkan harapan kepada sosok bernama Anwar. Bayangkan bagaimana
kecewa melanda apabila Anwar dipenjara. Justeru mereka sanggup bertempur
dengan FRU di jalan raya.
Menembusi jeriji besi
Anwar walau pun dalam penjara tapi pengaruhnya menembusi jeriji besi dan
tembok batu penjara. Menyebut nama nama Anwar Ibrahim bermakna menyebut
keadilan. Menyebut nama Mahathir Muhamad bermakna menyebut kezaliman.
Majoriti Bani Melayu pada tahun 1998 yakin bahawa Anwar telah dizalimi oleh Mahathir Muhamad.
Dalam PRU10, PRU11, PRU12 dan PRU13 - tidak dapat dinafikan faktor Anwar adalah faktor numero uno. Dalam PRU10 pada tahun 1999 Terengganu jatuh ke tangan parti Islam PAS. Kemenangan PAS adalah kerana Anwar.
Imej mata lebam Anwar adalah rujukan kemenangan itu. Menidakkan fakta
ini sama saperti menidakkan faktor Mahathir yang berjaya menjatuhkan
United Malays National Organisation pada Rabu 9 Mei 2018.
Wajib diakui bahawa Anwar Ibrahim memiliki keupayaan berucap yang
hebat. Sesiapa yang mendengar kali pertama ucapan Anwar akan terpesona.
Memang hebat retorika dari mulut Anwar. Ini bukan ucapan dari ustaz tapi
akan diselang-seli dengan ayat Quran dan Hadis Nabi.
Malah untuk memperkukuh diri Anwar juga melamar beberapa patah
perkataan Jerman atau Perancis. Walau pun bunyi perkataan asing ini
tidak begitu tepat tetapi bunyi yang salah ini telah cukup untuk
mendodoikan telinga mak cik dan pak cik Felda.
Tidak cukup dengan weltanschuung. Anwar akan menggugurkan
beberapa nama sosok-sosok penting dalam ucapannya. Ini bertujuan untuk
membantu pemperkukuhkan dirinya. Akan disebut nama Qaradawi, akan
disebut nama Al Gore atau Erdogan. Akan dipalit nama George Town
University untuk memberi gambaran pada maka cik dan pak cik Felda bahawa
Anwar ini bukan kecik anak.
Pasti mak cik Felda akan berkata… Oh! Hebatnya Si Anwar ini hampir semua pemimpin dunia dikenalinya.
“Dihina... dipukul... ditelanjangi....” Perkara ini diulang-ulang
oleh Anwar. Untuk sesiapa yang sering mengikut ceramah Anwar pasti
mereka telah mendengar surah yang sama berpuluh kali.
Memang betul. Memang tepat sosok bernama Anwar Ibrahim ini telah
dihina. Telah dipukul. Telah ditelanjangi. Inilah kehebatan Anwar
Ibrahim. Dia dipenjara tiga kali.
Kali pertama di Kamunting tahanan ISA kerana terlibat dalam gerakan
pelajar pada tahun 1974. Kali kedua 14 April 1999 - tuduhan meliwat.
Pada 2008 sekali lagi Anwar dituduh meliwat.
Kali pertama apabila Anwar dituduh meliwat kelihatan sokongan cukup
hebat. Ribuan turun ke jalan raya. Apabila Anwar dipenjara gelombang
REFORMASI menggelodak dan mengancam kedudukan Perdana Menteri Mahathir.
Tetapi apabila tuduhan ke dua sampai sokongan menjadi lembik. Tidak
seheboh kali pertama Anwar ditangkap dan dipenjara. Tidak ada ada tunjuk
perasaan besar besaran menuntut Anwar dibebaskan. Mungkin - rakyat
Malaysia telah naik bosan dengan kes liwat.
Walau apa pun sejarah wajib merakamkan tanpa Anwar Ibrahim tidak akan
ada kemenangan Rabu 9 Mei. Tanpa Anwar masuk penjara tidak mungkin
gelombang reformasi bermula. Anwar adalah sosok yang bertanggungjawab
memecah ruyung.
Memecah ruyung
Memecah ruyung bukan satu yang senang. Memecah ruyung memerlukan
pengorbanan. Anwar telah memecahkan ruyung itu untuk kita sesama
menikmati sagunya.
Sejarah akan merakamkan bahawa Anwar Ibrahim menjadi penyebab utama
yang membangunkan kesedaran Bani Melayu untuk berani bangun menentang
Parti Kertuanan Melayu. Anwar juga berjaya berkempen untuk meyakinkan
anak semua bangsa bahawa United Malays National Organisation wajib
ditolak.
Berbulan bulan dahulu - ketika saya mencadangkan agar Mahathir
Muhamad dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan -
tidak ramai yang menyokong. Malah saya mendapat sumpah seranah. Saya
mencadangkan Mahathir kerana pada ketika itu Anwar sedang dipenjara oleh
Najib.
Hari ini Mahathir telah diangkat untuk menjadi PM sekali lagi. Agenda reform Mahathir semakin jelas. Mengikut kata Suhakam tidak ada apa pun yang ‘sacrosanct atau suci' yang tidak boleh dibincangkan dalam Malaysia Baru. Amin.
Malah mengikut kata Kadir Jasin - bekas pengarang NST - hal ehwal raja-raja Melayu juga termasuk dalam agenda reform Pakatan Harapan. Ini satu yang hebat.
Hari ini Anwar telah bebas dari penjara. Kebebasan ini telah membuka
pelbagai kemungkinan untuk Anwar. Anak semua bangsa sedang menunggu
Anwar Ibrahim untuk bergerak serentak seirama memalu gendang agenda reform Mahathir Muhamad.
Harapan yang punah ranah pada tahun 1998 dahulu kini disambung.
Agenda reform Pakatan Harapan yang sedang berjalan sekarang adalah
lanjutan harapan anak semua bangsa kepada sosok Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim tidak perlu lagi menukar songkok atau jubah. Anak semua
bangsa sedang siap-siaga untuk melintasi jambatan menyeberang masuk ke
Malaysia Baru bukan untuk jadi jambatan dalam Malaysia Kuno. END
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment