WAWANCARA | Dua puluh tahun
sebelum lahirnya 'Malaysia Baru', Indonesia terlebih dahulu mengalami
perubahan politik apabila Reformasi berjaya meruntuhkan Orde Baru
pimpinan Suharto yang berkuasa sejak 1966.
Sejak itu, Indonesia melalui perkembangan demokrasi yang pesat yang
antara lain menyaksikan kembalinya kebebasan akhbar dan bersuara.
Bagaimanapun sekumpulan ahli politik muda republik itu merasakan ada
satu kekurangan apabila pemerintah selepas itu gagal membawa Suharto -
bekas jeneral yang merampas kuasa daripada presiden pertama, Sukarno -
ke muka pengadilan atas segala dakwaan salah guna kuasa dan korupsi
sepanjang 32 tahun di tampuk kuasa.
Justeru situasi di Malaysia kini menarik perhatian ramai di Indonesia
untuk mengikuti perkembangan selepas jatuhnya BN pada pilihan raya umum
(PRU) ke-14.
"Kita menunggu (pembaharuan politik Malaysia) kerana Indonesia gagal
mengheret Suharto ke muka pengadilan... Dia sakit dan seterusnya
meninggal (pada Januari 2008)," kata Ketua Umum Parti Solidariti
Indonesia (PSI) Grace Natalie dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perubahan
politik di Malaysia berdasarkan pengalaman Indonesia 20 tahun lalu.
Katanya, pengundi Malaysia berjaya melaksanakan misi sukar
menumbangkan BN yang disifatkannya sebagai "regim korup" yang berkuasa
selama enam dekad.
"(Malah) Ia berlaku dengan damai. Di Indonesia berlaku pertumpahan darah, huru-hara di mana-mana (ketika Reformasi). Jadi kita salute dengan Malaysia," kata bekas wartawan dan pembaca berita itu lagi.
Najib tular di Indonesia
Grace menyebut salah satu perkara yang amat menarik perhatian warga
Indonesia ialah tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri
Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkongsi kisah betapa berita penggeledahan di hartanah
berkaitan Najib menjadi tular di negara itu dan ramai yang terkejut
dengan barang yang dirampas polis.
"Sehingga ada yang bertanya ia benar atau diedit kerana begitu banyak sekali rampasannya," katanya.
Selepas PRU ke-14, polis mengadakan serbuan di beberapa hartanah
berkaitan Najib antaranya tiga kondominium mewah di Pavilion Residences,
Kuala Lumpur.
Rabu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Amar Singh Ishar Singh mendedahkan nilai barangan yang dirampas berjumlah RM686.37 juta, termasuk wang tunai RM116.7 juta dan barang kemas bernilai RM440 juta.
Dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini,
Najib menjelaskan bahawa barang yang dirampas itu kebanyakannya
"hadiah" dan mempertikaikan nilai rampasan yang menurutnya "subjektif
dan tidak realistik."
Sementara itu, mengambil kira kesukaran Indonesia untuk membawa
Suharto ke mahkamah, Grace berkata mereka menantikan perkembangan
selanjutnya - adakah pembaharuan di Malaysia akhirnya akan membawa
dakwaan salah laku kerajaan terdahulu Malaysia ke muka pengadilan.
"Pastinya bukan perkara mudah, sesuatu yang sudah berjalan 60 tahun
pengaruhnya di mana-mana (dan sukar diubah)... Apakah orang yang
bertanggungjawab akan mendapat hukuman?
"Ini pasti akan memberi kesan kepada Indonesia sebagai negara tetangga," katanya lagi.
Menurut laporan, pada Julai 2000 Suharto akan didakwa kerana
menyeleweng wang kerajaan berjumlah AS$571 juta yang ditujukan buat
beberapa yayasan yang dinaunginya. Beliau didakwa menggunakan wang
tersebut untuk pelaburan keluarga.
Dua bulan kemudian, beliau diisytiharkan tidak mampu menjalani perbicaraan di mahkamah berikutan masalah kesihatan.
Pada Mac 2008, mahkamah sivil membebaskannya daripada dakwaan rasuah
tetapi mengarahkan yayasan kebajikannya, Supersemar, untuk membayar
pampasan AS$110 juta.
Melihat kembali Indonesia
Sepanjang lima hari di Malaysia, Grace bersama delegasi PSI
mengadakan pertemuan dengan parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN)
antaranya DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) serta Menteri Besar
Selangor Amirudin Shari.
"Kami takjub dengan politik Malaysia hari ini, begitu ramai anak muda
terlibat dalam politik termasuk menjadi anggota parlimen," katanya.
Grace menambah bahawa kejayaan rakyat Malaysia pelbagai latar
belakang menjatuhkan BN harus membuatkan negaranya berusaha mengukuhkan
demokrasi dan akar kepelbagaian masyarakatnya.
"Indonesia dulu dikatakan demokrasi terbaik di Asia Tenggara tetapi
hari ini kedudukan itu merosot kerana maraknya intolerans," katanya.
Beliau merujuk kepada sentimen agama dalam politik yang dimainkan
terutama dalam kempen menolak Basuki Tjahaja Purnama, atau Ahok, yang
bukan beragama Islam dalam pemilihan gabenor Jakarta pada tahun lalu.
Kempen itu dipelopori Front Pembela Islam (FPI) dengan kemuncaknya
sejumlah 500,000 berhimpun di Monumen Nasional Jakarta bagi mendesak
penahanan Ahok atas dakwaan menghina Islam.
"Semakin banyak orang bersifat radikal. Jika mereka ada dalam
institusi penting untuk membuat undang-undang yang berpihak kepada
golongan tertentu, ia akan menjadi ancaman serius," katanya lagi yang
akan memimpin PSI menempuhi pemilihan umum buat pertama kali sejak
penubuhannya pada 2014.
No comments:
Post a Comment