Misi Maszlee sebagai menteri pendidikan
WAWANCARA | Tidak melihatnya
sebagai masalah yang perlu diselesaikan, Menteri Pendidikan baru Maszlee
Malik percaya dengan kaedah memanfaatkan kekuatan sistem pendidikan
sedia ada yang berbeza-beza.
Walaupun terlalu hijau dalam politik - bekas ahli akademik itu
menyertai BERSATU hanya tiga bulan lalu - Maszlee yakin mampu menjaga
sistem sekarang dan pada masa sama mengembangkan kaedah bagaimana
sekolah yang pelbagai jenis dapat berkerjasama ke arah kebaikan.
Dalam wawancara pertamanya sejak dinamakan untuk portfolio itu Jumaat
lalu, Maszlee menjelaskan rancangannya untuk "menghubungkan" aliran
sekolah yang berlainan serta kaedah rundingan dalam aspek tadbir urus.
"Saya di sini bukan untuk memaksakan peraturan atau regimentasi terhadap sekolah.
"Apa saja aliran sekolah yang kita ada, visi saya adalah untuk cuba menghubungkan antara satu sama lain.
"Kita ingin meraikan perbezaan yang ada, jadikannya sebagai kekuatan
bukan kelemahan, dan jadikannya faktor penyatuan bukan perpecahan,"
katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara di rumahnya.
Selain sekolah kebangsaan di mana bahasa Melayu menjadi medium
pengajaran, sistem pendidikan Malaysia turut terdiri daripada sekolah
jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, pendidikan di rumah (homeschool) serta pelbagai sekolah antarabangsa dan swasta.
Berbanding memansuhkan sekolah vernakular seperti yang dicadangkan
sesetengah pihak, Maszlee yakin cara yang lebih baik untuk memupuk
semangat muhibah dan kesatuan adalah dengan mewujudkan kerjasama antara
sekolah berbeza aliran.
"Misalnya, saya ingin melihat sekolah agama dan sekolah Cina
mengadakan program bersama; sekolah Tamil menyertai acara sekolah
mubaligh, sekolah antarabangsa berkerjasama dengan sekolah Orang Asal,"
katanya.
Beliau juga membangkitkan pewujudan masyarakat yang fasih banyak
bahasa tetapi tidak menjelaskan sebarang kaedah secara spesifik.
"Salah satu kekuatan Malaysia adalah kita hidup dalam masyarakat
pelbagai bahasa. Kita perlu raikannya dan gunakan sebagai kekuatan dan
menyemai budaya masyarakat pelbagai bahasa.
"Untuk melakukannya, kita perlu jadikan pembelajaran bahasa sesuatu yang menyeronokkan," katanya lagi.
Maszlee yang berdarah Melayu-Cina menghantar anak-anaknya ke sekolah jenis kebangsaan Cina.
Pengajian Islam yang lebih moderat
Maszlee yang juga ilmuwan Islam mahu mereformasikan pengajian Islam di negara ini, bermula di sekolah Tahfiz.
"Kita perlu mengubahsuai wacana Islam arus perdana yang diamalkan
umat Islam di Malaysia, kita perlu membawa unsur yang lebih moderat dan
progresif.
"Kita akan cuba memastikan pelajar, bukan sahaja di tahfiz tetapi di
semua sekolah, akan belajar untuk saling hormat-menghormati tanpa
mengira kaum dan agama," katanya lagi.
Sebelum menyertai BERSATU, Maszlee merupakan pensyarah kanan di
Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan,
UIA di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau mendapat ijazah sarjana muda dari Universiti al-Bayt, Jordan
dalam bidang fiqh dan usul fiqh, sebelum menyambung pengajian peringkat
sarjana di Universiti Malaya untuk bidang yang sama.
Pada 2011, beliau mendapat ijazah kedoktoran di School of Governments
and International Affairs (SGIA) di University of Durham, United
Kingdom.
Beliau pernah terlibat dalam badan seperti institut Hal Ehwal Ekonomi
dan Demokrasi (IDEAS), Penang Institute dan menjadi felo di Institute
of Southeast Asian Studies (Iseas) University of Singapore.
Mengulas lanjut, Maszlee berkata sesetengah mata pelajaran, seperti
Bahasa Malaysia dan Sejarah, akan diseragamkan untuk sekolah tahfiz, dan
lepasan sekolah itu akan ditawarkan kursus dalam lapangan vokasional
dan semivokasional agar mereka bersedia memasuki alam pekerjaan.
Soal pengawalan dan keselamatan di sekolah tahfiz - soal yang menjadi
tumpuan seluruh negara selepas tragedi kebakaran di sebuah sekolah dan
kematian seorang murid di sebuah lagi tahfiz akibat didera guru - juga
akan diberi tumpuan.
"Infrastruktur sekolah tahfiz perlukan pengawalan, itu sudah ada...tetapi kita perlu penguatkuasaan.
"Penguatkuasaan sepatutnya bukan saja oleh Kementerian Pendidikan
tetapi semua agensi, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya
lagi.
[Baca berita asal]
No comments:
Post a Comment