Metro Ahad (MA): Apa pandangan Tunku mengenai bola sepak negara?
Tunku: Sudah banyak yang diperkatakan mengenai bola sepak kita. Tapi
yang pasti selepas melihat dan bercakap dengan orang ramai, saya sedar
satu-satunya cara bola sepak kita maju bukannya dengan bergantung kepada
FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) semata-mata, pihak persatuan negeri
dan kelab mesti memainkan peranan masing-masing.
Masalah dihadapi
ketika ini, kebanyakan yang ada dalam persatuan tidak tahu apa mereka
buat sehingga ada yang mengambil kesempatan menggunakan bola sepak untuk
kepentingan politik. Itu tidak sihat untuk sukan.
Lagi satu,
saya lihat kelab di Malaysia tidak ada perancangan jangka panjang. Cuba
beritahu saya satu kelab yang mempunyai perancangan 10 tahun. Tidak ada.
Semuanya mempunyai rancangan secara tahunan. Setakat ini tiada kelab
yang ada hala tuju. Apa yang mereka tahu, setiap tahun hanya menjanjikan
piala kepada penyokong.
MA: Adakah itu antara punca kenapa bola sepak kita tidak maju?
Tunku: Ya, tapi orang kata itu salah FAM. Sebenarnya bukan salah FAM.
Saya tak salahkan FAM. Saya salahkan ahli gabungan. Mereka tidak tahu
kenapa mereka ada di situ. Mereka berada di situ bukan kerana cintakan
bola sepak, sebab itu masalah ini timbul.
Dari apa yang saya
lihat kebanyakan mereka mempunyai kekurangan pengetahuan mengenai cara
mengendalikan pasukan bola sepak. Mereka hanya melihat 11 pemain dan
membeli empat import dan kemudian bersaing setiap tahun. Sepatutnya
mereka melihatnya lebih daripada itu, sebagai perniagaan yang boleh
mendatangkan pendapatan untuk kelab.
Satu lagi masalah
membabitkan pasukan adalah hak penyiaran televisyen. Banyak kali saya
cakap hak itu sepatutnya menjadi tulang belakang kelab, tapi FAM ambil
wang itu. Mereka ambil 40 peratus dan meninggalkan kami dengan 20
peratus. Macam mana nak hidup. Sebab itu kelab seperti Kelantan, ATM,
malah Selangor juga tahun ini berdepan masalah.
Jadi untuk
mengatasi masalah itu, saya suka jika dapat berkongsi idea dengan
mereka. Kena ada banyak mesyuarat dalam kalangan ahli gabungan supaya
bola sepak kita lebih maju. Lihat Thailand, mereka beroperasi dengan kos
dua kali lebih sikit daripada kita tapi masih boleh bermain baik di
peringkat kelab dan nasional.
Selain itu, timbul masalah apabila
orang dalam kelab gagal beri keyakinan kepada penaja. Sepatutnya, anda
kena tahu apa anda cakap, kena telus supaya mereka tahu wang itu
digunakan mengikut saluran yang betul.
Kalau penaja tiada
keyakinan dengan mereka yang ada dalam kelab, siapa yang mahu melabur.
Sebab itu, pada hari saya tiada dalam Johor DT (Johor Darul Ta’zim),
saya fikir kami akan kehilangan separuh daripada wang kami. Saya 100
peratus pasti tiada orang yang akan yakin untuk melabur dalam kelab
kami.
MA: Apakah masalah terbesar dalam bola sepak negara yang membuatkan Tunku rasa mengganggu kelancaran liga?
Tunku: Rasuah. Jika anda tidak boleh bersihkan masalah ini 100 peratus,
sudah mencukupi dengan 50 peratus dulu untuk melihat perubahan. Anda
akan lihat ada kelainan dari segi bagaimana liga dijalankan. Bagaimana
profesionalnya pasukan yang bertanding dan juga pasukan kebangsaan.
Tapi, ia tidak berlaku pada masa ini kerana struktur pengurusan kita
sudah mengalami rasuah. Dulu FAM terima RM21 juta daripada Astro untuk
mengendalikan liga. Hari ini FAM dapat RM71 juta daripada MP Silva.
Daripada jumlah itu RM24 juta untuk mengendalikan liga. Maknanya RM1
juta diberikan kepada setiap pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana.
Itu salah. Sepatutnya, RM3 juta untuk Liga Super dan RM1 juta untuk Liga
Perdana. Dengan duit itu sekurang-kurangnya mereka boleh bersaing macam
mana liga di England dan Jerman.
Saya tanya Kevin Ramalingam
(Ketua Pegawai Ekseekutif Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad
(FMLLP) apa anda buat dengan baki RM30 juta itu? Beliau kata FAM ambil.
Ada lebih RM30 juta yang tidak diberikan kepada pasukan, tapi ada orang
lain angkut. Mana perginya? Hanya tuhan yang tahu.
MA: Selain daripada rasuah apa yang membunuh bola sepak Malaysia?
Tunku: Pilih kasih dan tidak boleh terima kenyataan. Itu yang membunuh
bola sepak kita. Sebagai contoh, pemain saya Fadhli Shas yang tidak
boleh bermain pasukan utama kerana kurang beraksi baik, malah tidak ada
dalam senarai pemain simpanan, tapi dapat panggilan pasukan kebangsaan
untuk Piala Suzuki oleh Datuk Ong Kim Swee. Kenapa? Anda patut nilai
pemain daripada prestasi bukan kerana sukakan dia. Ada banyak pemain
pertahanan lain, tapi kenapa pilih daripada Selangor, Johor DT dan
Kedah? Masih ada pemain lain dari Felda United dan T-Team yang bermain
baik. Kenapa asyik pilih yang sama? Sebab itu saya tidak boleh
bekerjasama dengan Kim Swee. Saya tidak faham apa yang berlaku. Saya ada
penyerang Darren Lok yang akan berada dalam pasukan utama tahun depan.
Kim Swee ambil dia dan letakkan di bahagian tengah sedangkan dia
penyerang. Amirulhadi Zainal, pemain tengah bertahan saya, Kim Swee
mainkan dia penyerang. Bagi saya, semua itu pelik.
MA: Jika begitu, pada pandangan Tunku siapa yang patut jadi jurulatih Malaysia?
Tunku: Bojan Hodak sepatutnya mendapat tugas itu, tapi mereka tidak mahu dia. Bojan mungkin boleh jadi jurulatih yang sesuai.
MA: Tunku ada formula untuk meningkatkan mutu bola sepak kita?
Tunku: Saya memang ada formula. Jika mereka ikut, saya jamin kita akan
lihat ada perubahan. Pertama, selesaikan masalah hak penyiaran, saya
mahu saksikan itu dulu. Saya mahu lihat semua persatuan dapat duit
mereka. Kedua, semua orang kena ada program akar umbi. Ketiga, tak ada
lagi pasukan lambat bayar gaji. Kalau selepas beberapa bulan tak boleh
bayar gaji mesti kena terima hukuman yang sepatutnya. Tiada layanan
istimewa.
Selain itu, saya tidak mahu pengadil berada di bawah
FAM. Pengadil kena ada badan bebas. Jika kita buat itu, kita OK. Itu
saja yang saya minta. Bukan saya minta gunung pun. Tak ada minta duit
pun.
Akhir sekali, saya mahu semua mesyuarat FAM buat mesti
dibuat di setiap negeri, bukan lagi di wisma FAM. Kita kena pergi semua
negeri. Lepas itu, tolong pasukan kebangsaan. Dengan benda sikit-sikit
kita buat inilah akan bantu pasukan kebangsaan. Saya mahu lihat
peningkatan persembahan. Tapi kena kerja bersama-sama. Jangan ada ego.
Sesetengah orang tak mahu dengar kerana cemburu saya menang trofi. Anda
sepatutnya tak dengar saya jika saya bersalah. Bukan fikir dengan emosi
tapi otak.
MA: Justeru, untuk jangka panjang apa yang FAM dan persatuan negeri patut fokus?
Tunku: FAM kena pastikan liga berjalan lancar tanpa membebankan pasukan
dan kedua, mereka kena fokus persembahan pasukan kebangsaan. itu saja.
Tapi, sekarang mereka tidak minta ahli gabungan buat apa-apa terutama di
peringkat akar umbi. Jadi mereka duduk saja. Semua cakap NFDP (Program
Pembangunan Bola Sepak Negara) ada. Jadi tak payah buat apa-apa untuk
pembangunan remaja. Persatuan negeri dan kelab kena pastikan ada, kalau
tidak, tak boleh beraksi Liga Malaysia. Itu yang berlaku di Thailand,
Filipina dan Indonesia. Tapi kita di sini tak ada. Semua tidur.
MA: Jadi, pada pandangan Tunku apakah keutamaan yang patut diberikan sekarang?
Tunku: Keutamaan sekarang bukan hanya meningkatkan tahap permainan bola
sepak Malaysia di peringkat negeri atau kelab, tapi pasukan negara.
Saya mahu melihat keputusan dalam beberapa tahun ini. Keputusan itu
tidak akan datang mudah dan akan menjadi lebih mencabar kerana anda
tidak boleh mendapatkannya dengan segera. Untuk melakukannya, kita
memerlukan kepakaran luar. Kita tidak boleh bodoh sombong. Kita kena
belajar dari mereka dan insya-Allah satu hari kita boleh saksikan
keputusan.
MA: Mungkin kita gagal menyerlah kerana kehadiran pemain asing? Adakah kita terlalu bergantung kepada mereka?
Tunku: Jika kita lihat Jepun atau Thailand, mereka juga ada pemain
asing. Tapi bagi saya peningkatan bukan datangnya daripada pemain asing.
Sebaliknya standard akademi yang membabitkan pemain berusia 8 tahun
sehingga pasukan utama. Ada juga kelab Jepun yang tak ada pemain import.
Mereka boleh ada empat import, tapi ada yang tak beli. Tapi mereka ada
pemain tempatan yang baik, jadi bagi mereka, buat apa pemain import. Itu
mentaliti orang Jepun. Kita punya mentality tak bayar gaji 20 pemain
tempatan tak apa asalkan boleh bayar empat pemain import. Matilah anak
tempatan. Hilang moral bola sepak dan akhirnya berlaku rasuah.
MA: Tunku begitu mengambil berat mengenai perjalanan bola sepak di negara ini. Tunku bukan seorang yang pentingkan diri?
Tunku: Memang betul. Jika saya pentingkan diri sendiri saya boleh
berdiam diri. Kenapa? Supaya pesaing saya akan menjadi lemah setiap
tahun dan bola sepak negara tidak meningkat dan saya akan menjadi orang
paling berjaya dan dominan di negara ini. Tapi saya tak pentingkan diri.
Sebab itu ia dipanggil pertandingan. Saya seorang gentleman. Kami
bersaing. Tapi saya mahu menyaksikan persaingan yang sihat. Persaingan
itu perlu dilakukan dengan cara yang betul. Jika saya tidak pedulikan
bola sepak kita, terutama pasukan kebangsaan kenapa saya mahu bersuara.
Saya boleh saja berdiam diri. Saya sudah mendapat pengiktirafan seluruh
dunia. Pasukan saya begitu terkenal dan kami buat duit. Kami melakukan
perkara yang betul dan rakyat Johor gembira. Apa lagi yang saya
mahu.tapi kenapa saya bersuara? Kerana saya mahukan pasukan kebangsaan
bermain baik. Saya kecewa melihat pasukan kebangsaan asyik kalah. Ini
kerana banyak benda tidak dilakukan dengan betul.
MA: Bolehkah pasukan lain meniru Johor DT dari segi kejayaan?
Tiru kami? Susah, tapi mereka boleh cuba. Cuba untuk lebih baik
daripada kami. Apa yang lebih penting cuba untuk mendidik bukan hanya
pemain tapi juga peminat. Mainkan lebih peranan untuk rapatkan diri
dengan penyokong anda. Di Johor DT, kami mempunyai persefahaman yang
kelab itu milik penyokong. Sebab itu kami mendapat sokongan besar kerana
penyokong beranggapan mereka adalah sebahagian daripada kejayaan kami.
Tapi saya lihat persatuan lain ada macam sikit renggang antara penyokong
dengan kelab. Cuba rapatkan saf dengan penyokong.
MA: Ada orang
meraikan kekalahan Johor DT dalam Piala AFC sehingga keluar kenyataan
Tunku mengenai Mat Cangkul. Adakah itu satu tamparan buat Tunku?
Tunku: Memang akan ada orang sebegitu. Mereka suka jika kami kalah. Jika
cemburu kerana kejayaan kami, itu OK. Tiada apa yang buruk. Tapi bagi
saya sepatutnya, letakkan tenaga itu untuk memperbaiki diri sendiri.
Untuk kejayaan dalam hidup kena fokus diri dan bukan mengharapkan dan
berdoa orang lain untuk gagal. Itu moto saya.
MA: Tunku dipilih
menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia Di Sepanyol, bulan lalu,
kerana sumbangan terhadap bola sepak. Apa yang Tunku peroleh daripada
forum itu?
Tunku: Ya, saya menerima pengiktirafan yang
membanggakan. Sebagai orang muda dari Asia Tenggara, saya bangga kerana
dapat bertemu orang yang hebat dalam dunia bola sepak dunia di situ.
Kami berkongsi idea dan pandangan mengenai bagaimana sukan itu harus
maju dan inovatif. Dari situ saya sedar yang mereka sebenarnya berada
jauh di depan dan kita sangat ketinggalan.
MA: Tunku melawat banyak kelab ketika berada di Sepanyol. Kelab mana yang Tunku paling terpikat?
Tunku: Bagi saya semua kelab itu ada kebaikan. Barcelona ada program
akar umbi yang saya suka. Madrid pula saya suka kerana statusnya selaku
kelab yang ada kelas tersendiri berbanding orang lain. Saya juga suka
Valencia kerana mereka mungkin tak ada banyak duit untuk pemain
terkemuka, tapi fokus terhadap program akar umbi untuk menghasilkan
pemain baik. Semua ada kelebihan. Jadi saya ambil yang terbaik untuk
dibawa ke sini.
MA: Tunku dulu minat Manchester United. Tapi sekarang tak sokong lagi. Kenapa dan kelab mana yang Tunku jika diberi peluang?
Tunku: Kelab Inggeris sangat besar dan terkenal. Tapi selepas sudah
jatuh cinta dan kenal bola serta pengetahuan saya yang lebih mendalam
mengenai bola sepak, saya tidak lagi melihat bola seperti sebelum ini.
Dulu saya melihat Manchester United sebagai satu-satunya kelab yang
saya suka. Tapi sekarang selepas apa yang berlaku saya tidak boleh
tengok walaupun satu perlawanan United. Lebih banyak saya faham mengenai
bola sepak, semakin hilang rasa cinta saya terhadap United. Sekarang
saya lebih menghargai struktur, perancangan, perniagaan bola sepak,
pembelian pemain serta falsafah permainan.
Tapi jika saya perlu
pilih, ia adalah Barcelona. Saya sukakan bola sepak, mentaliti,
pembangunan, dan bagaimana mereka mempunyai struktur kekeluargaan.
Kenapa saya fokus kelab La Liga? Sejak kebelakangan ini, kelab Sepanyol
adalah juara Liga Juara-Juara dan Piala UEFA. Bermakna cara mereka itu
betul. Saya banyak belajar daripada mereka.
Di England, mereka
hanya bisnes tanpa akar umbi. Mereka hanya pentingkan duit. Beli pemain
tapi tak main bola sepak menarik. Kompetitif mungkin tapi kualiti tidak
ada. Saya lebih suka La Liga dan Bundesliga. Bola sepak Itali saya tak
suka kerana stadium tidak penuh tapi pengetahuan mereka mengenai bola
sepak, saya kagum.
MA: Bagaimana pula hubungan Tunku dengan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah?
Tunku: Beliau sudah merajuk dengan saya. Beliau kata kenapa saya kritik
FAM. Saya kata saya kritik kerana anda tidak melakukan kerja yang baik.
Saya bukan biadap, saya bukan nak cabar sesiapa. Saya hanya nak beri
pandangan jujur. Cuma masalah saya adalah tidak pandai diplomatik. Saya
suka berterus terang. Berterus terang untuk tujuan yang baik. Bukan
untuk jatuhkan orang tapi memberi cadangan dan pandangan ikhlas
bagaimana hendak lebih baik. Apa yang saya mahukan adalah bekerja sama
dan bukannya one man show. Agak mengecewakan apabila ada masalah tapi
tiada langkah diambil untuk mengatasinya.
MA: Bagaimana dengan
keputusan untuk menjadi presiden FAM. Walaupun sebelum ini pernah
berkata tidak berminat, tapi masyarakat bola sepak tetap mahukan Tunku.
Adakah Tunku akan berubah fikiran?
Tunku: Saya tetap tidak
berminat kerana conflict of interest. Saya tahu ramai yang berminat saya
ambil alih. Tapi jika saya ambil alih tiada bezanya dengan presiden
sebelum ini. Saya akan mempunyai konflik kepentingan. Saya memiliki
Johor DT dan jika saya pergi FAM dan esok kami menang liga, apa yang
orang akan kata. Jika pengadil beri penalti kepada Johor DT apa orang
akan kata. Jadi saya tak nak ambil FAM. Saya hanya mahu ada di FAM
sebagai suara yang kita boleh berkongsi pendapat. Mungkin saya boleh
mencadangkan FAM keluar undang-undang baharu pertandingan untuk tahun
hadapan. Pastikan setiap pasukan perlu ada program akar umbi. Nasihatkan
mereka supaya tidak perlu buang duit untuk beli empat pemain import
kerana keutamaan adalah pemain tempatan termasuk menjaga kebajikan
mereka. Pemain tempatan adalah 80% daripada pasukan. saya nak lihat
peningkatan. Jadi meningkatkan prestasi pemain tempatan adalah keutamaan
dan kebajikan mereka juga perlu diutamakan. Jangan hanya fokus pemain
luar dan mengetepikan pemain tempatan.
MA: Tunku begitu lantang bersuara, tidakkah kelantangan itu mengundang rasa tidak selesa sesetengah pihak?
Tunku: Saya buat yang betul. Lantang untuk siapa, bukan untuk saya. Apa
yang saya dapat. Kalau ikut hati, Allah sudah kurniakan saya rezeki dan
saya boleh berada di luar negara, tanpa perlu payah risau apa-apa. Tapi
saya berjuang untuk bola sepak. Kalau saya tak peduli saya tak ada di
sini. Tapi saya sedar orang tidak boleh terima jika kita terus terang.
Saya bukannya suka mengkritik. Saya lakukan ini kerana minat. Selagi
mendapat sokongan, saya akan teruskan. Setakat ini saya masih minat bola
sepak tetapi jika terlalu banyak benda mengarut, saya akan pergi. Saya
pun manusia. Saya ada had. Kesabaran saya pun ada had. Siapa tahu,
mungkin suatu hari nanti, saya tidak lagi berminat dengan semua ini.
Fokus benda lain pula. Tapi jika saya tinggalkan sukan bola sepak, saya
tahu bola sepak di negara ini akan mati.
MA: Soalan terakhir. Apa yang Tunku boleh simpulkan daripada pertemuan ini?
Tunku: Saya hendak mereka tahu yang saya bukannya nak jadi wira. Saya
hanya ikhlas mahu membantu bola sepak Malaysia dan pasukan kebangsaan.
Saya hanya mahu membantu struktur bola sepak kita agar lebih profesional
selain ingin melihat peningkatan dari semua segi. Itu saja.
Hidup Johor Demi Johor
No comments:
Post a Comment